Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1478 : HUKUM BERDOA TIDAK MENGHADAP KIBLAT

AK1478A

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, apa pandangan tuan tentang imam yang membelakangkan kiblat dan menghadap para jemaah dalam berdoa sesudah selesai solat berjamaah ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berdoa merupakan antara sebesar-besar ibadah yang dianjurkan di dalam Islam. Bahkan ia disifatkan sebagai ‘otak’ atau teras bagi ibadah itu sendiri. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ

Maksudnya : Doa merupakan teras bagi ibadah.

Riwayat Al-Tirmizi (3371)

Begitu banyak anjuran dan galakan untuk berdoa seperti yang disebutkan oleh beberapa nas syarak. Antaranya adalah firman Allah S.W.T :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya : Dan telah berkata Tuhan kamu “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan’’.

Surah Ghafir (60)

Meskipun begitu, doa dianggap sebagai suatu ibadah istimewa yang mempunyai adab-adab dan tatacaranya yang tersendiri seperti yang ditunjukkan dalam beberapa nas. Kami telah membahaskan secara panjang lebar berkenaan adab-adab dan juga cara mendapatkan doa yang mustajab di dalam ruangan Al-Kafi #1015: Bagaimana Mendapatkan Doa Mustajab yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/36cMyPX

Kami juga menambah bahawa antara adab dalam berdoa juga adalah dengan menghadap ke arah kiblat semasa berdoa. Imam Al-Bukhari Rahimahullah meletakkan satu bab di dalam kitab Sahih Al-Bukhari dengan tajuk ‘Bab Berdoa Menghadap Kiblat’. Beliau meletakkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid R.A beliau berkata :

خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى هَذَا المُصَلَّى يَسْتَسْقِي، فَدَعَا وَاسْتَسْقَى، ثُمَّ اسْتَقْبَلَ القِبْلَةَ وَقَلَبَ رِدَاءَهُ

Maksudnya : Rasulullah S.A.W telah keluar pada suatu hari menuju ke tanah lapang untuk baginda melakukan istisqa’ (doa meminta agar Allah turunkan hujan). Lalu beliau berdoa dan beristisqa’ kemudian menghadap ke arah kiblat dan baginda membalikkan rida’ baginda.

Riwayat Al-Bukhari (6343)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Nabi S.A.W berdoa kepada Allah S.W.T agar menurunkan hujan dengan menadah tangan baginda menuju ke arah kiblat. Justeru, dapat difahami bahawa antara adab berdoa adalah dengan menghadap ke arah kiblat.

Meskipun begitu, berbalik kepada persoalan yang dikemukakan berkenaan hukum seseorang itu berdoa dengan membelakangi kiblat, maka berikut kami kongsikan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata :

بَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَسْقِيَنَا‏.‏ فَتَغَيَّمَتِ السَّمَاءُ وَمُطِرْنَا، حَتَّى مَا كَادَ الرَّجُلُ يَصِلُ إِلَى مَنْزِلِهِ، فَلَمْ تَزَلْ تُمْطَرُ إِلَى الْجُمُعَةِ الْمُقْبِلَةِ، فَقَامَ ذَلِكَ الرَّجُلُ أَوْ غَيْرُهُ فَقَالَ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَصْرِفَهُ عَنَّا، فَقَدْ غَرِقْنَا‏.‏ فَقَالَ ‏اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا فَجَعَلَ السَّحَابُ يَتَقَطَّعُ حَوْلَ الْمَدِينَةِ، وَلاَ يُمْطِرُ أَهْلَ الْمَدِينَةِ

Maksudnya : Ketika Nabi S.A.W sedang menyampaikan khutbah pada hari Jumaat maka berdirilah seorang lelaki lalu berkata : Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami. (Maka Rasulullah pun berdoa kepada Allah). Kemudian langit pun menjadi gelap gelita dan hujan turun. Sehinggalah apabila lelaki tersebut sampai ke rumahnya, maka hujan tetap turun secara berterusan sehinggalah pada hari Jumaat yang berikutnya. Maka lelaki tersebut atau selainnya sekali lagi bangun lalu berkata : (Wahai Rasulullah) berdoalah kepada Allah agar Dia mengalihkan hujan dari kamu kerana sesungguhnya kami telah tenggelam (disebabkan hujan lebat yang berterusan). Lalu kata Nabi S.A.W : Ya Allah, turunkan lah ke kawasan sekitar kami dan janganlah Kau turunkan ia ke atas kami. Maka awan pun berpecah-pecah di kawasan sekitar Madinah, dan tidak diturunkan hujan kepada penduduk Madinah.

Riwayat Al-Bukhari (6432)

Justeru, apabila kita merujuk kepada hadis ini kita dapat melihat bahawa Rasulullah S.A.W berdoa agar Allah S.W.T mengalihkan hujan ke kawasan sekitar Madinah dan bukannya ke atas kawasan Madinah, dalam keadaan baginda menghadap ke arah para jemaah di atas mimbar dan membelakangkan kiblat. Oleh kerana itu Imam Al-Bukhari di dalam kitab beliau Sahih Al-Bukhari telah meletakkan hadis ini di bawah bab ‘Berdoa Membelakangkan Kiblat’.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa secara asasnya, seseorang itu dituntut untuk berdoa dengan menghadap ke arah kiblat. Ini kerana, ini merupakan salah satu adab berdoa, serta menjadi teladan dan pengamalan para salafussoleh. Meskipun begitu, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang itu berdoa dalam keadaan membelakangkan kiblat, kerana warid perbuatan tersebut dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.