Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

Soalan

Jika saya niatkan khuf dengan memakai kasut, bolehkah saya membuka kasut untuk menunaikan solat? Terutama sekali jika saya tidak yakin kasut saya bersih untuk dibawa solat bersama.

Jawapan

Kami kemukakan dahulu, dua definisi iaitu kasut dan juga khuf:

  • Kasut: Alas kaki seperti sepatu, selipar, dan lain-lain. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)
  • Khuf: Kasut kulit yang menutupi kaki hingga buku lali. Buku lali ialah tulang sendi yang timbul di antara kaki dengan betis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241)

Perbezaannya ialah sifat khuf yang menutupi seluruh kaki melepasi buku lali di samping diperbuat daripada kulit yang tidak berlubang. Sedangkan kasut tidak semestinya seperti sifat khuf. Justeru, perlulah dilihat terlebih dahulu bagaimana bentuk dan sifat kasut itu. Jika sekiranya ia seperti khuf bahkan lebih daripada itu, seperti sebahagian daripada kasut tentera, maka ia boleh mengambil hukum khuf. Inilah pendapat sebahagian ulama seperti Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah.

Berkenaan dengan persoalan yang saudara nyatakan, kami andaikan bahawa jika menepati, maka ia akan mengambil hukum khuf. Sebaliknya, jika ia tidak menepati maka tidaklah bioleh mengambil hukum khuf. Adapun hukum khuf, kami nukilkan daripada al-Fiqh al-Manhaji (1/241-245):

Hukum Menyapu Khuf

 

Menyapu khuf dengan air adalah satu keringanan (رُخصَةٌ) yang harus bagi lelaki dan perempuan dalam semua keadaan, sama ada ketika musim panas atau sejuk, musafir atau mukim, dan ketika sihat atau sakit. Perbuatan ini adalah ganti membasuh kaki ketika berwudhu’.

 

Dalil Harus Menyapu Khuf

 

Dalil harus menyapu khuf dengan air berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW sebagaimana dalil hadith, Jarir bin Abdullah al-Bajli RA berkata:

 

رَأَيْتُ النَّبِىَّ صَلى الله عليهِ وَسَلّم بَالَ ثُمَّ تَوَضَّأَ، وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ

 

Maksudnya: Aku melihat Nabi SAW pergi buang air kecil, kemudian Baginda berwudhu’ dan menyapu bahagian atas kedua-dua khufnya.

 

Riwayat al-Bukhari (1478) dan Muslim (272)

 

Syarat Menyapu Dua Khuf

 

Harus menyapu kedua-dua khuf dengan lima syarat:

 

Pertama: Kedua-duanya dipakai setelah sempurna wudhu’. Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Mughirah bin Syu’bah RA katanya:

 

كُنْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َفِى سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لأَنْزِعَ خُفَّيْهِ فَقَالَ: دَعْهُمَا، فَإِنِّى أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ. فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا 

 

Maksudnya: Aku musafir bersama-sama Nabi SAW. Ketika itu aku tunduk untuk menanggalkan kedua-dua khufnya, Baginda bersabda: Biarkan, aku memakainya ketika suci. Lalu Baginda menyapu bahagian atas kedua-duanya.”

Riwayat al-Bukhari (203) dan Muslim (274)

 

Kedua: Kedua-dua mestilah menutupi kesemua bahagian kaki yang wajib dibasuh. Ini kerana kedua-duanya tidak dinamakan khuf kecuali dalam keadaan demikian.

 

Ketiga: Kedua-duanya hendaklah kalis air kecuali pada jahitannya.

 

Keempat: Kedua-duanya mestilah kukuh dan tahan lasak hingga boleh dipakai berjalan selama sehari semalam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi yang bermusafir.

 

Kelima: Kedua-duanya mestilah suci sekalipun diperbuat daripada kulit bangkai yang disamak, kulit bangkai yang disamak adalah suci.[1]

 

Tempoh Menyapu Khuf

 

Tempoh menyapu khuf bagi orang yang bermukim ialah sehari semalam manakala bagi yang musafir selama tiga hari tiga malam.

