Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI 1420: ADAKAH PEMBENIHAN AWAN DIANGGAP MENCABAR KUASA ALLAH SWT

awan benih.JPG

Soalan:

Adakah pembenihan awan dikira mengambil alih kerja Allah SWT? Ini kerana hanya Allah SWT sahaja yang berhak dan mampu menurunkan hujan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Menurut laman web eksiklopedia bebas Wikipedia, pembenihan awan ialah:

“...suatu bentuk pengolahan cuaca yang mengubah jumlah atau jenis kerpasan yang terkumpul di awan melalui penyebaran bahan tertentu di udara. Bahan yang tersebar ini bertindak sebagai suatu nukleus ais atau penyejatan awan yang merubah proses mikrofizik dalam awan tersebut. Kaedah ini biasa digunakan untuk menambahkan air hujan atau salji yang turun, serta juga mengawal peredaran kabus dan hujan batu terutamanya di kawasan yang penting seperti di lapangan terbang”.

Menurut laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia pula, ia proses pembenihan awan membabitkan penggunaan larutan garam yang dicampur dengan air untuk dimuatkan dalam tangki yang kemudiannya diterbangkan menggunakan dan disembur ke dalam awan yang pada kebiasaannya pada ketinggian 5000 hingga 8000 meter dari permukaan tanah.[1]

Perspektif syarak terhadap pembenihan awan

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ

Maksudnya: Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat, dan Dia lah jua yang menurunkan hujan...

Surah Luqman (34)

Firman-Nya lagi:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا نَسُوقُ الْمَاءَ إِلَى الْأَرْضِ الْجُرُزِ فَنُخْرِجُ بِهِ زَرْعًا تَأْكُلُ مِنْهُ أَنْعَامُهُمْ وَأَنفُسُهُمْ

Maksudnya: Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri?

Surah al-Sajdah (27)

Melalui ayat-ayat ini jelas bahawa yang Maha Berkuasa menurunkan hujan hanyalah Allah SWT. Maka sesetengah pihak menimbulkan persoalan: adakah proses pembenihan awan yang dijalankan pada zaman sekarang dikira sebagai mencabar kekuasaan Allah?

Proses pembenihan awan dikenali dalam bahasa Arab dengan istilah al-istimtor (الاستمطار) di atas wazan al-istif’al dan al-mator al-sina’ie (المطر الصناعي) atau hujan buatan.

Fatwa-fatwa daripada institusi-institusi fatwa terkemuka dunia, seperti Darul Iftaa’ al-Misriyyah dan Darul Iftaa’ Jordan secara jelas menyebut bahawa proses pembenihan awan tidak bercanggah dengan syarak, dan tidak boleh dianggap sebagai mencabar kuasa Tuhan, selagimana keyakinan kita jelas terhadap Allah SWT sebagai satu-satunya kuasa yang menurunkan hujan. (Rujuk pautan https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2573#.XYl-wSgzY2w dan Fatawa al-Azhar 7/405

Antara hujahan badan-badan berautoriti ini, Allah SWT telah menciptakan alam ini di atas hukum sunnatullah dan asbab, dan Allah SWT sendiri yang memerintahkan kita agar hidup dan menggunakan asbab ini, dan pada masa sama meletakkan i’tiqad dan keyakinan mutlaq kepada Allah SWT. Firman-Nya:

وَاللَّهُ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَسُقْنَاهُ إِلَى بَلَدٍ مَيِّتٍ فَأَحْيَيْنَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا كَذَلِكَ النُّشُورُ

Maksudnya: Dan Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami halakan awan itu ke negeri yang mati (yang kering kontang); lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu.

Surah Fatir (9)

Allah SWT menjelaskan proses penurunan hujan secara saintifik agar manusia belajar, mengambil manfaat dan ibrah daripadanya, namun pada masa sama sentiasa menekankan bahawa Dia-lah al-Musabbib (yang menjadi Penyebab) kepada penurunan hujan tersebut.

Oleh itu, wajib ke atas mereka yang terlibat dalam proses pembenihan awan ini untuk beri’timad dan meletakkan sepenuh keyakinan kepada Allah SWT, dan bukannya kepada asbab atau hukum alam yang Dia jadikan. Allah SWT memberi peringatan kepada manusia melalui firman-Nya dalam al-Qur’an:

أَفَرَأَيْتُمُ الْمَاءَ الَّذِي تَشْرَبُونَ- أَأَنْتُمْ أَنْزَلْتُمُوهُ مِنَ الْمُزْنِ أَمْ نَحْنُ الْمُنْزِلُونَ

Maksudnya: Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?

Surah al-Waqi’ah (28-29)

Menurut Syeikh ‘Atiyya Saqr, proses pembenihan awan itu sendiri mengunakan bahan-bahan yang diciptakan oleh Allah SWT, dan mereka tidak akan mampu mencipta sendiri bahan-bahan tersebut. Selain itu, proses ini juga tidak selalu berjaya, bahkan selalu berakhir dengan kegagalan, antaranya hujan yang terlalu sedikit dihasilkan, dan hujan buatan yang akhirnya membawa kepada rosaknya tanam-tanaman.

Maka dalam hal ini, bagaimana mungkin proses tersebut dianggap sebagai mencabar kekuasaan Allah? Bahkan sebenarnya proses tersebut merupakan satu bukti akan kekuasaan Allah SWT dan kelemahan manusia. Firman-Nya lagi:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنتُمُ الْفُقَرَاءُ إِلَى اللَّـهِ ۖ وَاللَّـهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ

Maksudnya: Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Surah Fatir (15)

Proses pembenihan awan itu sendiri dibenarkan, namun yang tidak dibenarkan ialah menisbahkan penurunan hujan itu secara mutlak dan hakiki kepada proses-proses pembenihan hujan itu sendiri, dan melupakan hakikat sebenar iaitu hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa menurunkan hujan menurut kehendak-Nya.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, proses pembenihan awan untuk menurunkan hujan tidaklah dianggap sebagai mencabar kuasa Allah SWT, bahkan ia hanya merupakan satu ikhtiyar manusiawi melalui ilmu yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Sebagai orang Islam, sinergi antara doa, usaha dan tawakkal hendaklah seiring. Disamping berusaha melalui proses pembenihan awan, doa dan solat istisqa’ mestilah dilaksanakan, dan setelah itu hendaklah menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Berkuasa menurunkan hujan, dan yakin bahawa yang berkuasa menurunkan hujan hanyalah Allah SWT sahaja.

Wallahu a’lam.

[1] Rujuk https://ms.wikipedia.org/wiki/Pembenihan_awan dan http://www.met.gov.my/pendidikan/sainsatmosfera/pembenihanawan