Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
  • Gerhana
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

 

Mukadimah

Ketika berlakunya pertembungan di antara dalil-dalil (ta’arudh baina al-adillah), para ulama usul telah memberikan tiga jalan utama untuk menyelesaikan percanggahan tersebut. Di antaranya adalah dengan cara al-Jam’u wal-Taufiq (menghimpunkan serta mengharmonikan), al-Tarjih, dan juga al-Nasakh. Di dalam siri kali ini, kami akan memberikan tumpuan sekitar isu tarjih, berkenaan definisi serta cara-cara pengaplikasiannya.

Definisi Tarjih

Tarjih dari segi bahasa membawa maksud: Memberatkan.

Manakala dari sudut istilah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi adalah: Menguatkan salah satu daripada dua dalil ke atas dalil yang lain terhadap sesuatu yang tidak jelas. Lihat al-Bahrul Muhith, al-Zarkasyi (8/145).

Manakala al-Syeikh Ibn al-Najjar mendefinisikan tarjih sebagai: Menguatkan salah satu dari dua dalil ke atas yang lainnya berdasarkan petunjuk. Lihat Syarah al-Kaukab al-Munir (Hlm. 636).

Kata al-Imam al-Syaukani dalam mendefinisikan tarjih: Mensabitkan lebihan pada salah satu dari dua sudut yang saling bertembung, ataupun menjadikan sesuatu itu sebagai lebih rajih (berat). Rujuk Irsyad al-Fuhul, al-Syaukani (2/777).

Imam Fakhr al-Razi ketika mendefinisikan tarjih berkata: Tarjih adalah menguatkan salah satu dari dua jalan itu ke atas satu yang lain untuk diketahui yang manakah lebih kuat di antara keduanya lalu ianya diamalkan dan ditinggalkan yang berlawanan. Lihat al-Mahsul min Ilm al-Usul, al-Razi (5/397).

Para ulama muhaqqiq dalam kalangan mazhab Imam al-Syafie mendefinisikan tarjih sebagai: Menguatkan salah satu dari dua amarah (dalil zhanni) ke atas dalil yang lain untuk beramal dengannya (dalil yang kuat). Rujuk Syarah al-Isnawi (3/189).

Syarat-Syarat Tarjih

Imam Badruddin al-Zarkasyi al-Syafie menyebutkan beberapa syarat untuk tarjih iaitu seperti berikut:

Pertama: Hendaklah tarjih itu berlaku di antara dalil-dalil. Manakala tidak berlaku tarjih pada dakwaan-dakwaan.

Kedua: Dalil-dalil tersebut mestilah menerima percanggahan pada zahirnya. Iaitu tiada ruang pada tarjih dalam dalil-dalil yang qath’ie. Ini kerana tarjih adalah menguatkan salah satu bahagian ke atas bahagian yang lain supaya berat ke atas sangkaan kita ia adalah sahih. Dan khabar-khabar mutawatir itu adalah qath’ie maka tidak berlaku tarjih padanya.

Ketiga: Tarjih tidak berlaku dalam perkara-perkara ‘aqliyyat. Iaitu taqlid.[1]

 

Manakala al-Imam al-Syaukani Rahimahullah memberikan tiga syarat yang lain untuk melakukan tarjih:

Pertama: Hendaklah kedua-duanya (dalil) itu setara atau sama pada sudut sabitnya ia. Maka tidak ada percanggahan di antara al-Quran dan juga khabar ahad melainkan dari sudut dalalah.

Kedua: Hendaklah kedua-dua dalil itu sama dari sudut kekuatan. Maka tidak ada percanggahan di antara dalil mutawatir dan dalil ahad. Bahkan didahulukan dalil yang mutawatir itu secara sepakat. Sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini Rahimahullah.

Ketiga:  Hendaklah kedua-dua dalil tersebut setara atau sama dari sudut hukum.  Bersama-sama dengan setaranya waktu, tempat, dan juga jihah (bentuk). Maka tidak berlaku percanggahan di antara larangan berjual beli sewaktu azan Jumaat dengan keizinan untuk berjual beli pada selain waktu tersebut.[2]

Bentuk-Bentuk Pentarjihan

Pentarjihan itu berlaku dengan pelbagai bentuk. Berikut kami kongsikan beberapa bentuk tersebut:

1- Mentarjih Dengan Melihat Kepada Sanad

Sebagai contohnya: Apabila terdapat dua buah hadis, hadis yang pertama sanad perawi di dalamnya lebih banyak daripada hadis yang kedua. Maka ditarjihkan hadis yang memiliki perawi yang banyak. Ini kerana, itu lebih menguatkan sangkaan kita kepadanya dan kemungkinan untuk berlakunya kesalahan atau pendustaan terhadap ramai orang itu adalah lebih kurang berbanding kemungkinannya terhadap yang sedikit.

2- Mentarjih Dengan Melihat Kepada Matan (Teks)

Di dalam kitab al-Ihkam, Imam Saifuddin al-Amidi telah menyebutkan 51 bentuk pentarjihan yang merujuk kepada matan. Di antaranya:

Sesungguhnya larangan itu didahulukan ke atas perintah. Ini juga berdasarkan kaedah menolak mafsadah itu didahulukan ke atas mendatangkan manfaat.

Begitu juga lafaz-lafaz hakikat didahulukan ke atas lafaz-lafaz yang majaz. Disebabkan ayat hakikat tidak perlu kepada qarinah.

3- Mentarjih Dengan Merujuk Kepada Perkara Luaran

Jika terdapat dua dalil, maka kita hendaklah mendahulukan dalil yang lebih hampir kepada ihtiyath (berhati-hati) dan melepaskan tanggungjawab (bara’ah al-zimmah). Ini kerana, itu lebih dekat untuk mendatangkan maslahah dan menolak kerosakan.

Begitu juga kita perlu mentarjihkan dalil-dalil yang disertakan sekali dengan tafsir dari perawi, perbuatan, dan juga ucapannya ke atas dalil-dalil yang tidak memiliki perkara tersebut. Ini kerana, perawi itu lebih mengetahui khabar yang dia riwayatkan berbanding selainnya.

Contoh Isu Yang Berlaku Padanya Tarjih

Berikut kami kongsikan contoh isu yang berlaku padanya pentarjihan. Antaranya:

Adakah Batal Wudhuk Kerana Bersentuhan Kulit Dengan Pasangan ?

أَوۡ لَٰمَسۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ

Maksudnya: Ataupun kalian bersentuhan dengan wanita.

Surah al-Nisa’ (43)

Berdasarkan ayat ini, para fuqaha berbeza kepada dua pandangan yang masyhur berkenaan isu bersentuhan dengan perempuan. Adakah ia membatalkan wudhuk ataupun tidak.

Sebahagian mereka mengatakan, ayat tersebut merujuk kepada perbuatan jimak iaitu bersetubuh dengan wanita. Manakala sebahagian ulama lain pula mengatakan ayat di situ menunjukkan kepada semata-mata bersentuhan kulit maka itu membatalkan wudhuk.

Secara ringkasnya, di antara hujah yang digunakan oleh pihak yang mengatakan batal wudhuk kerana bersentuhan kulit itu adalah berdasarkan sebuah kaedah:

الأَصْلُ فِي الكَلَامِ الحَقِيْقَة

Maksudnya: Asal bagi sesuatu ucapan itu adalah secara hakikat.

Maka para ulama ini mengatakan perkataan al-lams (sentuhan) itu difahami secara hakikatnya iaitu semata-mata sentuhan.

Manakala para ulama yang mengatakan tidak batal wudhuk kerana bersentuhan itu adalah berdasarkan sebuah kaedah:

إِذَا تَعَذَّرَ إِْعْمَالُ الكَلَامِ عَلَى الحَقِيقَةِ يُصَارُ إِلَى المَجَازِ

Maksudnya: Jika terdapat keuzuran untuk menggunakan sesuatu ucapan itu pada hakikatnya maka kita beralih kepada makna majazi.

Maka para ulama ini mengatakan terdapatnya keuzuran untuk menggunakan kalimah al-lams itu secara hakikatnya. Lalu mereka beralih kepada makna majazi (kiasan) bagi perkataan al-lams iaitu jimak ataupun persetubuhan.

Keuzuran dalam meletakkan makna al-lams itu kepada maknanya yang hakiki adalah kerana terdapatnya dalil-dalil hadis yang menunjukkan Rasulullah S.A.W mencium sebahagian isterinya lalu baginda pergi menunaikan solat tanpa memperbaharui wudhuk.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Isu tarjih dalam penentuan hukum di mana terdapatnya dalil-dalil yang dilihat sebagai ta’arudh (bercanggah) pada zahirnya (di sisi seorang mujtahid atau mufti) adalah bertujuan untuk mengambil pendapat yang paling sahih dan lebih tepat di sisi pentarjih untuk kita beramal dengannya. Hal ini banyak dijumpai di dalam kitab-kitab feqh muqaran (perbandingan) yang banyak dilakukan oleh ulama terdahulu seperti Imam al-Nawawi dan juga para ulama terkemudiannya.

Sementelahan lagi, terkadang sesuatu pendapat itu memerlukan kepada suatu rumusan dan juga natijah. Cumanya, asas pentarjihan itu hendaklah mengikut atau mengambil kira kepada kekuatan dalil, ataupun dalil yang lebih mendatangkan maslahah serta menolak mafsadah. Hal ini telah diambil kira oleh badan-badan berautoriti seperti para ulama dalam menentukan satu-satu hukum dan juga pendapat. Ini juga sebagaimana sistem pendidikan di institusi-institusi pengajian terutamanya di negara-negara timur tengah baik di peringkat sarjana ataupun PhD. Menjadi kebiasaan buat para pelajar apabila mereka diminta untuk melakukan bahas ilmi, para munaqish (penyelia bahas) akan meminta untuk dilakukan tarjihan berdasarkan bimbingan yang diberikan oleh para musyrif itu sendiri.

Akhir kalam, semoga kefahaman kita akan menjadi lebih tepat dan jelas berkenaan isu pentarjihan ini. Serta kita akan lebih berlapang dada dan melihat kepada maslahah yang lebih besar sama seperti sifat Islam yang sesuai sepanjang zaman dan tempat.

 

Akhukum Fillah

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

16 JUN 2016 BERSAMAAN 11 RAMADAN 1437 H.

 

[1] Lihat al-Bahrul Muhith, al-Zarkasyi (8/147-148)

[2] Lihat Irsyad al-Fuhul, al-Syaukani (2/778)

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 2483

Minggu Ini : 16041

Bulan Ini : 16175

Keseluruhan : 9564882

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji