Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

Mukadimah

Alhamdulillah, pada 16 Januari 2018, kami telah dijemput oleh Imam Akbar, Syeikhul Azhar untuk menghadiri persidangan untuk menyokong Baitul Maqdis anjuran Universiti al-Azhar. Kami merasa terharu tatkala sokongan dan dokongan staf PMWP dan rakan-rakan jelas menunjukkan kebersamaan kami dalam banyak isu. Syeikhul Azhar, al-Ustaz al-Kabir Fadhilatul Imam al-Akbar Syeikh Ahmad Tayyib turut memanggil dan menjemput para ulama’ sedunia untuk menghadiri seminar ini. Ia amat bermakna dan bersejarah. Kehadiran ulama’ dan umara’ jelas menggambarkan keseriusan masalah ini.

Melalui kapal terbang Etihad, kami bergerak dari KLIA ke Abu Dhabi dan seterusnya ke Kaherah. Hasil persidangan tersebut, saya merasa terpanggil untuk melakarkan coretan dalam Bayan Linnas kali ini yang kami tajukkan dengan Baitul Maqdis…Bumi Berkat: Resolusi Al-Azhar.

Semoga Bayan Linnas pada kali ini memberi sebuah kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan isu Baitul Maqdis.

Perjalanan Ke Muktamar

Sampainya kami di Airport Cairo, kami telah disambut oleh wakil al-Azhar dan dibawa ke bilik VVIP di mana kami dapati banyak delegasi dunia yang juga sampai bersama kami. Antaranya dari Indonesia. Kami telah disambut oleh Presiden al-Azhar sendiri dan juga ‘Amin ‘Am bagi Fatwa al-Azhar. Selepas beberapa ketika, kami dibawa menuju ke hotel Fairmont yang terletak berhampiran dengan airport.

Ketika mendaftar masuk, kami telah bertemu dengan wakil delegasi Amerika berbangsa yahudi yang menentang keras sikap Amerika Syarikat dan negara Zionis Israel. Antaranya ialah Rabbi Yisroel Dovid Weiss. Beliau menghadiahkan kepada kami satu makalah yang bertajuk The Authentic Torah View of The State of Israel in General and of Jerusalem as Its Capital. 
Jelas daripada makalah ini menunjukkan bahawa perjuangan Zionis tidak dipersetujui dengan apa yang diusahakan dan yang diresolusikan oleh Amerika Syarikat serta dipersetujui oleh Israel. Antara yang disebutnya ialah:

“Therefore, we declare: The State of Israel is not a Jewish State, it does not represent world Jewry; masses of Jews worldwide are in total opposition to the existence of this State, all that it stands for, and all actions emanating from it. Authentic Jews, following the traditional Jewish religion, do not have any demand for sovereignity over any part of the Holy Land – including Jerusalem.

We understand that President Trump meant well, and his intent was to show his support for Jews. But helping the State of Israel is not helping Jews; on the contrary, the State of Israel is a violation of the Jewish religion and creates danger to jews everywhere.

We plead with the President of the United States to please rethink and rescind his declaration, for the benefit of all involved. We plead with the member states of the United Nations to help end the occupation of Palestine Nations to help end the occupation of Palestine in its entirety, and until that day comes to pass, to leave Jerusalem free from association with the Israeli occupation.

We ask those countries who wish to help Jews, to open their doors for the oppressed Jews languishing under the Zionist regime. Grant them refugee status and a chance to build their lives anew.

We pray for the speedy and total dismantlement of the Zionist State of Israel with all rights returned to the native inhabitants of Palestine. We pray that this changes take place peacefully, without any more suffering or bloodshed on either side.
May we merit to experiece once again the beautiful peace between Arabs and Jews that once existed in the Holy Land and in the Holy City.

Ultimately, we pray to the Almighty for the day when all of mankind joins together to serve him with one heart. Amen.”

