Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #911: PERBAHASAN ULAMA BERKENAAN UKURAN KUBUR

ak 911

Apakah perbahasan ulama berkenaan kedalaman, lebar dan panjang kubur serta mengambil upah menguruskan jenazah

Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Kami memulakan dengan firman Allah S.W.T dalam Al-Quran

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

MaksudnyaKemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.

(Lihat surah Abasa: 21)

Berdasarkan ayat di atas Allah S.W.T memerintahkan supaya setiap mayat manusia wajib dikuburkan dengan cara yang baik kerana kesucian manusia serta larangan untuk membuang dan membakarnya. Ini sepertimana yang disyarahkan oleh al-Imam Qurtubi di dalam tafsirnya:

"Allah S.W.T menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya”.

(Lihat AI-Jami' Li Ahkam al-Quran, 19/219)

Perbahasan berkenaan dengan ukuran liang lahad

Berbalik kepada persoalan di atas, merujuk sebuah hadis Nabi S.A.W yang berbunyi:

‏ "‏ احْفِرُوا وَأَوْسِعُوا وَأَحْسِنُوا ‏"‏

Maksudnya: Galilah dan perluaskanlah dan perelokkanlah

(Hadis Riwayat Tirmizi 1713)

Ini menerangkan bahawa kewajipan untuk memperelok serta mendalamkannya dan ukuran ini sepertimana yang dikhabarkan oleh Saidina Umar R.A:

“Menggali kubur setinggi dada seorang lelaki atau menggali dengan ketinggian seorang lelaki dan ini merupakan yang terbaik”

(Lihat Syarah Munyatul musolli 2/622)

Begitu juga apa yang terdapat di dalam Hasyiah Al-Bujairimi:

وسن ان يوسع و يعمق قامة وبسطة

Maksudnya: Dan disunnatkan untuk memperluaskan dan mendalamkan kadar seorang yang berdiri sambil mengangkat tangan

Di dalam Hasyiah Bujairimi menerangkan قامة وبسطة dengan kadar 4 hasta setengah. Ada juga pendapat yang menyatakan 3 hasta setengah dan ukuran yang muktamad adalah 4 hasta setengah

(Lihat Hasyiah Al-Bujairimi ala Syarah Manhaj Al-Tullab 1/635).

Di samping itu terdapat juga syarat yang lain iaitu untuk mengelakkan mayat daripada dimakan dengan haiwan buas dan menutupi bau jenazah, ini terdapat di dalam Syarah Safinatun Naja:

حفرة تكتم رائحة وتحرسه من السباع وأكمله قامة وبسطة ويوضع خده علي التراب ويجب توحيهه الي القبلة

Maksudnya: Liang lahad itu mestilah dapat menutupi bau jenazah serta dapat melindungi daripada haiwan buas. Liang yang sempurna adalah dengan ukurun sedalam manusia yang mengangkat kedua tangannya, kemudian diletakkan tanah pada pipi jenazah dan menghadapkannya ke arah kiblat.

(Lihat Kashifatu Saja fi Syarah Safinatun Naja 220)

Mengambil upah menguruskan jenazah

Pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah. Seharusnya keturunan si mati, keluarga serta saudara terdekat yang menguruskannya. Berkenaan dengan persoalan mengambil upah menguruskan jenazah kami berpendapat harus mengambil upah bagi setiap golongan muslim.

Dalam hal ini, Dar Ifta Jordan ada mengeluarkan fatwanya no. 2225:

غسل الميت من فروض الكفاية، وأولى الناس بذلك هم أولى الناس بالميت، أي ورثته وأقاربه، ويجوز لهم أن يستأجروا من يقوم بهذا الواجب عنهم، ويجوز للمسلم أن يأخذ الأجر على ذلك؛ لأن العبادة التي لا يجوز أخذ الأجر عليها هي فرض العين

Maksudnya: “Memandikan mayat merupakan fardhu kifayah, keutamaan untuk menguruskannya adalah dari kalangan keturunan atau ahli keluarga mayat itu, seperti waris dan kerabatnya, serta harus bagi mereka untuk membayar upah supaya menyempurnakan urusan jenazah, dan harus bagi orang muslim mengambil upah ke atas itu. Ini kerana ibadah yang tidak diharuskan mengambill upah adalah ibadah yang fardhu ain”.

Di sini juga terdapat pandangan Lajnah Daimah Libuhus Ilmiah Wa Ifta mengharuskannya lihat fatwa 7502:

تجوز ، والأولى أن يقوم بها متبرع إذا تيسر ذلك

Maksudnya: Diharuskan, Lebih utama sekiranya ia membuat secara sukarela sekiranya tidak menyusahkannya.

Jumhur fuqaha berpendapat bahawa harus untuk mengambil upah bagi memandikan jenazah. Afdhal sekiranya tidak mengambil upah mengikut pandangan mazhab Hanafi.

(Mausuah Fiqhiah 13/24)

Kesimpulan:

Apa yang dapat disimpulkan dengan berdasarkan dalil dan keterangan di atas ini menunjukkan bahawa ukuran liang lahad tidak menjadi penetapan yang khusus namun masih terdapat kriteria yang patut dipatuhi antaranya ialah:

  • Kedalaman liang mestilah mengikut keadaan cuaca yang mana dapat menjaga mayat daripada ancaman binatang buas.
  • Selain itu liang dapat menjaga dan menutupi bau jenazah
  • Kedalaman liang yang mencukupi:
  1. Setinggi dada seorang lelaki yang berdiri
  2. Setinggi seorang lelaki yang berdiri
  3. Setinggi seorang lelaki berdiri sambil mengangkat kedua tangannya. Dan ini merupakan yang afdhal.

Ulama berpendapat bahawa sedalam 3 hasta setengah atau 4 hasta setengah dan ini merupakan pendapat yang mutamad. Maka dalam hal ini, kebiasaan ukuran liang digunakan di negara kita adalah 3 x 7 kaki dan ia dapat menjaga keadaan jenazah itu dengan baik.

Berkenaan dengan persoalan mengambil upah bagi menguruskan jenazah, ia diharuskan selagi mana tidak dengan melampaui batas dan pada kadar harga yang munasabah.

Wallahualam