Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1383 : HUKUM MEMBACA DOA DI DALAM RUKUK

AK 1383

Soalan:

Assalamu’alaikum tuan Mufti, saya ingin bertanya apakah hukumnya saya membaca doa di dalam rukuk ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan kepada Rasulullah S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berdoa merupakan suatu ibadah yang amat dituntut untuk dilakukan pada setiap masa, tempat, dan keadaan. Ini diambil dari firman Allah S.W.T:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Telah berkata Tuhan kamu ‘’Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.

Surah Ghaafir (60)

Merujuk kepada nas-nas syarak, kita akan mendapati bahawa ada tempat-tempat, waktu-waktu, dan juga keadaan yang mustajab untuk kita berdoa padanya. Ini seperti pada satu pertiga malam, di dalam sujud, di antara dua azan, ketika dalam permusafiran, dan selainnya seperti yang dinyatakan dalam hadis-hadis yang sahih.

Berbalik kepada persoalan hukum berdoa ketika rukuk, para ulama terbahagi kepada dua pendapat berdasarkan kefahaman mereka terhadap sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ

Maksudnya: Sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika ruku’ atau ketika sujud. Adapun ketika ruku’ maka perbesarkanlah Tuhan kamu di dalamnya. Manakala ketika sujud bersungguhlah kamu dalam berdoa.

Riwayat Muslim (479)

Imam Malik berpendapat bahawa berdoa ketika rukuk adalah makruh hukumnya. Ini kerana nas hadis di atas mengarahkan supaya seseorang itu mengagung dan membesarkan Allah S.W.T ketika rukuk dan bukannya berdoa. Manakala anjuran berdoa adalah pada perbuatan sujud.

Majoriti ulama pula berpendapat akan keharusan berdoa di dalam rukuk. Mereka berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata:

 كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ فِي رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W membaca di dalam ruku’ dan sujud baginda: ‘’Maha suci Kamu ya Allah wahai Tuhan kami dan segala puji bagi-Mu. Ya Allah ampunkanlah aku’’.

Riwayat Al-Bukhari (794)

Dapat dilihat fekah Imam al-Bukhari terhadap hadis ini menerusi pembahagian bab di dalam kitab beliau Sahih al-Bukhari, beliau menyatakan ‘’Bab Berdoa Ketika Rukuk’’. Maka hadis di atas merupakan dalil yang jelas dalam menggambarkan keharusan berdoa ketika rukuk.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum berdoa di dalam rukuk adalah harus. Meskipun begitu yang lebih afdhalnya adalah berdoa di dalam sujud berdasarkan anjuran yang terdapat di dalam hadis yang telah kami nyatakan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.