Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
carian
×

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 76

 

Adakah perlu makmum mengangkat tangan (menadah tangan) ketika imam membaca doa di dalam khutbah kedua pada hari Jumaat?

 

Jawapan:

Firman Allah SWT:

 وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ . إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.

(Surah al-Ghafir: 60)

 

 Begitu juga firman Allah SWT:

 وَلِلَّهِ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ فَٱدْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا۟ ٱلَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِىٓ أَسْمَـٰٓئِهِۦ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ 

Maksudnya: Hanya milik Allah asma al-husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma al-husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.

(Surah al-A’raf: 180)

 

Daripada dua ayat di atas menunjukkan betapa umat Islam digalakkan berdoa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun. Berkenaan dengan soalan di atas, masalah ini khilaf di kalangan ulama’. Syeikh Abdul Aziz bin Baz dalam Fatawa Islamiyyah berpendapat tidak disyariatkannya untuk mengangkat kedua tangan ketika khutbah Jumaat, sama ada imam atau makmum, kerana tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan khulafa’ al-Rasyidin. Tetapi ketika doa minta hujan di dalam khutbah Jumaat, Nabi SAW mengangkat tangan. Beliau juga berkata: “Begitu juga perbuatan makmum mengaminkan doa imam, aku tidak mengetahui tegahannya jika tanpa mengangkat suara. Tetapi zahir hadis berkenaan dengan doa bahawa ianya disunatkan mengangkat tangan dan mengaminkannya. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda:

 

إنَّ رَبَّكُم تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَييٌّ كَرِيْمٌ، يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إلَيهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu sangat pemalu lagi Mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi-Nya permintaan itu.”

Riwayat Abu Daud (no: 1490), al-Tirmizi (no: 3556), al-Baihaqi (2965), dan Ibn Hibban (no: 876). Kata al-Tirmizi, "Hadis ini hasan gharib."

 

Begitu juga kita digalakkan untuk berdoa pada hari dan malam Jumaat. Dr Wahbah al-Zuhaili melalui kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh berkata: “Maka diharap dibanyakkan untuk berdoa bertepatan dengan waktu maqbul diperkenankan doa, di mana Rasulullah SAW menyebutnya pada hari Jumaat.”

 

Antara lain, Rasulullah SAW bersabda:

 

فِيهِ سَاعَةٌ لاَيُوَافِقُهَا عَبدٌ مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي، يَسْأَلُ اللهَ تَعَالىَ شَيْئًا إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ وَأَشَارَ بِيَدِهِ يُقَلِّلُهَا. وَفي رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ: وَهِيَ سَاعَةٌ خَفِيْفَةٌ.

Maksudnya: “Padanya terdapat satu waktu seseorang hamba Muslim ketika dalam keadaan berdiri solat memohon sesuatu kepada Allah SWT, kecuali dikurniakannya. Dan baginda mengisyaratkan dengan tangannya menunjukkan bahawa masanya sedikit. Dalam riwayat Muslim: Ia adalah waktu yang singkat.” 

Riwayat al-Bukhari (no: 893) dan Muslim (no: 852)

 

Berdasarkan kepada hal ini, penulis berpendapat boleh mengangkat tangan dan mengaminkan doa imam secara perlahan kerana ia diharap untuk dimustajabkan Tuhan. Ini berdasarkan kepada beberapa adab doa, Rasulullah SAW bersabda:

 

كَانَ الرَّجُلُ إِذَا أَسْلَمَ عَلَّمَهُ النَّبِيُّ الصَّلاَةَ ثُمَّ أَمَرَهُ أَنْ يَدْعُوَ هَؤُلاَءِ الكَلِمَاتِ: اَللَّهُمَّ اغْفِرْ ليِ وَارْحَمْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي. وَفِي رِوَايَةٍ: وَيَجْمَعُ أَصَابِعَهُ إِلاَّ الإِبْهَامَ فَإِنَّ هَؤُلاَءِ تَجْمَعُ لكَ دُنْياَكَ وَآخِرَتَكَ.

Maksudnya: “Apabila masuknya seseorang ke dalam Islam, Nabi SAW akan mengajarnya bersolat, kemudian mengarahnya agar berdoa seperti berikut: ‘Ya Allah ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, berikanlah hidayah kepadaku, kurniakan kesihatan kepadaku dan kurniakanlah rezeki kepadaku.’ Dalam riwayat yang lain: Baginda merapatkan jari-jarinya kecuali ibu jari. Kerana kesemua itu menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat.

Riwayat Muslim (no: 2697)

 

Berkenaan dengan menyapu muka dengan dua tangan selepas berdoa, sebahagian ulama mengatakan ia digalakkan berdasarkan beberapa hadith. Antaranya hadith Ibn Abbas RA berkata:

 

“Apabila kamu memohon kepada Allah SWT, mohonlah dengan tapak-tapak tangan kamu dan jangan memohon dengan belakang tapak tangan kamu dan sapulah muka kamu dengan tapak tanganmu.”

Riwayat Ibn Majah (no: 3866). Hadith ini dhaif kerana terdapat perawi bernama Soleh bin Hassan, yang dihukum munkar al-hadith oleh al-Bukhari. Abu Hatim menghukum hadith ini sebagai munkar. (Al-`Ilal 2/351)

 

Dalil lain, diriwayatkan bahawa al-Saaib bin Yazid menceritakan bapanya telah memberitahu bahawa apabila berdoa, Baginda SAW menadah kedua-dua belah tangannya, Baginda SAW akan menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan tersebut.

Riwayat Ahmad (no: 17943) dan Abu Daud (no: 1494). Kata al-Zaila'ie dalam Nasb al-Rayah (3/43), "Ada kecatatan kerana terdapat Ibn Lahi'ah."

 

Dalil lain, Umar bin al-Khattab RA menceritakan, apabila Baginda SAW mengangkat kedua-dua belah tangannya untuk berdoa, Baginda SAW tidak akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua-dua belah tangan tersebut, seperti yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Riwayat al-Tirmizi (no: 3386), dan beliau mendhaifkannya. Ibn al-Jauzi dalam al-Ilal al-Mutanahiyah (2/838) menilai hadith ini tidak sahih. 

 

Justeru, penulis berpendapat boleh mengangkat tangan dan boleh mengaminkan tetapi dengan suara yang perlahan. Manakala menyapu dua tangan ke muka selepas selesai berdoa, ia digalakkan oleh sebahagian ulama, tetapi tidak ada satu hadis sahih yang menyokongnya.

 

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa melakukan ibadah solat khususnya solat Jumaat di samping mempelajari sunnah Nabi SAW mengikut kitab-kitab hadith dan feqah.

 

Akhumum Fillah

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan