Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1553 : HUKUM MAKMUM YANG BERWUDHUK MENGIKUT IMAM YANG BERTAYAMMUM

Capture1553

Soalan:

Assamualaikum Dr. Saya ingin bertanya, apakah hukum saya mengikut imam yang bertayammum sekiranya saya mengetahui hal tersebut? Adakah solat saya sah atau saya perlu mengulanginya semula?

Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

إنما جعل الإمام ليؤتم به فلا تختلفوا عليه

Maksudnya:“Sesungguhnya adanya imam adalah untuk diikuti, maka janganlah kalian menyelisihinya”.

[Riwayat al-Bukhari (805) dan Muslim (411)]

Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan untuk memahami masalah solat imam dan makmum:

AL-KAFI #1051: Hukum Solat Orang Musafir Menjadi Imam Kepada Orang Mukim dan Sebalikya http://bit.ly/2FtRncl

IRSYAD AL-FATWA KE-80: Solat Fardu Berimamkan Solat Sunat http://bit.ly/35BgUej

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-309: Hukum Solat Berjemaah Jika Imam dan Makmum Berbeza Mazhab http://bit.ly/38r4t6u 

Jumhur ulama’ mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali menyatakan keharusan bagi makmum yang berwudhuk mengikut imam yang bertayammum. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/341; Kasysyaf al-Qina',1/465; Al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar, 1/50).

Hal ini berdasarkan peristiwa yang diriwayatkan daripada Amru al-’As:

اِحْتَلَمْتُ فيِ لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيْدَةِ البَرْد فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَن أَهْلَك فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابيِ صَلاَةَ الصُّبْحِ فَلَمَّا قَدِمْنَا عَلىَ رَسُول اللهِ  ذَكَرُوا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ : يَا عَمْرُو صَلَّيتَ بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُب؟ فَقُلْتُ : ذَكَرْتُ قَوْلَ الله تَعَالىَ -وَلاَ تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُم إِنَّ اللهُ كَانَ بِكُم رَحِيْمًا- فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ فَضَحِكَ رَسُولُ اللهِ  وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا

Maksudnya: “Daripada Amru bin Al-’Ash R.A bahwa ketika beliau diutus pada perang Dzatus Salasil berkata "Aku bermimpi basah pada malam yang sangat dingin. Aku yakin sekali sekiranya aku mandi maka aku akan ditimpa kecelakaan. Maka aku bertayammum dan solat subuh mengimami teman-temanku. Ketika kami tiba kepada Rasulullah S.A.W mereka bertanyakan hal itu kepada beliau. Lalu beliau bertanya: "Wahai Amru apakah kamu mengimami solat dalam keadaan junub?". Aku menjawab "Aku mengingati firman Allah S.W.T: [Janganlah kamu membunuh dirimu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih kepadamu] maka lalu aku bertayammum dan dan mendirikan solat". (Mendengar jawapannya itu) Rasulullah S.A.W tertawa dan tidak berkata apa-apa". 

Riwayat Al-hakim (1/117) dan Abu Daud (335)

Justeru, hadis di atas menunjukkan taqrir (pengakuan) Rasulullah S.A.W dalam sesuatu peristiwa iaitu apabila beliau melihat sesuatu hal lalu mendiamkan serta tidak menyalahkannya.

Walau bagaimanapun, dalam mazhab Syafi’i para ulama’ menyatakan keharusan orang yang berwudhuk mengikut imam yang bertayammum pada keadaan tertentu iaitu harus mengikut imam yang bertayammum sekiranya tidak diwajibkan ke atasnya (imam) untuk mengqadha’ solat tersebut. Adapun sekiranya imam itu bertayammum dan diwajibkan ke atasnya mengqadha’ semula solat tersebut maka hal itu tidak diharuskan.

Berkata Imam al-Nawawi: “Dan diharuskan solat orang yang membasuh kaki (ketika wudhuk) di belakang orang yang menyapu khuf, serta solat orang yang berwudhuk di belakang imam yang bertayammum sekiranya imam tersebut tidak diwajibkan untuk menqadha’ solatnya seperti keadaan orang yang bertayammum ketika musafir ataupun tayammum orang yang mukim disebabkan oleh kesakitan atau luka dan seumpamanya dan hal ini yang disepakati dalam mazhab kami. Adapun sekiranya seseorang solat di belakang imam yang bertayammum dan diwajibkan untuk menqadha’ semula solatnya seperti tayammum bagi orang bermukim yang tidak menemukan air dan seumpamanya, maka wajib ke atasnya (makmum tersebut) untuk mengulangi semula solatnya mengikut pandangan yang sahih kerana hukum solat imam tersebut tidak sah dan keadaannya seperti orang yang berhadas”. (Rujuk: Al-Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/263).

Disebut di dalam kitab Fath al-Rahman: “Tidak diharuskan (bagi makmum) untuk mengikuti imam yang  bertayammum yang diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha’ solatnya, seperti solat Faqid al-Thahurain (orang yang terhalang dari menggunakan air atau debu tanah), atau orang yang bertayammum disebabkan cuaca yang sejuk atau orang yang bertayammum dalam keadaan bermukim kerana tidak menemukan air”. (Rujuk: Fath Al-Rahman Syarh Zubad Ibn Ruslan, 1/355).

Adapun mengenai keumuman hadis Amru Al-As sebelum ini, Imam al-Syubramalsi ketika menghuraikan tentang hadis tersebut menyatakan: “Adapun nabi tidak memerintahkannya (Amru Al-As) dan para sahabat baginda untuk mengulangi solat mereka, kerana hal ini termasuk dalam bab -Ta’khir al- Bayan Ila Waqt al-Hajah - yakni melambatkan penerangan sehingga waktu yang ia diperlukan - dan ia adalah diharuskan, dan berkemungkinan juga bahawa Amru al-As sudah mengetahui tentang kewajipan menqadha’ solat tersebut, adapun mengenai sahabat-sahabat baginda, hal itu adalah berkemungkinan mereka tidak mengetahui tentang keadaan Amru Al-As (sedang bertayammum) ketika mengimamkan mereka dalam solat tersebut”. (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj 2/168; Mughni al-Muhtaj 1/268).

Justeru, secara ringkasnya kami simpulkan masalah ini seperti berikut:

  1. Hukum mengikut imam yang bertayammum yang diwajibkan ke atasnya untuk qadha’ solatnya adalah tidak diharuskandan solat tersebut tidak sah serta wajib ke atas makmum untuk mengqadha’ solatnya. Di antara contoh bagi keadaan ini ialah :
  • Tayammum bagi orang yang bermukim kerana tidak menemukan air sekiranya tempat tersebut secara kebiasaannya tidak terputus bekalan air. Namun sekiranya seseorang itu tinggal dan bermukim di padang pasir atau kawasan gurun, maka hal tersebut diharuskan dan dia tidak perlu menqadha’ solatnya. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/268).
  • Orang yang bertayammum kerana cuaca yang terlalu sejuk serta tidak menjumpai alat pemanas air. Hal ini kerana cuaca yang sejuk hanya berlaku dalam tempoh tertentu dan bukannya sepanjang waktu. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/268).
  1. Hukum mengikut imam yang bertayammum yang tidak diwajibkan ke atasnya qadha’ solatnya adalah diharuskan, dan solat tersebut sah dan tidak perlu qadha’. Di antara contoh keadaan ini ialah:
  • Orang yang bertayammum kerana tidak menemukan air ketika musafir, kecuali dia menempuh perjalanan untuk maksiat. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/268).
  • Orang yang bertayammum kerana sakit atau luka samada ketika mukim atau musafir dan sekiranya dia berwudhuk ia boleh menyebabkan kesakitan yang lebih teruk atau melambatkan proses penyembuhan. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/268).

Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan mengenai hukum berkaitan dengan tayammum:

Irsyad Al-Fatwa Ke-186: Hukum Bagi Mereka Yang Uzur dan Tidak Dapat Mengambil Wudhuk Dengan Air http://bit.ly/3ayq279

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa hukum makmum yang berwudhuk mengikut imam yang bertayammum adalah sah di sisi mazhab Syafi’e. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’.

Walau bagaimanapun, menurut Mazhab Syafi’e hukum makmum mengikut imam yang bertayammum boleh dipecahkan kepada 2 bahagian:

  1. Sekiranya imam yang bertayammum itu diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha’ solatnya maka ia tidak diharuskan dan solat tersebut tidak sah serta wajib diqadha’ solatnya.
  2. Sekiranya imam yang bertayammum itu tidak diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha’ solatnya maka ia diharuskan, dan solat tersebut sah serta tidak perlu diqadha’. Wallahu a’lam.

Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.