Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL- KAFI #754- HUKUM MENUJU KE MASJID DALAM KEADAAN BERLARI

 

Soalan:

Assalamualaikum S.S. Mufti, kadangkala apabila saya agak lewat untuk ke masjid maka saya pun mempercepatkan langkah dan berlari supaya tidak masbuq. Ada yang menegur mengatakan perbuatan saya itu salah, adakah kenyataan itu benar ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, kita dituntut untuk sentiasa bersegera melaksanakan amal soleh dan kebajikan. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kepada galakan ini. Di antaranya firman Allah S.W.T:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Dan bersegeralah kamu (menuju) ke arah pengampunan dari Tuhan kamu dan juga (menuju) syurga yang luasnya meliputi langit-langit dan juga bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.

Surah Aali Imraan (133)

Imam al-Baghawi Rahimahullah apabila mensyarahkan ayat ini beliau berkata: ‘’Iaitu bersegera dan berlumbalah kamu menuju ke arah amalan-amalan yang menyebabkan kepada keampunan’’. Lihat Tafsir al-Baghawi (2/104).

Hukum Berlari Menuju Ke Masjid

Dalam isu ini, terdapat beberapa dalil yang menjadi sumber perbahasan hukum. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

Maksudnya: Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.

Riwayat al-Bukhari (908)

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita tentang perintah dan galakan untuk menghadiri solat dalam keadaan berjalan dan juga tenang. Dalam masa yang sama juga menunjukkan bahawa kita tidak digalakkan untuk bergopoh-gapah dalam menghadiri solat.

Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam syarahannya ke atas kitab Sahih Muslim meletakkan hadis ini di bawah tajuk: ‘’Bab Galakan Mendatangi Solat Dengan Keadaan Tenang Dan Larangan Mendatanginya Dalam Keadaan Berlari’’.

Beliau apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: ‘’Sesungguhnya salah seorang kamu apabila dia menuju ke arah solat maka dia sedang berada dalam keadaan solat. Padanya (hadis ini) terdapat seruan yang kuat supaya mendatangi solat dengan tenang dan mulia, serta larangan mendatangi solat dalam keadaan berlari sama ada untuk solat jumaat atau selainnya. (Begitu juga tidak boleh datang dalam keadaan berlari) sama ada takut terlepas takbiratul ihram ataupun tidak’’.

Imam Al-Nawawi turut mendatangkan hikmah mengapa disuruh mendatangi solat dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh gapah dengan katanya: ‘’Hikmah mendatangi solat dalam keadaan tenang dan larangan mendatanginya dalam keadaan berlari kerana, seseorang yang pergi menuju solat bertujuan untuk mendapatkan (pahala ibadah) solat serta sampai ke arahnya. Maka hendaklah dia menjaga adab dengan adab-adab solat dalam bentuk yang paling sempurna’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (5/99).

Sebahagian orang boleh juga mempersoalkan, bagaimana pula dengan firman Allah S.W.T yang menyebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila dikumandangkan (azan) untuk solat pada hari Jumaat bersegeralah kamu untuk mengingati Allah.

Surah Al-Jumu’ah (9)

Ini kerana, terdapat arahan untuk orang-orang yang beriman itu bersegera menuju solat Jumaat sedangkan hadis sebelum ini melarangnya.

Kami menyatakan bahawa hal ini sebenarnya telah dijawab oleh Imam al-Nawawi sendiri apabila beliau berkata yang dimaksudkan dengan kalimah فَاسْعَوْا di situ adalah ‘’Pergi’’. Iaitu pergilah kamu dengan segera dan hadir awal menuju ke masjid. Bukanlah ia bermakna pergilah kamu dalam keadaan berlari seperti yang difikirkan oleh sebahagian orang.

Ini dapat ditunjukkan dengan beberapa riwayat hidup golongan salafussoleh seperti yang dinyatakan oleh Imam Abu Syaamah dengan katanya: Dahulu pada kurun yang terawal dapat dilihat bagaimana selepas solat fajar, jalan-jalan dipenuhi dengan orang ramai yang berjalan kaki dengan terdapat pelita di tangan mereka menuju ke masjid. Ia menyamai hari-hari perayaan, sehinggalah perkara tersebut pupus. Sehingga dikatakan bahawa antara bidaah yang terawal muncul dalam Islam adalah meninggalkan hadir awal menuju ke masjid.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami mengatakan bahawa menghadiri solat dalam keadaan berlari adalah makruh hukumnya. Ia sebenarnya akan melemahkan semangat dalam melakukan solat, menghilangkan khusyuk, serta menyebabkan tubuh badan berasa letih. Datangilah solat dalam keadaan tenang, supaya kita dapat melaksanakannya dengan lebih fokus dan terbaik. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.