Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 Screen Shot 2019 05 28 at 4.33.15 PM

SOALAN

Saya ingin bertanya kepada Mufti, saya tidak faham kenapa ada yang mengatakan al-Quran turun secara sekaligus atau berperingkat?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan Nabi SAW, dan ahli keluarga, sahabat-sahabat, seterusnya mereka yang mengikut jejak Baginda hingga ke hari kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini berkaitan dengan nuzul al-Quran, perlu untuk kita fahami kisah nuzul quran yang telah kami sebutkan di dalam artikel sebelum ini. Kami telah nyatakan bahawa:

Pengertian Nuzul Al-Quran

       

Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Antara dalil yang menyatakan tentang penurunan al-Quran adalah:

وَبِالْحَقِّ أَنزَلْنَاهُ وَبِالْحَقِّ نَزَلَ ۗ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

Maksudnya: Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmah Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar)

Surah al-Isra’ (105)

Kenyataan bahawa al-Quran turun secara berperingkat-peringkat atau sekaligus sebenarnya bukanlah bertentangan di antara satu sama lain. Tetapi kedua-duanya telah berlaku secara serentak dan secara berperingkat. Hal ini dapat difahami dengan kita meneliti perbahasan tentang hal ini.

Syeikh Abdul Azim al-Zarqani menyatakan bahawa penurunan al-Quran itu terbahagi kepada tiga peringkat. Lihat Manahil al-Irfan fi Ulum al-Quran (1/39)

  • Peringkat yang pertama, diturunkan al-Quran secara sekaligus pada waktu yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مَّجِيدٌ ﴿٢١﴾ فِي لَوْحٍ مَّحْفُوظٍ 

Maksudnya: (Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (21) (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.(22)

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam al-Qurtubi dan al-Tabari menyatakan bahawa Luh Mahfuz di sisi Allah dan dipelihara daripada syaitan untuk sampai kepadanya. Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran (10/196), Jami’ al-Bayan fi Takwil al-Quran (12/531).

  • Peringkat yang kedua adalah penurunan daripada Luh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah atau langit dunia. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ

Maksudnya: Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran

(Surah al-Baqarah: 185)

Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa ayat ini telah disepakati oleh para ulama’ dan tiada khilaf bahawa penurunan yang dimaksudkan adalah daripada Luh Mahfuz ke langit dunia pada malam lailatul qadar secara sekaligus. Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran (2/297).

  • Peringkat ketiga adalah penurunan al-Quran secara berperingkat-peringkat daripada langit dunia kepada Nabi SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT:

نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ ﴿١٩٣﴾ عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنذِرِينَ ﴿١٩٤﴾بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ

Maksudnya: Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. (193) Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (194) (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. 

(Surah al-Syu’ara’: 193-195)

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami menyatakan bahawa al-Quran telah diturunkan secara sekaligus pada dua peringkat iaitu peringkat penurunan ke Luh Mahfuz dan peringkat kedua penurunan ke Bait al-Izzah atau langit dunia. Inilah yang dimaknakan oleh firman-firman Allah SWT yang menyebut bahawa al-Quran diturunkan secara sekaligus.

Adapun penurunan secara berperingkat, adalah daripada langit dunia kepada Rasulullah SAW bermula daripada detik awal Nabi menerima wahyu hinggalah yang terakhir.

Semoga kita mendapat hidayah untuk memahami dan mempraktikkan segala yang diturunkan di dalam al-Quran. Amin