Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ifkr140 compressed

 

Soalan:

Assalamualaikum ustaz.

Saya nak minta tolong. Saya keluar darah sikit setitik macam itu dalam dua hari pada 4 dan 5 hb. Mei. Sehari sebelum puasa dengan hari pertama puasa. Esoknya tidak keluar darah, saya mandi bersih dan berpuasa sehinggalah 17hb. Hari ke 18hb ada keluar darah sedikit sebelum asar. Hari ini 19hb saya tak pasti lagi keluar atau tak.

Persoalan saya ustaz, tarikh 18 hb semalam darah keluar itu saya nak kena kira sebagai hari ke 15 haid atau hari pertama haid semula, bagaimana dengan 12 hari saya dah puasa?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Asas jawapan bagi soalan ini ialah kita perlu mengetahui terlebih takrif darah haid. Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji memerikan istilah haid sebagai:

حيض في اللغة: السيلان. يقال حاض الوادي إذا سال. وفي الشرع: دم جبلة ـ أي خلقة وطبيعة ـ تقتضيه الطباع السليمة يخرج من أقصى رحم المرأة بعد بلوغها على سبيل الصحة، في أوقات معلومة.

Maksudnya: “Erti haidh pada bahasa ialah mengalir. Manakala erti haidh pada syara’ ialah darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.”

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/77)

Berdasarkan takrif di atas, difahami bahawa darah haid itu ialah darah yang keluar pada waktu yang normal dan dalam keadaan sihat. Justeru, darah yang keluar bukan pada waktu kebiasaan yang normal dan akibat penyakit adalah bukan darah haid, dan dianggap sebagai darah fasad atau darah istihadah. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, darah istihadah didefinisikan sebagai:

دم علة ومرض يخرج من عرق من أدنى الرحم يقال له العاذل

Maksudnya: “Darah Istihadhah ialah darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim yang dikenali sebagai al-‘Azil (العاذل).”

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/79)

Kriteria yang penting untuk diambilkira daripada takrif tersebut ialah darah itu keluar pada waktu tertentu. Antara, waktu-waktu itu adalah waktu minimum, maksimum dan kebiasaan haid. Dalam mazhab al-Syafie, waktu minimum haid adalah sehari semalam. Inilah yang difatwa oleh Imam al-Syafie dalam al-Umm dan dipegang oleh para ashab. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/376)

Maksud sehari semalam itu adalah 24 jam seperti yang disebut oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari dalam kitabnya:

أَيْ قَدْرُهُمَا وَهُوَ أَرْبَعٌ وَعِشْرُونَ سَاعَةً

Maksudnya: yakni kadar siang dan malam itu adalah 24 jam.

Rujuk Manhaj al-Tullab (1/99)

Tempoh keluar darah 24 jam itu boleh jadi secara berterusan, atau secara terputus-putus. Jika seorang wanita itu keluar darah haid secara putus-putus, selama 4 hari, kemudian baharulah cukup 24 jam, maka pada hari yang empat itu barulah dia dianggap berhaid 1 hari.

Kemudian jika darah terhenti sebelum datang kembali beberapa hari kemudian, tempoh berhenti darah itu, atau disebut tempoh naqa’, dianggap sebagai tempoh keluar darah haid, mengikut pendapat yang muktamad. Manakala mengikut pendapat yang kedua dalam mazhab, tempoh naqa’ itu adalah suci dan menerima sahnya solat dan puasa yang dibuat pada waktu itu.

Syarat darah yang terputus-putus itu keluar mestilah tidak melebihi 15 hari untuk dikira sebagai darah haid. Jika lebih, maka keseluruhan darah itu adalah darah fasid, atau rosak, dan bukan darah haid.

Justeru, apabila berlalunya 15 hari tanpa cukup 24 jam darah keluar, sama ada berterusan atau putus-putus, maka jika datang darah selepas 15 hari itu hendaklah dianggap permulaan keluar darah.

Berikut kami sebutkan semua syarat-syarat untuk menjadikan tempoh naqa’ ialah waktu haid:

  1. Masa naqa’ tidak melebihi 15 hari bersama dengan darah haid.
  2. Masa naqa’ itu mesti termasuk di dalam himpunan tempoh haid yang tidak kurang daripada sehari semalam.
  3. Masa naqa’ itu mesti lebih daripada fatrah yang adat. Fatrah ialah waktu darah tidak keluar tetapi jika dimasukkan kapas ke bahagian faraj aka nada kesan darah. Waktu fatrah adalah haid tanpa khilaf ulama.

Rujuk Tuhfah al-A`izza’ (hlm. 92)

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, puasa pihak yang bertanya pada 12 hari pertama itu adalah sah. Ini kerana darah setitik dua yang keluar pada 4 dan 5 hb. Mei itu tidak cukup kadar masanya untuk dianggap sebagai darah haid kerana tidak cukup 24 jam dalam tempoh 15 hari. Manakala darah yang keluar pada 18 hb. itu hendaklah dianggap sebagai hari baharu dan perlu menggunakan kembali kaedah di atas untuk menentukan adakah ia adalah darah haid atau darah fasid. Ini juga kerana apabila sudah dipastikan bahawa 15 hari pertama itu bukanlah darah haid, maka tempoh minimum 15 hari suci tidak terpakai di sini.

Wallahua’lam