Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1392 : PENGIRAAN UMUR 2 TAHUN UNTUK ANAK SUSUAN: KALENDAR HIJRAH ATAU MASEHI?

af1392

Soalan:

Assalamualaikum wbt SS Dr Zul, saya ingin bertanya tentang tahun kiaan bagi anak susuan; adakah mengikut kalendar hijrah atau masehi. Ini kerana saya mengambil anak angkat perempuan, kalau ikut bulan Islam 17/11/2018 cukup umurnya dua tahun tetapi mengikut kalendar masehi 9/12/2018 baru genap dua tahun. Memandangkan adik ipar saya baru bersalin, adakah tidak pendapat yang mengatakan boleh mengikut kiraan bulan masehi? Jika ada saya hendak memberikan anak itu untuk disusukan oleh adik ipar saya supaya saya menjadi mahram anak angkat tersebut.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt. 

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas Ahli Keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Kiamat.

Firman Allah ﷻ:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu;”

(Surah al-Baqarah: 233)

Ayat ini menunjukkan bahawa had umur fitam (فِطام) atau putus susu adalah dua tahun. Kriteria ini juga digunakan untuk meletakkan had maksimum umur untuk menjadikan mahram akibat penyusuan. Ini disokong oleh ayat lain yang menyebut:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

Maksudnya: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

 (Surah Luqman: 14)

Imam Syafie menerangkan dalam al-Umm (7/108) bahawa Syarak menggunakan kriteria bulan qamariyyah atau hilaliyyah dalam penentuan Hukum Syarak. Ini kerana kriteria bulan mengikut hilal itu lebih makruf dalam kalangan manusia, khususnya masyarakat sewaktu diturunkan wahyu berbanding sistem-sistem lain, termasuklah dalam pengiraan tahun bagi penyusuan. Beliau menguatkan konsep ini dengan firman Allah ﷻ:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.”

(Surah al-Baqarah: 189)

Oleh itu, mazhab al-Syafie menetapkan bahawa syarat sah pemahraman melalui penyusuan ialah susuan di bawah umur dua tahun qamariyyah. Berkata Imam al-Nawawi:

وَيُعْتَبَرُ الْحَوْلَانِ بِالْأَهِلَّةِ

Maksudnya: “Dan diambilkira dua tahun itu mengikut kiraan anak-anak bulan.”

Raudhah al-Tolibin (9/7)

Begitu juga hadith, al-Daraqutni meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ رَضَاعَ إِلاَّ مَا كَانَ فِى الْحَوْلَيْنِ

Maksudnya: “Penyusuan adalah dalam lingkungan umur dua tahun.”

 Riwayat al-Daraqutni (4/174)

Di dalam hadith yang lain daripada Ummu Salamah R.Anha, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ يُحَرِّمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ إِلاَّ مَا فَتَقَ الأَمْعَاءَ فِى الثَّدْىِ وَكَانَ قَبْلَ الْفِطَامِ

Maksudnya: “Anak susuan tidak menjadi mahram melainkan sebab susu yang masuk ke dalam perutnya semasa menyusu sebelum anak itu bercerai daripada tetek.”

Riwayat al-Tirmizi (1152)

Maksud bercerai daripada tetek adalah sebelum anak itu mencapai usia dua tahun, sebagaimana firman Allah SWT yang lalu.

Seterusnya hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم دَخَلَ عَلَيْهَا وَعِنْدَهَا رَجُلٌ، فَكَأَنَّهُ تَغَيَّرَ وَجْهُهُ، كَأَنَّهُ كَرِهَ ذَلِكَ فَقَالَتْ: إِنَّهُ أَخِى. فَقَالَ: انْظُرْنَ مَا إِخْوَانُكُنَّ، فَإِنَّمَا الرَّضَاعَةُ مِنَ الْمَجَاعَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW masuk menemuinya ketika dia bersama-sama seorang lelaki. Wajah Baginda berubah seolah-olah membenci keadaan itu. Lalu Aisyah berkata: “Dia ialah saudara susuanku.” Baginda pun bersabda: “Pastikan siapa saudara kamu, penyusuan hanya semasa anak kecil berasa lapar.”

Riwayat al-Bukhari (4814) dan Muslim (1455)

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa antara syarat-syarat sah pemahraman melalui cara susuan ialah hendaklah bayi yang disusukan itu berumur bawah dua tahun Qamariyyah.

