Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN 144

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, adakah menelan air liur itu membatalkan puasa ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Air liur adalah air yang berada di dalam mulut selama mana ia berada di dalamnya. Adapun sekiranya ia dikeluarkan daripada mulut maka ia disebut sebagai بُصاق (air liur yang telah diludahkan).

Para fuqaha tidak terlalu membahaskan isu ini dengan begitu mendalam. Ini kerana secara umumnya mereka hanya mengulas isu menelan air liur dan juga isu mengumpul air liur lalu menelannya.

Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

لَوِ ابْتَلَعَ مِنْهُ الرِّيقَ لَا يُفْطِرُ

Maksudnya: Sekiranya ditelan air liur maka ia tidak membatalkan puasa.

Rujuk Raudhah al-Thalibin, Al-Nawawi (2/357)

Manakala dalam kitab beliau yang masyhur dengan sebutan Fatawa Al-Nawawi beliau menyatakan:

إِذا ذاق الصائم طعامًا ولم يبلعْه، أو مضغ الخبز، أو نحوَه ولم يبلعه، أَو جمع الريق في فيه ثم ابتلعه، أو دخلت ذبابة في جوفه بغير اختياره، أو كان يغربل حِنطة، أو دقيقًا، أو غيرَهما وفتح فمه فدخله شيء من الغبار، أو سبقه ماء المضمضمة، أو الاستنشاق من غير مبالغة هل يُفطر؟ الجواب: لا يفطر في جميع ذلك، والله أعلم

Maksudnya: Apabila seseorang yang berpuasa itu merasa makanan dan tidak menelannya, atau dia mengunyah roti dan selainnya namun tidak menelannya, atau seseorang itu mengumpulkan air liur di dalam mulutnya, atau seekor lalat masuk ke dalam rongganya tanpa sebarang kehendak darinya, atau dia sedang mengadun gandum atau tepung dan selainnya lalu dia membuka mulutnya dan masuk sedikit daripada debu-debu, atau tertelan air berkumur atau istinsyak tanpa dia berlebihan (dalam perbuatan tersebut), adakah ini membatalkan puasa ?

Jawapan: Kesemuanya ini tidak membatalkan puasa. Lihat Fatawa Al-Nawawi (1/90).

Manakala dalam kitab Al-Majmu’ beliau berkata: ‘’Menelan air liur tidak membatalkan puasa berdasarkan ijma’ sekiranya ia dilakukan secara adat. Ini kerana kesukaran untuk mengelakkan dari melakukannya’’.

Imam Al-Nawawi juga menyatakan bahawa terdapat tiga syarat yang menjadikan menelan air liur tidak membatalkan puasa seperti yang kami ringkaskan dalam beberapa noktah berikut:

Pertama: Ianya semata-mata air liur. Sekiranya air liur bercampur dengan sesuatu dan berubah warnanya maka batal puasa sekiranya ia ditelan.

Kedua: Seseorang itu menelan air liur melalui bahagian salurannya. Sekiranya air liur telah keluar dari mulutnya kemudian dia memasukkannya semula melalui lidahnya atau selain lidahnya lalu dia menelannya maka ini membatalkan puasa.

Ketiga: Dia menelan air liur secara normal (adat kebiasaan). Sekiranya seseorang itu menghimpunkan air liurnya (di dalam mulutnya) dengan sengaja lalu dia menelannya, adakah ia membatalkan puasa ? Maka ada dua pendapat yang masyhur dalam mazhab Al-Syafi’e dan yang sahihnya ia tidak membatalkan puasa. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (6/318).

Manakala Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi pula berkata: ’Dan sesuatu yang tidak dapat dielakkan seperti menelan air liur maka ia tidak membatalkan puasa. Ini kerana menahan dari hal tersebut adalah menyukarkan. Ia sama seperti debu-debu jalanan dan juga debu-debu tepung. Sekiranya seseorang itu mengumpulkan air liur kemudian dia menelannya dengan sengaja, maka yang demikian itu tidak membatalkan puasanya’’. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (3/16).

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan antara perkara yang termasuk di dalam umum al-balwa (perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan) oleh orang yang berpuasa antaranya adalah menelan air liur, menghidu wangi-wangian, dan juga debu-debu jalanan maka kesemuanya ini adalah tidak membatalkan puasa.

Justeru, menelan air liur secara umumnya tidak membatalkan puasa. Sekiranya seseorang itu menghimpunkan air liur di dalam mulutnya lalu dia menelannya, maka sebahagian ulama menyatakan ia dimakruhkan. Manakala sekiranya seseorang itu telah mengeluarkan air liur dari mulutnya kemudian dia menelannya semula, maka ini membatalkan puasa.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.