Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1542 : ADAKAH SUSU IBU SUCI SERTA SAH SOLAT DENGANNYA?

al Kafi 1542

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ingin bertanya, saya mempunyai susu badan yang berlebihan. Dan kadang-kadang susu tersebut keluar sendiri dan terkena pada pakaian saya. Adakah sah solat saya dengan pakaian tersebut? Mohon penjelasan Dato' Mufti.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT ;

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً نُسْقِيكُمْ مِمَّا فِي بُطُونِهِ مِنْ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ

Maksudnya : “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terhasil dari dalam perutnya, yang lahir daripada antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl : 66)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di menyebutkan bahawa sesungguhnya pada haiwan-haiwan ternakan itu yang mana Allah SWT telah tundukkan (sediakan) buat manfaat kamu semua, ada sesuatu yang boleh kamu ambil pelajaran daripadanya iaitu ia menunjukkan kepada kesempurnaan kekuasaan Allah serta luasnya belas kasihanNya. Bilamana Dia telah memberi kamu minum apa yang terhasil daripada dalam perut haiwan - haiwan tersebut yang terdiri daripada kotoran dan darah. Dia telah keluarkan daripada antara kedua-dua perkara tersebut, susu yang bersih daripada apa-apa yang mengeruhkannya (tidak bercampur dengan apa-apa selainnya), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya kerana kelazatannya. Juga kerana ia menghilangkan dahaga serta mengenyangkan. Tidaklah perkara-perkara ini (terjadi) melainkan dengan kekuasaan Allah SWT, bukan semata-mata tabiat semulajadi. Apakah ada sesuatu yang secara tabiat semulajadinya boleh menukarkan kotoran yang di makan oleh haiwan-haiwan serta minuman yang diminumnya yang terdiri daripada air tawar dan masin menjadi susu yang bersih (daripada sebarang anasir-anasir lain), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 443)

Susu ibu adalah suci

Mengenai kesucian susu ibu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :

لَبَنُ الْآدَمِيِّ وَهُوَ طَاهِرٌ عَلَى الْمَذْهَبِ ... وَبِهِ قَطَعَ الْأَصْحَابُ إلَّا صَاحِبَ الْحَاوِي فَإِنَّهُ حَكَى عَنْ الْأَنْمَاطِيِّ مِنْ أَصْحَابِنَا أَنَّهُ نَجِسٌ وَإِنَّمَا يَحِلُّ شُرْبُهُ لِلطِّفْلِ لِلضَّرُورَةِ ... وَهَذَا ليس بشئ بَلْ هُوَ خَطَأٌ ظَاهِرٌ وَإِنَّمَا حَكَى مِثْلَهُ لِلتَّحْذِيرِ مِنْ الِاغْتِرَارِ بِهِ وَقَدْ نَقَلَ الشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ إجْمَاعَ الْمُسْلِمِينَ عَلَى طَهَارَتِهِ قَالَ الرُّويَانِيُّ ... إذَا قُلْنَا بِالْمَذْهَبِ إنَّ الْآدَمِيَّةَ لَا تَنْجُسُ بِالْمَوْتِ فَمَاتَتْ وَفِي ثَدْيِهَا لَبَنٌ فَهُوَ طَاهِرٌ يَجُوزُ شُرْبُهُ وَبَيْعُهُ

Maksudnya : “Susu badan adalah suci menurut mazhab Syafie… dan ianya adalah pendapat yang diputuskan oleh para ashab (ulama Syafi’iyyah) kecuali penulis kitab al-Hawi. Beliau telah menukilkan satu pendapat daripada al-Anmathi yang merupakan salah seorang daripada ulama Syafi’iyyah bahawa susu badan adalah najis. Dan ia halal diminum oleh kanak-kanak kerana dharurat… Dan pendapat ini tiada apa-apa (nilai) bahkan telah jelas kesilapannya. Akan tetapi beliau telah menukilkan pendapat seperti ini bertujuan supaya berhati-hati daripada ditipu dengannya (pendapat tersebut). Sesungguhnya Syeikh Abu Hamid telah menukilkan bahawa kaum muslimin telah ijma’ akan kesuciannya. Al-Ruyani telah berkata… sekiranya kita mengatakan, mengikut pendapat mazhab (syafie) bahawa manusia itu tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Maka, apabila seorang wanita itu mati dan di dalam buah dadanya ada susu. Susu tersebut adalah suci serta harus (hukumnya) untuk diminum dan dijual.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/569)

Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada mengatakan bahawa :

أَمَّا لَبَنُ مَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ كَلَبَنِ الْفَرَسِ وَإِنْ وَلَدَتْ بَغْلًا فَطَاهِرٌ. قَالَ تَعَالَى : {لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ} [النحل : 66] وَكَذَا لَبَنُ الْآدَمِيِّ، إذْ لَا يَلِيقُ بِكَرَامَتِهِ أَنْ يَكُونَ مَنْشَؤُهُ نَجِسًا.

Maksudnya : “Adapun susu haiwan yang dimakan dagingnya seperti susu kuda, sekalipun ia telah melahirkan baghal adalah suci. Firman Allah SWT : {(iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.}[Surah al-Nahl : 66] Dan demikianlah juga susu manusia kerana tidak sesuai dengan kemuliaannya untuk (dikatakan) ia berasal (sumber) daripada najis.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/234)

Begitu juga al-Mardawi juga ada menyatakan bahawa susu manusia dan susu haiwan yang dimakan adalah suci secara sepakat para ulama (tanpa perselisihan). (Lihat al-Insof fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf, 1/343)

Maka, kita ketahui bahawa susu manusia adalah suci dan bukannya najis.

Solat dengan pakaian yang terkena susu badan

Sebelum kita menjawab soalan di atas, kita mesti mengetahui bahawa di antara syarat sah solat ialah suci pakaian daripada najis. Tidak memadai badan sahaja yang suci daripada najis malah pakaian orang yang bersolat juga hendaklah suci daripadanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/122) Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT :

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya : “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddathir : 4)

Sementara hadis pula, daripada Abu Hurairah R.A, Khaulah binti Yasar menemui Nabi SAW, lalu berkata :

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِى إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ؟ قَالَ: إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ ثُمَّ صَلِّى عَلَيهِ. فَقَالَتْ فَإِنْ لَمْ يَخْرُجِ الدَّمُ؟ قَالَ: يَكْفِيكِ غَسْلُ الدَّمِ وَلاَ يَضُرُّكِ أَثَرُهُ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah! Aku mempunyai sehelai pakaian sahaja, dan aku kedatangan haid yang kena pada pakaianku. Bagaimanakah yang sepatutnya aku lakukan? Sabda Baginda : Apabila engkau telah suci basuhlah pakaian itu dan bersolatlah dengan pakaian tersebut. Dia bertanya lagi : Bagaimanakah sekiranya darah itu tidak hilang? Sabda Baginda : Memadailah dengan membasuh darah tersebut dan tidak mengapa kesannya yang masih ada itu.” [HR Abu Daud (365)]

Oleh itu, kita dapat fahami bahawa seseorang yang hendak menunaikan solat mesti menjaga kesucian pakaiannya daripada sebarang najis kerana ia adalah merupakan sebahagian daripada syarat sah solat.

Berbalik kepada soalan di atas, kita semua telah jelas bahawa susu ibu adalah suci dan bersih. Maka, sekiranya seseorang itu telah solat dengan pakaian yang terkena susu ibu, solatnya adalah sah sekalipun dia tidak membasuhnya terlebih dahulu kerana susu ibu adalah suci (bukan najis) sepertimana benda-benda suci yang lain.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama, kami menyimpulkan bahawa susu ibu adalah suci dan bukannya najis. Malah para ulama telah sepakat dalam hal tersebut. Begitu juga, seseorang yang solat dengan pakaian yang terkena susu ibu (badan), solatnya adalah sah kerana susu ibu adalah suci.

Bagi mengikuti perbahasan lanjut yang berkaitan susu ibu, bolehlah membaca artikel kami di dalam :

  1. Bayan Linnas Siri ke-70 : Isu Berkenaan Ibu Susuan & Pelbagai Hukum (Kad atau Sijil Susuan).
  2. Irsyad al-Fatwa Siri ke-153 : Hukum Menjual Susu Ibu.
  3. Al-Kafi li al-Fatawi (510) : Hukum Berkaitan Bank Susu.
  4. Al-Kafi li al-Fatawi (630) : Hukum Penyusuan Badan Selepas Umur 2 Tahun.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.