Pagi Sebelum Persidangan

Pada pagi 17 Januari, kami makan bersama Sahibul Fadilah Ustaz Muhammad Fadil, Atase Pendidikan MAIWP di Kaherah. Selepas itu, kami sempat bertemu dengan ramai tokoh dan delegasi luar negara yang sama-sama menyertai muktamar ini. Antaranya:
• Syeikh Abdul Latif Diryan, Mufti Lubnan.
• Syeikh Soleh bin Umar, Mufti Zanjibar, Tanzania. 
• Syeikh al-Khalili, bekas Mufti Oman.
• Dr. Boulbaba Tahar Hassine, mantan Presiden EZ Zitouna University, Tunisia.
• Syeikh Muhammad bin Yahya al-Ninowy, pendakwah dari Amerika.
• Syeikh Hafiz Mohd Tahir Mahmood Ashraf, Pengerusi Persatuan Ulama’ Pakistan.
• Dr. Uzair Mahmud al-Azhari, dari Rabitah Azhar.
• Delegasi ulama’ dari Indonesia.
• Ulama’-ulama’ Azhar.
• Ulama’ Kuwait.
• Ulama’ Sa’udi.
• Syeikh Dr. E’krima Saeed Sabri, khatib dan imam di Masjidil Aqsa. Ketika berbicara ringkas dengannya, beliau melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kami atas sikap yang ditunjukkan untuk menyokong Palestin. Begitu juga beliau mengikuti dengan mendalam perkembangan sokongan dan dokongan kerajaan Malaysia serta NGO dan rakyat dalam membela isu Plestin. kami merasa terharu melihat keadaan Syeikh yang sudah dimamah usia tetapi masih sanggup hadir dalam muktamar semata-mata menzahirkan sokongan padu kepada isu Baitul Maqdis ini.

Sesungguhnya, Azhar telah mengadakan sebelas kali muktamar sejak 1948. Dikatakan pada zaman Syeikh al-Azhar Imam al-Maraghi. Alhamdulillah, pada kali ini adalah kali yang kedua belas dilangsungkan.

Suasana Persidangan

Kawalan yang ketat untuk masuk ke persidangan pada tahap tertinggi memandangkan isu seperti ini amat sensitif. Justeru, beberapa tapisan dikenakan sebelum diberi keizinan masuk dengan pas yang tertera nama masing-masing. Alhamdulillah, persidangan dimulakan dengan ucapan Syeikhul Azhar, Imam al-Akbar Professor Doktor Ahmad Tayyib. Dalam ucapannya, penulis tertarik kepada tiga point utama:
• Menamakan Presiden Mahmud Abbas sebagai Presiden NEGARA PALESTIN. Ia diakui dan dipersetujui oleh semua peserta.
• Menamakan tahun 2018 sebagai tahun Baitul Maqdis, Palestin.
• Bukan kelemahan kita untuk menang dan kekuatan musuh untuk bertahan tetapi kesilapan kita dalam mentakdirkan isu ini di samping memandang enteng sebarang bentuk tindakan musuh. Dengan sebab leka, ghaflah dan ketidaksatuanlah menyebabkan musuh boleh menguasai Palestin.
Kami juga sempat mendengar ucapan Presiden Negara Palestin iaitu Mahmud Abbas. Ucapannya juga menarik dengan pengalaman politiknya dan sepak terajang Zionis yang telah dilalui lebih separuh abad hidupnya. Antara kenyataannya bahawa ratusan resolusi telah dilakukan dan dikeluarkan oleh PBB dan badan-badan berautoruiti dunia tetapi satu pun tidak dilaksanakan bahkan dicabulinya dengan sewenang-wenangnya oleh pihak Zionis Israel.

Resolusi Al-Azhar

Alhamdulillah, dalam persidangan selama dua hari iaitu 17 dan 18 haribulan Januari, perbincangan yang cukup rancak dan pada akhirnya satu rumusan dan resolusi telah dikemukakan. Kami nyatakan di sini nas bayan khitami dan tausiyah atau resolusi bagi muktamar Azhar dalam menyokong Baitul Maqdis. Kami ringkaskan sebahagian daripada maksud resolusi tersebut:

Dengan penuh keimanan yang kembali kepada fikrah dan ruhi yang dipelihara oleh al-Azhar al-Syarif di dunia ini sama ada negeri Arab atau Islam. Begitu juga dengan perasaan kepercayaan, tsiqah dan penghargaan kepada masyarakat Nasara bahkan semua yang merdeka di dunia ini serta cendekiawan yang benar. Begitu juga atas asas daripada rasa kebertanggungjawaban sama ada sudut agamanya atau insani dan kemanusiaan yang dipikulnya. Begitu juga amanah yang dijunjung pada bahunya sejak sebelas kurun yang lalu daripada tarikh penubuhan al-Azhar dengan penuh kemuliaan dan prinsip.
Makanya, al-Azhar al-Syarif dengan kerjasama Majlis Hukama’ al-Muslimin dan di bawah ri’ayah al-Sayyid al-Ra’is Abdul Fattah al-Sisi, Presiden Republik Mesir dan kehadiran Presiden Mahmoud Abbas, Presiden Negara Palestin yang telah berlangsung Muktamar al-Azhar al-‘Alami li Nusrati al-Quds bertempat di Markaz al-Azhar li al-Mu’tamarat di ibu negara Mesir iaitu Kaherah.

Yang demikian itu dengan dapatan kajian dan perbahasan dari tokoh-tokoh pemikir, agamawan, ahli politik dan mereka yang cintakan salam (kedamaian) yang mewakili 86 buah negara dari pelbagai benua untuk mengkaji sebarang bentuk dan uslub yang baru bagi memenangkan gambaran hakikat, pengenalan Baitul Maqdis dan kemuliaannya untuk rakyat Palestin dengan memelihara negeri mereka di samping menjaga keaslian Baitul Maqdis sebagai bumi Arab dan pengenalan ruhiyyahnya. Begitu juga dengan sifat rakus zionis yang sentiasa mencabar resolusi dunia sehingga menjadikan perasaan ummah sedunia amat terpukul lebih-lebih lagi kepada empat billion umat Islam dan Nasara. ini bertujuan untuk menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk resolusi pentadbiran Amerika Syarikat yang memberi hak penjajahan kepada Zionis yang merampas tanah Palestin. Selama dua hari bermula daripada 29 Rabi’ al-Akhir dan 1 Jamadil Awwal tahun 1439 Hijrah bersamaan 17-18 Januari 2018 Masihi dan selepas beberapa perbincangan dan perbahasan di samping bengkel yang diadakan makanya sepakat mereka semua untuk mengeluarkan kenyataan bersama iaitu I’lan al-Azhar al-‘Alami li Nusrati al-Quds yang mengandungi resolusi seperti berikut:
• Syeikhul Azhar, Fadhilatu Imam al-Akbar Professor Doktor Ahmad Tayyib, dalam seruan Azhar ke seluruh dunia untuk membantu dan memenangkan al-Quds antara lain menyebut: “Al-Quds atau Baitul Maqdis merupakan ibu negara yang kekal untuk negara Palestin yang merdeka yang wajib diusahakan dengan bersungguh untuk diiklankannya secara rasmi dan diiktiraf oleh antarabangsa.”
• Sifat Baitul Maqdis sebagai milik Arab adalah perkara yang tidak mungkin dibuat main atau diubah bahkan ia thabit kekal berdasarkan sejarah sejak ribuan tahun.
• Membantah dengan tegas sebarang bentuk resolusi yang terakhir dilakukan oleh Amerika Syarikat di mana ia tidak sepatutnya bagi negeri Arab dan Islam serta bumi yang merdeka. Walaupun resolusi ini ditulis dengan dakwat atas kertas maka ianya tetap ditolak kerana ia bercanggah dengan kebenaran sejarah, qanun dan akhlak yang menjadi kelaziman pihak Zionis. 
• Muktamar juga menggesa dengan tegasnya bahawa resolusi Amerika ini jika dibiarkan dan tidak ditarik dengan segera akan dibimbangi boleh melahirkan sifat ekstrim yang melampau yang akan merebak ke seluruh dunia.
• Muktamar memberi sokongan dan dokongan yang padu kepada rakyat Palestin sebagai pahlawan dan meneruskan kebangkitan intifadahnya dalam menghadapi sebarang bentuk resolusi yang zalim dengan hak isu Palestin, Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa.
• Muktamar menyeru seluruh kerajaan Islam dan juga Jami’ah negara Arab dan badan Ta’awun Islami, PBB dan juga badan masyarakat antarabangsa untuk segera bergerak dengan bersungguh-sungguh bagi menghentikan pelaksanaan resolusi pentabiran Amerika dengan membentuk pendapat umum yang bersifat antarabangsa menentang sekeras-kerasnya polisi dan siyasah yang zalim yang bersifat menentang hak-hak dan kebebasan insani.
• Muktamar merasa izzah dan bersemangat dengan gelombang kekuatan yang dilakukan oleh penduduk Arab dan Islam dan juga masyarakat dunia.
• Muktamar menyokong penuh semangat dan inspirasi al-Azhar untuk meletakkan satu muqarrar atau silibus khusus berkaitan dengan Baitul Maqdis yang akan diajar di seluruh Ma’had Azhar dan Universiti Azhar. Ini bertujuan memberi kefhaman yang mendalam kepada lubuk hari mereka. Begitu juga seruan ini ditujukan kepada semua institusi pendidikan di negara Arab dan Islam supaya dilaksanakan dengan segera.
• Muktamar menggesa semua badan dan NGO antarabangsa dan menyerunya untuk memelihara sebarang bentuk undang-undang bagi Baitul Maqdis dan membenarkan pengenalannya yang tersendiri.
• Muktamar menggesa cendekiawan dan ahli bijaksana di kalangan masyarakat Yahudi sendiri untuk mengambil iktibar dari segi sejarahnya yang menyaksikan atas penindasan yang dikenakan ke atas mereka pada setiap tempat yang mereka duduki. Ini berlainan dengan apa yang mereka perolehi di bawah bayangan hadharah muslimin dengan cukup aman. 
• Muktamar menggesa agar dibentuk lajnah bersekutu terdiri daripada tokoh-tokoh syakhsiah yang berwibawa dan juga badan-badan NGO untuk melaksanakan resolusi dalam bentuk realiti dan berterusan menyokong isu Palestin khususnya isu Baitul Maqdis.
• Muktamar mengambil kecaknaan dan menyokong penuh cadangan al-Azhar daripada Syeikhul Azhar sendiri untuk menjadikan tahun 2018 sebagai tahun Baitul Maqdis yang mulia. Dengan itu, menggesa semua yang terbabit untuk merealisasikannya dengan segera dalam memberi perkhidmatan dan usaha yang penuh untuk memenangkan isu Baitul Maqdis ini.
• Bagi bumi Quds, ada Tuhan yang memeliharanya dan menolong serta membantunya dan insha Allah pasti dibantunya.

والسَّلامُ عَلَيْكُم ورَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاتُهُ
Bertarikh 28 Jamadil Awwal 1439 Hijrah bersamaan 18 Januari 2018

Al-Imam al-Akbar Professor Doktor Ahmad Tayyib
Syeikhul Azhar dan Presiden Majlis Hukama’ Muslimin

Respon Daripada Resolusi al-Azhar

Kami merasa teruja dengan sikap dan mauqif ulama’ daripada seluruh dunia yang menyokong padu akan mauqif dan juga resolusi yang dikeluarkan. Alhamdulillah, kerajaan Malaysia telah memulakan himpunan solidariti untuk al-Azhar pada 5 Januari 2018 bertempat di Masjid Putra, Putrajaya yang dihadiri oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, menteri-menteri kabinet dan tokoh siyasah, ulama’ dan NGO serta masyarakat Malaysia termasuk non Muslim.

Alhamdulillah, pada kali ini pihak My Aqsa dengan kerjasama JAKIM dan juga kerajaan serta pertubuhan siyasah yang akan menjayakan Festival MyAqsa. Ia akan dilangsungkan pada 26 hingga 28 Januari 2018. Ini merupakan respon segera hasil daripada muktamar dan resolusi al-Azhar di Malaysia. Kami nyatakan di sini beberapa tentatif program tersebut:

100k Munajat & Solidariti Myaqsa
1. Perjuangan umat Islam Palestin tidak hanya terbatas di bumi al-Aqsa itu, tetapi turut menjadi kewajipan seluruh umat Islam di dunia ini termasuk kita semua di Malaysia.

2. Festival MyAqsa yang akan berlangsung pada:
Tarikh : 26 Jan - 28 Jan 2018 
Hari : Jumaat – Ahad
Masa : 5.00 pm (Jumaat) - 6.00 pm (Ahad)
Tempat: Dataran Putra Putrajaya
Adalah salah satu dari program besar yang bertujuan untuk merencana tindakan dan memupuk kesedaran serta kebangkitan umat Islam seluruh dunia memperjuangkan nasib Al Aqsa.

3. Festival MyAqsa mempunyai beberapa kompenan aktiviti yang menarik dan penting.
i) Ekspo MyAqsa : Ianya berlangsung sepanjang tempoh Festival MyAqsa iaitu bermula jam 05.00 pm pada 26 Jan 2018 (Jumaat) dan berakhir pada jam 06.00 pm pada 28 Jan 2018 (Ahad) di Dataran Putra Putrajaya.
ii) Persidangan Meja Bulat hampir 200 orang Ulamak dari seluruh dunia akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan isu Baitulmaqdis akan berlangsung daripada 27-28hb Januari di Hotel Pullman Putrajaya.
iii) Himpunan 100K Munajat dan Solidariti Ummat Islam Memperjuangkan Isu Palestin. Ianya berlangsung pada 27 Jan 2018 (Sabtu) di Dataran Putra, Putrajaya. Bermula jam 10.00 pagi hingga jam 11.55 malam.
Warna Tema Baju : PUTIH

4. Insyaallah, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia telah diberi penghormatan untuk merasmikan Persidangan 100 Ulamak Antarabangsa di Hotel Pullman Putrajaya dan turut menghadiri serta menyampaikan Amanat Ummah pada malam Himpunan 100K Munajat dan Solidariti Ummah. (27 Jan 2018)

5. Sebahagian para alim ulamak yang hadir dari seluruh dunia akan turut menyampaikan ucapan mereka pada kemuncak Himpunan 100K Munajat dan Solidariti Ummah pada 27 Jan 2018 kelak. Insyaallah, anda boleh ikuti promosi lanjut dari pihak pengajur untuk mengetahui aturcara terperinci selepas ini.

6. Semua ummat Islam dan warga prihatin dikerah hadir untuk sama-sama kita bermunajat kepada Allah swt memohon kemenangan buat ummat Islam Palestin sekaligus kehancuran buat zionis Israel. Juga mendengar perkembangan terkini isu Palestin dari para alim ulamak Islam peringkat antarabangsa yang hadir bersama kita.

Penutup

Kami merasa penting untuk sama-sama kita tekuni isu yang sudah berlarutan hampir tujuh dekad. Begitu juga kami yakin dengan sabda Rasulullah SAW:
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ فَيَقْتُلُهُمُ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرُ يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا يَهُودِيٌّ خَلْفِي فَتَعَالَ فَاقْتُلْهُ ‏.‏ إِلاَّ الْغَرْقَدَ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ
Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehingga kaum Muslimin memerangi orang-orang Yahudi. Maka kaum Muslimin membunuh mereka sehingga seorang Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pohon, lalu berkata batu atau pohon itu: “Wahai Muslim, wahai hamba Allah, Yahudi ada di belakangku. Datanglah dan bunuhlah dia.” Kecuali pohon Gharqad, kerana ia daripada pohon orang Yahudi.”
Riwayat Muslim (2922)

Kami ungkapkan kalimah terakhir oleh Salahuddin al-Ayyubi antara lain menyebut: “Sesiapa yang dapat menguasai Jerusalem dia akan dapat menguasai dunia.”

Kami berdoa dan munajat kepada-Nya semoga Baitul Maqdis akan terlepas daripada belenggu, cengkaman Zionis Israel seterusnya kita semua dapat melaksanakan solat di Masjidil Aqsa dalam keadaan aman. Ameen.

Semoga Baitul Maqdis menjadi milik umat Islam. Ameen.

Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

e fatwa
e kiblat
e tauliah

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 110

Minggu Ini : 110

Bulan Ini : 13009

Keseluruhan : 9878335

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji