Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #822 : HUKUM PENGGUNAAN WANG SUMBANGAN PELAJAR UNTUK TUJUAN LAIN

SOALAN

Apa hukum menggunakan wang peruntukan program yang dibayar oleh pelajar untuk kegunaan guru? Sebagai contoh, program motivasi pelajar, apabila selesai program masih ada wang lebihan, maka guru-guru membeli kain untuk dijadikan bahu rasmi sekolah untuk kakitangan guru-guru. Apakah hukumnya? Mohon pencerahan.

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Agama Islam amat menitikberatkan perihak baik dan bersih dalam semua perkara. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada hadis Nabi SAW berikut:

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ ‏{‏ يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ‏}‏ وَقَالَ ‏{‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ‏}‏ ‏"‏ ‏.‏ ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnyaAllah SWT telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul, maka Allah SWT bersabda: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kami beramal soleh). Dan Allah SWT berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda SAW menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang rambutnya kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan kelangit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”

Riwayat Muslim (1015)

Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan perkataan (لاَ يَقْبَلُ) ini bermaksud Allah SWT tidak menerima di sisinya apa-apa amalan atau harta yang bersumberkan kepada yang haram dan tidak bersih. Hal ini termasuk dalam aspek makan, minum serta pemakaian seharian kita. (Rujuk ) bermaksud Allah SWT tidak menerima apa-apa amalan dan harta kecuali yang datang daripada sumber yang bersih sahaja. Disebab itu, agama Islam  (Rujuk al-Fath al-Mubin, 1/286)

Menjawab kepada persoalan di atas, wang lebihan program yang telah dilaksanakan itu adalah hak milik pelajar. Ini kerana para pelajar yang menyumbang wang adalah untuk kegunaan program motivasi sahaja. Maka, wang lebihan tersebut perlulah dipulangkan semula kepada para pelajar atau digunakan untuk kepentingan para pelajar itu sendiri. Justeru, para guru tidak boleh dan haram menggunakan wang tersebut untuk membeli baju rasmi sekolah.

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami melihat bahawa wang lebihan tersebut tidak boleh dan haram untuk digunakan oleh pihak guru untuk membeli pakaian rasmi sekolah bagi dirinya sendiri melainkan setelah mendapat kebenaran dari pihak pelajar yang telah menyumbang. Hal ini kerana, wang lebihan tersebut adalah hak pelajar dan perlu untuk dipulangkan semula kepada pelajar.  Namun begitu, dalam isu seperti ini, amatlah perlu untuk diperluaskan tujuan kutipan sumbangan tersebut semasa mula berkempen lagi bagi memudahkan penggunaan wang tersebut pada masa mendatang.

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.