Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

BALAS JAHAT DGN BAIK.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh tafsirkan ayat 34 surah Fussilat? Iaitu berkaitan firman Allah SWT:

“ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ”

Maksudnya: (Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib)

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Maksudnya: Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

(Surah Fussilat: 34)

Ibn Kathir berkata: Iaitu jika ada orang yang melakukan kejahatan kepadamu, maka tolaklah dengan cara yang lebih baik. Sebagaimana Umar R.A berkata: “Tolaklah menghukum orang yang melakukan maksiat kepada Allah dalam dirimu sepertimana bila engkau melakukan ketaatan kepada Allah dalam dirinya.”

Dan firman Allah SWT: (فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ) “apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib,” iaitu teman baik. Yakni, jika engkau berbuat baik kepada orang yang melakukan kejahatan kepadamu, nescaya kebaikan itu akan membuatkannya untuk bersikap baik kepadamu, mencintaimu dan merinduimu, sehingga dia seakan-akan menjadi teman setia, dalam maksud mendekatimu dengan rasa kasih sayang dan berbuat baik. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 4/123)

Saidina Ali bin Abi Talib R.A pernah berkata kepada bekas hambanya: “Hai Qunbur, biarkan orang mencelamu dan lupakanlah. Pasti kamu akan diredai Allah sehingga menimbulkan kemarahan syaitan.” Ada orang mengatakan hukuman paling setimpal bagi orang bodoh ialah mendiamkan diri.

Penyair pernah berkata: “Orang bodoh, dicaci jangan, dicela jangan. Diam sahaja baginya lebih menyeksakan.”

Penyair lain pula bermadah:

                                                “Orang bodoh sukakan jawapan.

                                                         Melawannya bukan dengan ungkapan.

                                                                            Diam sahaja itulah jawapan.”

Justeru, Syeikh al-Maraghi berkata: Hapuskanlah kejahilan dan kebodohan orang kafir itu dengan cara yang baik. Maksudnya, balaslah keburukan mereka dengan kebaikan; hadapilah kekasaran-kekasaran mereka dengan kemaafan, dan hadapilah kemarahan mereka dengan kesabaran. Ini disebabkan sesungguhnya jika kamu bersabar dan memperlakukan mereka seperti itu pasti mereka akan malu sendiri sehingga mereka akan berhenti melakukannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/6073)

Abu Bakr Ibn al-‘Arabi berkata: Ayat ini dikhususkan terhadap orang-orang kafir iaitu berkaitan membalas dendam terhadap mereka. Akan tetapi lafaz ayat ini yang berbentuk umum dan kekal untuk dilaksanakan dalam kalangan sesama orang Islam. Berkaitan pandangan yang mengatakan ayat bermaksud: “Tolaklah kejahatan kamu dengan melakukan kebaikan selepasnya,” maka ia juga memberikan isyarat tentang kelalaian, dan kebaikannya ialah zikir, sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW dalam hadith yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya: Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.

Riwayat Muslim (7033)

Golongan sufi berkata: “Termasuk dalam pengertian firman ini ialah tolaklah habuan keduniaan apabila ia mengganggu habuan akhirat dengan memilih habuan akhirat semata-mata.”

Ibn al-‘Arabi menyebut, Abu Bakar al-Fihri (gurunya) berkata kepada beliau: “Apabila berkumpul dua urusan kepadamu, yang satunya untuk dunia dan yang satu lagi untuk Allah SWT, maka utamakan yang untuk Allah SWT, maka dengan sebab itu kedua-duanya sekali akan engkau peroleh. Jika engkau utamakan dunia, mungkin kedua-duanya terlepas, dan boleh jadi engkau mendapat habuan dunia tetapi tidak diberkati.”

Ibn al-‘Arabi telah mengamalkan apa yang dipesan dan dia mendapati ia benar. Tidak syak lagi bahawa termasuk juga dalam pengertian ayat ini ialah menghindarkan sikap keras dan kasar. Demikianlah yang disifatkan melalui sabda (doa) Nabi SAW:

رَبِّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui.”

Riwayat Muslim (4747)

Kefahaman yang dipetik daripada ayat ini ialah: Susurilah cara hidup pemurah (dermawan), dan jangan engkau mengharapkan ganjaran, tolaklah tanpa tukar ganti. Jangan rentasi cara hidup perniagaan. Termasuklah dalam pengertian ayat ini: Ucapkan salam kepada orang yang tidak mengucapkan salam kepadamu. Banyak lagi contoh-contoh yang lain, tetapi motifnya telah sedia dimaklumi (oleh semua), maka rentasilah cara itu. (Lihat Ahkam al-Quran oleh Ibn al-‘Arabi, 5/593-595)