Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

SOALAN:

Siapakah Imam al-Bazzar dan bagaimanakan kedudukan Musnadnya di sisi ahli ilmu?

 

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kadang-kadang apabila kita membaca hadith dan tercatat padanya riwayat al-Bazzar dalam musnadnya. Justeru itu, elok benar kita mengenali tokoh tersebut :

 

Biografi Imam

Nama beliau ialah al-Hafiz Abu Bakr Ahmad bin ‘Amr bin ‘Abd al-Khaliq al-Basri yang telah wafat pada tahun 292 Hijrah. Beliau juga terkenal dengan panggilan al-Bazzar. Antara guru kepada al-Bazzar ialah Hudbah bin Khalid, ‘Abd al-A’la bin Hammad, Muhammad bin Yahya, Muhammad bin Ma’mar dan ramai lagi. Antara murid beliau ialah Ibn Qani’, Abu al-Qasim al-Thabarani, ‘Abdullah bin Ja’far, Ahmad bin Ibrahim dan lain-lain lagi.[Siyar A’lam al-Nubala’, 10:532]  Antara ulama’ yang sezaman dengan Imam al-Bazzar disebabkan tarikh wafat mereka tidak jauh berbeza ialah Abu Sa’id,  Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dan ramai lagi. Di samping itu, beliau memiliki dua buah musnad iaitu Musnad Soghir dan juga Musnad Kabir (Musnad al-Mu’allal) atau dinamakan sebagai al-Bahr al-Zakhkhar. Malangnya Musnad Soghir telah hilang dan tidak sampai kepada kita pada hari ini, manakala Musnad Kabir pula sampai kepada kita secara tidak lengkap. Oleh itu, Dr. Mahfuz al-Rahman Zainullah telah melakukan tahqiq terhadap Musnad Kabir ini sebanyak 8 jilid dan dicetak oleh Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam di Madinah al-Munawwarah. [Dirasat fi Manahij al-Muhaddithin, 215]

 

Metodologi Musnad al-Bazzar

Musnad bermaksud hadith-hadith yang terdapat di dalamnya disusun mengikut nama-nama sahabat RA [‘Ulum al-Hadith Ashiluha wa Mu’asiruha, 84] dan hadith-hadith tersebut diriwayatkan dengan sanadnya tersendiri. Pengarang telah menyusun karyanya berdasarkan nama-nama sahabat RA tanpa mengikut turutan huruf mu’jam. Musnad ini dimulakan dengan menyatakan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga oleh Allah SWT. Kemudian diikuti dengan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh al-‘Abbas, al-Hasan, al-Husain dan sahabat-sahabat yang lain daripada ahli keluarga Nabi SAW. Antara kelebihan musnad ini, imam al-Bazzar banyak mengriwayatkan hadith-hadith yang tidak terdapat di dalam al-Kutub al-Sittah. al-Imam Abu al-Hasan ‘Ali bin Abi Bakr al-Haithami yang wafat pada tahun 807 Hijrah telah mengarang sebuah karya dengan mengasingkan riwayat-riwayat yang terdapat di dalam Musnad al-Bazzar yang tidak terdapat di dalam al-Kutub al-Sittah mengikut bab-bab feqah. Karya tersebut dinamakan “Kasyf al-Astar ‘an Zawaid al-Bazzar” dan dicetak sebanyak 4 jilid. [Dirasat fi Manahij al-Muhaddithin, 215 ] Antara kelebihan karya al-Haithami ini, ia telah menjelaskan kecacatan yang terdapat di dalam hadith Nabi SAW samada kecacatan itu jelas atau tersembunyi. [Al-Wadhih fi Fanni al-Takhrij wa Dirasat al-Asanid, 53]

 

Pendapat ulama’ terhadap al-Bazzar

Terdapat banyak pandangan ulama’ terhadap imam al-Bazzar, antaranya ialah :

  • Imam Nasa’ie, al-Hakim dan al-Daraquthni mengatakan bahawa Imam al-Bazzar telah tersalah dalam menyampaikan sanad dan matan.
  • Manakala Abu Sa’id mengatakan al-Bazzar sebagai hafiz al-hadith.[ Siyar A’lam al-Nubala’, 13 : 556]
  • Ibn hajar menghukum al-Bazzar sebagai seorang yang Soduq Masyhur.

Walaupun begitu, Imam al-Bazzar tetap merupakan seorang tokoh yang banyak menyumbang dan sumbangannya besar di dalam ilmu hadith kepada khalayak ummah dan sehingga kini kiarya-karyanya juga memenuhi perpustakaan Islam serta menjadi rujukan kepada ummah. Semoga Allah SWT merahmatinya. Amin. Wallahua`lam. 

e fatwa
e kiblat

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 81

Minggu Ini : 3189

Bulan Ini : 14108

Keseluruhan : 10242738

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji