Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN 141

Soalan:

Assalamualaikum Tuan Mufti, saya ingin bertanyakan soalan. Apakah hukumnya seseorang yang berkerja sebagai seorang rider di mana-mana syarikat yang ada menyediakan food delivery (penghantaran makanan) yang menghantar makanan kepada orang yang tidak berpuasa ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berpuasa pada bulan Ramadhan adalah suatu kewajipan ke atas setiap umat Islam yang mukallaf. Bahkan puasa Ramadhan merupakan salah satu rukun dari lima rukun Islam itu sendiri. Dalil kewajipan berpuasa Ramadhan adalah berdasarkan firman Allah S.W.T :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya : Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran yang memberi petunjuk kepada seluruh umat manusia serta menjadi keterangan dari petunjuk dan juga pemisah (antara yang benar dan yang batil). Maka sesiapa dari kalangan kamu yang menyaksikan masuknya bulan tersebut hendaklah dia berpuasa.

Surah Al-Baqarah (185)

Pada ayat فَلْيَصُمْهُ terdapatnya لام الأمر yang merupakan satu perintah untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan. Justeru, ibadah berpuasa tersebut merupakan suatu kewajipan dan mengingkarinya iaitu meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah suatu perkara yang diharamkan.

Kata Sultan al Ulama Al Izz Ibn Abd al Salam :

الأَمْرُ بِالشَيءِ نهْي عَنْ ضِدِّهِ

Maksudnya: Perintah untuk melakukan sesuatu dalam masa yang sama merupakan suatu larangan ke atas perkara yang menyelisihinya.

Rujuk Al Waraqat, Izz Ibn Abd al-Salam (Hlm. 10)

Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan kami nyatakan firman Allah S.W.T yang berikut :

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.

Surah Al-Maidah (2)

Kata Imam al-Hafiz Ibn Katsir Rahimahullah dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini : ‘’Dia (Allah S.W.T) melarang kamu dari saling membantu atas perkara yang batil serta tolong menolong atas perkara-perkara dosa dan sesuatu yang diharamkan’’.

Kata Imam Ibn Jarir : Dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah perintahkan untuk ia dilakukan. Dan maksud Al-‘Udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama kamu dan melampaui apa yang telah Allah fardhukan ke atas diri kamu dan selain kamu. Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, Ibn Katsir (3/7).

Oleh yang demikian, ayat ini adalah dalil yang sorih (jelas) dalam menyatakan pengharaman perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa lagi haram.

Bahkan terdapat sebuah kaedah yang berteraskan kepada nas di atas yang menyebut :

إِعَانَةُ المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.

Justeru, menolong seseorang dalam melakukan sebarang perbuatan maksiat turut dianggap sebagai maksiat meskipun dia sendiri tidak melakukan perbuatan maksiat tersebut.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa perbuatan memberi makanan kepada orang yang sememangnya diketahui tidak berpuasa dengan sengaja adalah haram kerana ini membantunya melakukan maksiat iaitu meninggalkan puasa tanpa sebarang keuzuran syarak.

Adapun bagi seseorang yang berkerja sebagai penghantar makanan, sekiranya dia tidak mengetahui pesanan makanan tersebut diminta oleh orang yang berpuasa ataupun tidak, dia boleh sahaja menghantar makanan tersebut kepadanya. Ini kerana, terdapat beberapa kemungkinan seperti wanita yang dalam keadaan uzur syar’ie, orang yang sakit dan seumpamanya.

Manakala sekiranya seseorang itu mengetahui bahawa pesanan tersebut adalah dari orang yang tidak berpuasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, maka tidak boleh menghantar makanan tersebut kepadanya.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.