Inilah pendapat majoriti fuqaha daripada kalangan ulama mazhab Syafie, Hanbali dan Abu Yusuf serta Muhammad al-Syaibani daripada mazhab Hanafi. Manakala menurut mazhab Maliki, mereka memberikan kelonggaran sehingga dua tahun dua bulan jika bayi berkenaan tidak berhenti susu sebelum dua tahun kerana memakan makanan lain selain susu. Begitu juga pendapat Abu Hanifah, beliau meletakkan had maksimum kepada dua tahun setengah. Dalil yang beliau gunakan ialah ayat al-Quran:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Menurut beliau, Allah ﷻ menetapkan bahawa kemahraman akibat penyusuan berlaku secara mutlak tanpa dipengaruhi dengan tempoh penyusuan, melainkan sebenarnya terdapat dalil bahawa tempoh penyusuan selepas dua tahun setengah bukan yang dimaksudkan tetapi tiga puluh bulan berdasarkan ayat:

وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Maksudnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”

Rujuk Bada’i` al-Sona’i` (4/6) oleh Imam al-Kasani

Terdapat pandangan yang diutarakan oleh Syeikh Ibn Taimiyyah daripada mazhab Hanbali bahawa sebahagian ulama Salaf seperti Ummul Mukminin Aisyah, Atho’ dan al-Laith, mengatakan bahawa boleh memberikan susu badan kepada individu yang berusia lebih dua tahun ke atas dengan tujuan pemahraman dengan syarat hendaklah terdapat keperluan terhadapnya seperti anak yang telah diasuh sejak kecil. Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah R.Anha:

أَنَّ سَالِمًا مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ كَانَ مَعَ أَبِي حُذَيْفَةَ وَأَهْلِهِ فِي بَيْتِهِمْ فَأَتَتْ تَعْنِي ابْنَةَ سُهَيْلٍ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ إِنَّ سَالِمًا قَدْ بَلَغَ مَا يَبْلُغُ الرِّجَالُ وَعَقَلَ مَا عَقَلُوا وَإِنَّهُ يَدْخُلُ عَلَيْنَا وَإِنِّي أَظُنُّ أَنَّ فِي نَفْسِ أَبِي حُذَيْفَةَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَقَالَ لَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْضِعِيهِ تَحْرُمِي عَلَيْهِ وَيَذْهَبْ الَّذِي فِي نَفْسِ أَبِي حُذَيْفَةَ فَرَجَعَتْ فَقَالَتْ إِنِّي قَدْ أَرْضَعْتُهُ فَذَهَبَ الَّذِي فِي نَفْسِ أَبِي حُذَيْفَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Salim bekas hamba Abu Hudzaifah, bersama Hudzaifah, dan isterinya tinggal serumah. Maka anak perempuan Suhail (yaitu isteri Abu Hudzaifah) datang menemui Nabi ﷺ, dia berkata; "Sesungguhnya Salim telah dewasa dan berpikir layaknya orang yang sudah dewasa, akan tetapi dia masih bebas masuk menemui kami, sesungguhnya saya khuatir dalam diri Abu Hudzaifah ada sesuatu." Maka Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya: "Susuilah dia, sehingga dia akan menjadi mahrammu, dengan begitu akan hilang apa yang menjadi pikiran Abu Hudzaifah." Tidak lama kemudian, dia kembali dan berkata; Sesungguhnya saya telah menyusuinya, maka hilanglah fikiran yang bukan-bukan dari diri Abu Hudzaifah.”

Riwayat Muslim (2637)

Disebut dalam riwayat Imam Malik dalam al-Muwatto bahawa Rasulullah ﷺ bersabda dalam kes di atas:

أَرْضِعِيهِ خَمْسَ رَضَعَاتٍ، فَيَحْرُمُ بِلَبَنِهَا

Maksudnya: “Hendaklah anda menyusukannya sebanyak lima kali susuan barulah menjadi mahram dengan susuan anda.”

Riwayat Malik (12)

Manakala hujah Jumhur ulama, seperti mana yang dinukilkan daripada Imam al-Nawawi dalama seperti berikut:

“Majoriti ulama berhujah dengan firman Allah Taala:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu;”

(Surah al-Baqarah: 233)

dan dengan hadis yang disebut oleh Imam Muslim (penterjemah: telah disebutkan di atas) bahawa penyusuan hanya semasa anak kecil berasa lapar, dan dengan hadis lain yang masyhur, dan para ulama majoriti itu menanggungkan maksud hadis Sahlah ini ke atas bahawa sanya ini adalah kes khusus untuk beliau dengan Salim. Imam Muslim juga telah meriwayatkan bahawa Umm Salamah dan sekalian isteri Rasulullah ﷺ (selain Aisyah) berpendapat yang berbeza dengan Aisyah tentang ini. Wallahua’lam.”

Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `Ala Muslim (10/30-31)

Berdasarkan penerangan di atas, dapat kita simpulkan bahawa para ulama bersepakat bahawa pengiraan tahun dalam hukum penyusuan adalah berdasarkan kalendar bulan (Hijriyyah) dan bukannya kalendar matahari, sama ada Masehi atau selainnya. Manakala para ulama berbeza pendapat tentang penentuan had umur yang mengharamkan pernikahan dengan penyusuan sama ada dua tahun, dua tahun dua bulan atau dua tahun setengah. Sebahagian ulama membenarkan pada umur yang lebih daripada itu apabila terdapat hajat mendesak. Semoga penjelasan ini dapat memberikan jawapan kepada penanya. Wallahua’lam.