Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

Soalan:

Apakah hukum pihak pengurusan masjid meminjam dulu duit anak yatim untuk digunakan peruntukan aktiviti program masjid. Kemudian duit kutipan jumaat masjid akan pulangkan secara ansuran kepada tabung anak yatim.

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pengurusan harta anak yatim merupakan satu perkara yang berat dan amanah besar yang perlu dijaga oleh pemegang amanah tersebut. Allah SWT berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

(Surah al-Nisa’: 10)

Dalam hadis terdapat banyak nas supaya seseorang itu menjaga harta anak yatim dan tidak memakannya sepertimana hadis sahih:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ...

Maksudnya: Jauhilah kamu tujuh perkara uyang membinasakan. Sahabat bertanya: Apakah dia? Jawab Baginda SAW: Syirik dengan Allah, sihir, bunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan sebenar, makan riba, dan makan harta anak yatim…

Riwayat al-Bukhari (2766)

Konsep harta anak yatim hendaklah dilaksanakan ke arah islah bagi kepentingan mereka. Benarlah firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْيَتَامَى قُلْ إِصْلاَحٌ لَّهُمْ خَيْرٌ

Maksudnya: Dan mereka bertanyakan kepada mu (wahai Muhammad) terhadap anak-anak yatim. Katakanlah bahawa berbuat islah (kebaikan) kepada mereka itu (anak-anak yatim) adalah merupakan suatu kebaikan.

(Surah al-Baqarah: 220)

Al-Maraghi berkata: Sikap rakus seringkali mendorong hati manusia untuk memakan harta anak yatim, seperti ia tergoda untuk memakan harta saudaranya yang lemah. Justeru, tidak ada penghalang dan pencegahnya kecuali ketakwaan kepada Allah SWT dan perasaan ini diawasi oleh-Nya ketika bersendirian atau ramai.

Ramai pengasuh anak yatim memperlihatkan sikap menahan diri dan berhati-hati supaya tidak sampai memakan harta mereka, padahal mereka sebenarnya rakus. Justeru, dalam jangka waktu yang singkat namun melihat mereka menjadi orang kaya, padahal upah yang ditentukan buat mereka tidak cukup (untuk menjadikan mereka kaya). (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/460-461)

Justeru, kami nyatakan bahawa penggunaan harta anak yatim walaupun selepas itu akan diganti seperti dalam kes masjid ini disyorkan supaya mengelakkan daripada mengambilnya dahulu sekalipun bersifat pinjaman sementara dan akan digantikan selepas itu. Ini kerana kedudukan harta anak yatim amat sensitif bahkan seolah-olah berada pada gaung dan jurang neraka kerana dibimbangi termasuk dalam memakan harta anak yatim. Oleh itu, elakkanlah penggunaan harta anak yatim.

Sebaliknya hendaklah dibahagikan kepada anak yatim dan diberikan mengikut yang telah dipersetujui. Bukan hanya setahun sekali atau dua kali, tetapi apabila telah terkumpul sejumlah harta anak yatim, maka sebaiknya dibahagikan seperti sebulan sekali agar ia dapat menampung sebahagian daripada kehidupan yang mereka lalui kerana bertarung dengan pelbagai ujian kehidupan.

Syeikh Mansur al-Bahuti al-Hanbali berkata:

“Syarat bolehnya memberi hutang adalah bahawa orang yang menghutangkan suatu harta adalah orang yang boleh menyedekahkan harta tersebut. Dengan demikian, orang yang memegang harta anak yatim atau pengurus harta wakaf itu tidak boleh menghutangkan harta yang dia pegang.” (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 2/100)

Mafhum daripada nas ini bahawa kecaknaan dalam menggunakan harta anak yatim begitu tinggi. Ia tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya. Kami berharap isu seperti ini sentiasa kita menjaga dan memelihara seupaya mungkin pada kadar yang tertinggi dalam menjamin harta anak yatim.

Berkenaan dengan aktiviti yang hendak dilaksanakan sewajarnya dipilih penggunaan harta yang lain dan bukan harta anak yatim. Inilah yang sepatutnya difikir oleh pemegang harta anak yatim. Justeru, kami tidak sependapat dengan yang akan membayar secara beransur-ansur harta anak yatim.

Semoga Allah mengurniakan ganjaran kepada kita dengan sebab memelihara harta anak yatim dengan sebaik-baiknya. Ameen.