 

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Syuraih bin Hani’ RA katanya:

 

أَتَيْتُ عَائِشَةَ أَسْأَلُهَا عَنِ الْمَسْحِ عَلَى الْخُفَّيْنِ فَقَالَتْ عَلَيْكَ بِابْنِ أَبِى طَالِبٍ فَسَلْهُ فَإِنَّهُ كَانَ يُسَافِرُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَسَأَلْنَاهُ فَقَالَ جَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيَهُنَّ لِلْمُسَافِرِ وَيَوْمًا وَلَيْلَةً لِلْمُقِيمِ

 

Maksudnya: Aku telah menemui Aisyah R.Anha dan bertanyakan tentang cara menyapu khuf. Aisyah menjawab: Pergilah berjumpa Sayyidina Ali kerana dia lebih mengetahuinya daripadaku sebab dia telah bermusafir bersama-sama Rasulullah SAW. Lalu aku bertanya kepadanya, dan dia menjawab: Rasulullah SAW telah menetapkan tempohnya selama tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir dan sehari semalam bagi yang bermukim.

Riwayat Muslim (276)

 

Sesiapa yang menyapu khuf ketika bermukim kemudian dia bermusafir, maka dia boleh menyapunya selama sehari semalam sahaja. Begitu juga sesiapa yang menyapu khuf ketika bermusafir kemudian bermukim maka dia hendaklah menamatkan tempoh sapuannya sebagaimana orang yang bermukim.

 

Ini kerana keadaan asal seseorang itu adalah bermukim dan menyapu khuf adalah satu keringanan baginya. Oleh itu, ambillah cara yang yang lebih selamat, iaitu hukum asal.

 

 

Waktu Tempoh Bermula

 

Tempoh menyapu khuf setelah memakai kedua-duanya bermula apabila berhadas. Justeru, seseorang yang berwudhu’ dan memakai khuf untuk solat Subuh, kemudian dia berhadas ketika matahari terbit, maka tempohnya bermula daripada terbit matahari.

 

Cara Menyapu Khuf

 

Wajib menyapu bahagian atas khuf walaupun sedikit dan tidak memadai menyapu di bahagian bawahnya sahaja.

 

Sunat menyapu bahagian atas dan bawah khuf dengan sekali lalu, iaitu dengan cara meletakkan jari-jari tangan kanannya dalam keadaan terbuka di bahagian atas hujung kaki, dan jari-jari tangan kirinya pula dibahagian bawah tumit. Kemudian lalukan tangan kanan ke belakang sambil tangan kirinya ke hadapan.

 

 

Perkara-perkara yang Membatalkan Sapuan

 

Tiga perkara yang membatalkan sapuan ialah:

 

  1. Kedua-dua khuf atau satu daripadanya ditangggalkan atau tercabut.

 

  1. Tamat tempoh sapuan. Apabila tempohnya tamat ketika masih berwudhu’ dia hendaklah menanggalkan kedua-dua khuf dan membasuh kedua-dua kakinya, kemudian memakainya semula. Sekiranya dia tidak berwudhu’, maka hendakah dia berwudhu’ kemudian memakainya semula jika ingin berbuat demikian.

 

  • Berlaku perkara yang mewajibkan mandi. Apabila wajib mandi, dia hendaklah menanggalkan kedua-dua khuf dan membasuh kedua-dua kakinya. Ini kerana menyapu khuf adalah ganti membasuh kaki ketika berwudhu’ sahaja, dan bukan pada mandi wajib.

 

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Safwan bin `Asal RA, katanya:

 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا مُسَافِرِينَ أَنْ نَمْسَحَ عَلَى خِفَافِنَا وَلاَ نَنْزِعَهَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ

 

Maksudnya: Semasa bermusafir bersama Rasulullah SAW, Baginda menyuruh kami menyapu khuf dan tidak menanggalkannya selama tiga hari sama ada selepas buang air besar, air kecil atau tidur kecuali apabila janabah.

Riwayat al-Tirmizi (96) dan al-Nasaie (1/83)

 

Janabah ialah perkara yang menyebabkan wajib mandi.

 

Wallahua’lam.

 

[1] Tuntutan ini hanyalah pada permulaan memakai khuf sahaja. Adapun jika terkena najis selepas memakainya, maka itu tidak membatalkan hukum khuf. Hanya perlu dibasuh sahaja bahagian yang terkena najis. Adapun jika tidak diyakini bernajis, maka kembali kepada hukum asal bahawa ianya tidak bernajis. Tanah jalan raya yang bernajis adalah dimaafkan jika terkena pada paka kerana sukar untuk dijaga. Rujuk Minhaj al-Talibin (hal. 52). Apatahlagi tanah yang tidak diketahui najis atau suci, maka kekal hulum asal.