Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

Soalan:

Apakah hukum menggunakan bahan atau produk kosmetik yang menggunakan siput babi?

Jawapan:

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.

Siput babi atau nama saintifiknya Achatina fulica merupakan sejenis siput daratan. Ia adalah haiwan moluska dari kelas gastropoda (berjalan dengan perut). Berbeza dengan siput akuatik yang menggunakan insang siput babi yang menggunakan paru paru untuk bernafas (pulmonata). Ia mempunyai cenkerang yang agak besar, padat dan berbentuk piramid dengan spira. Cangkerang siput babi dewasa mempunyai panjang sekitar 10cm sehingga 12cm dan lebarnya 4 ke 5 cm dengan berat 100 ke 120 gram. Lingkar cangkerang mempunyai arah putaran ke kanan. Dari segi struktur organ pembiakan ia adalah haiwan hemafrodit atau haiwan khunsa di mana ia mempunyai kedua dua organ jantan dan betina. Siput ini berasal dari benua Afrika. Pada kurun ke 20 ia telah di bawa ke India dan kemudianya merebak ke negeri Tropika yang lain. Ia adalah haiwan nokturnal atau haiwan malam. Siput Babi seringkali dianggap sebagai perosak. Di sesetengah negara, siput babi dikatakan dimakan. Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Siput_Babi.

 

Perbincangan Hukum

Dalam isu ini kami cuba untuk membezakan dua perkara yang utama, iaitu hukum pada memakan siput babi yang dikategorikan sebagai khabaith dan hukum menjadikan siput bagi sebagai bahan penghasilan produk kosmetik yang merupakan isu fiqh kontemporari.

 

Pertama: Siput babi yang dikategorikan sebagai khabaith

Konsep uruf menghukumkan siput babi adalah merupakan haiwan khabaith dan kotor serta tidak halal untuk dimakan. Ini kerana masyarakat majmuk telah menganggapnya sebagai haiwan yang kotor dan menjijikkan. Maka ianya diharamkan berdasarkan konsep uruf yang menganggapnya sebagai khabaith. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A’raf: 157)

Begitu juga semua yang buruk atau yang kotor itu dipandang jijik oleh naluri manusia dalam masyarakat majmuk, walaupun dapat diterima oleh sebahagian mereka.

Illah kepada pengharaman haiwan darat yang tidak mengalir darahnya seperti siput babi adalah kerana ianya terdiri daripada haiwan khabithah.

Sementara haiwan-haiwan yang tidak dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadis Rasulullah SAW, maka jumhur fuqaha (Hanafiah, Syafieyyah, dan Hanabilah) mengembalikannya kepada uruf masyarakat Arab. Sehubungan itu, maka haiwan yang dianggap tayyib oleh masyarakat Arab ia adalah halal. Manakala haiwan yang dianggap khabaith oleh masyarakat Arab ia adalah haram. Maka siput babi hukumnya berdasarkan uruf masyarakat majmuk setempat.

Asas kepada tanggapan jijik dan kotor ini berdasarkan tanggapan masyarakat arab pada zaman Rasulullah SAW. Kami nukilkan di sini daripada al-Fiqh al-Manhaji:

Semua binatang yang dipandang jijik oleh orang arab pada zaman Rasulullah SAW seperti binatang yang melata di bumi dan sebagainya adalah haram kecuali yang dihalalkan oleh syara’ secara khusus. Contohnya, al-yarbu’ (اليَرْبُوْعُ) iaitu sejenis binatang seperti tikus yang ekor dan telinganya lebih panjang dan kakinya lebih panjang daripada tangan, dhab (الضَّبُّ) iaitu binatang padang pasir yang menyerupai biawak, musang turki (السَّمُّوْرُ), landak, wabar (الوَبْرُ), iaitu sejenis binatang kecil sedikit daripada kucing dan tidak berekor, ibn ‘arsin (ابْنُ عَرْسٍ), iaitu sejenis binatang yang bermusuh dengan tikus dan sebagainya.

Hadis yang khusus tentang hukum halal dhab pula ialah, daripada Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

الضَّبُّ لَسْتُ آكُلُهُ ولا أُحَرِّمُهُ

Maksudnya: “Aku tidak makan dhab dan tidak pula mengharamkannya.”

Riwayat al-Bukhari (5536)

Penentuan halal atau haram binatang berdasarkan kebiasaan orang arab adalah kerana mereka yang mula-mula menerima syariat. Nabi Muhammad yang diutus oleh Allah untuk seluruh umat manusia dan jin pula adalah di kalangan mereka. Begitu juga al-Quran mula diturunkan kepada mereka.” Lihat al-Fiqh al-Manhaji (1/69).

Siput babi adalah jenis yang dikategorikan sebagai haiwan darat. Di sini kami bawakan pembahagian binatang darat yang halal dan haram dimakan daripada kitab al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh:

Haiwan darat, iaitu haiwan yang hidup di daratan. Ia terbahagi kepada tiga jenis antaranya:

  1. Haiwan yang yang langsung tidak mempunyai darah seperti lalat, lebah, semut dan seumpamanya. Haram kepada manusia memakan haiwan ini kerana ia tergolong dalam kategori al-khabaith iaitu haiwan yang dipandang jijik oleh masyarakat Arab.
  2. Haiwan yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, cicak, tikus, dan seumpamanya. Haiwan daripada jenis ini diharamkan kerana ia tergolong dalam kategori al-khabaith dan setengahnya mempunyai racun yang memudharatkan manusia.
  3. Haiwan yang mengalir darahnya. Ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu haiwan jinak dan haiwan buas. Haiwan jinak daripada kategori al-An’am adalah halal dimakan seperti unta, lembu, dan kambing. Begitu juga halal dimakan haiwan jinak dari kategori burung seumpama ayam dan itik. Manakala haiwan buas yang bertaring seumpama singa dan harimau serta burung yang menggunakan kuku sebagai pemangsa seperti helang dan kelawar, ia adalah haram dimakan.

Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh (4/2793)

Maka berdasarkan pembahagian di atas, siput babi termasuk pada jenis yang kedua iaitu jenis haiwan yang tidak mengalir darahnya dan ianya dikategorikan sebagai khabaith dan tidak halal untuk dimakan. Para fuqaha Syafieyyah menghukumnya haiwan sebegini sebagai najis kerana ianya termasuk daripada bangkai.

Kami nukilkan secara ringkas tiga prinsip untuk menentukan halal atau haramnya makanan daripada al-Fiqh al-Manhaji, antaranya:

 

Prinsip Pertama: Semua binatang yang dianggap elok oleh orang Arab semasa hidup senang, dan pada zaman Rasulullah SAW adalah halal.

Semua jenis ikan yang hidup di dalam laut walau apapun namanya. Hal yang demikian kerana binatang tesebut dianggap elok oleh orang arab.

Binatang ternakan (الأنعام) iaitu, unta, lembu, biri-biri, kambing, kuda, seladang, keldai liar, kijang, arnab dan lain-lain yang dianggap elok oleh orang arab yang kemudiannya diakui halal oleh syara’.

Bagaimanapun, ada juga binatang yang dianggap elok oleh orang arab, tetapi diharamkan oleh syara’ dan tidak harus dimakan seperti baghal, iaitu binatang hasil daripada pengawanan antara keldai jantan dengan kuda betina dan keldai peliharaan (الحمر الأهليّة).

 

Prinsip Kedua: Semua binatang buas yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa adalah haram.

Binatang tersebut seperti anjing , babi , serigala, beruang, kucing, Ibn Awi (ابْنُ آوِي) iaitu sejenis binatang yang besar sedikit daripada musang tetapi lebih kecil daripada anjing dan kukunya panjang, gajah, singa, harimau bintang, kera dan seumpamanya.

 

Prinsip Ketiga: Semua binatang yang sunat dibunuh adalah haram dimakan. Contohnya, ular, kala jengking, gagak, helang sikap, tikus dan semua binatang yang memudharatkan.

Binatang tersebut dan seumpamanya adalah haram dimakan, sama ada dianggap elok oleh orang arab ataupun tidak. Hal ini adalah kerana hadis telah menghukumnya sunat dibunuh dan kebanyakannya pula menjijikkan orang arab.

 

Kedua: Siput babi bagi sebagai bahan penghasilan produk

Hukum asal bagi siput babi adalah bukan najis. Ini kerana tidak ada dalil yang sarih dan sahih yang mengharamkannya. Maka hukum penggunaan siput babi dalam penghasilan produk kosmetik adalah harus. Ini kerana terdapat padanya manfaat dan menghasilkan banyak manfaat yang lain daripadanya. Siput babi juga merupakan haiwan yang tidak diharamkan atau dihalalkan oleh nas secara jelas dan sahih. Haiwan ini merupakan haiwan yang disenyapkan status hukumnya oleh syara’ untuk dimakan atau digunakan atau dimanfaatkan.

Kami nukilkan di sini juga daripada buku al-Halal wa al-Haram oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

“Dasar pertama yang telah ditetapkan oleh Islam ialah membawa asal sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT, biar apa jua barangan atau manfaat, asalnya ialah halal dan boleh digunapakai. Tiada yang haram melainkan jika ada nas yang sahih dan jelas daripada syariat yang menetapkan pengharamannya. Jika tidak ada nas yang sahih, umpamanya ada sesetengah hadis yang dhaif, iaitu lemah ataupun tidak jelas dalam dalil tentang pengharamannya, maka tinggallah perkara itu seperti asalnya, iaitu mubah (diharuskan).

Ulama Islam menetapkan dasarnya bahawa semua barangan dan kemanfaatan ialah Mubah, iaitu membolehkan, berdasarkan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang jelas.

 

Firman Allah SWT:

وَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: Dialah (Allah SWT) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

 

Firman Allah SWT lagi:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya.

(Surah al-Jathiah: 13)

 

Firman Allah SWT lagi:

أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً

Maksudnya: Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah SWT telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan yang batin.

(Surah Luqman: 20)

 

Mustahil bagi Allah SWT untuk menciptakan semua barangan ini untuk memudahkan manusia serta dikurniakan-Nya buat mereka semua ini. Kemudian, diharamkan-Nya kepada manusia dari semua barangan itu dengan tetap menjadikannya haram pula kepada mereka. Jika demikian, apa hikmahnya ianya diciptakan untuk manusia menikmatinya? Tentulah ianya bertentangan sama sekali. Tetapi sebenarnya, Allah SWT hanya mengharamkan sebahagian dari barangan itu, dengan adanya sebab dan hikmah yang akan kami jelaskan selepas ini. Dengan itu juga, lingkungan pengharaman dalam syariat Islam itu sangat sempit. Malah lingkungan penghalalannya pula sangat luas. Ini kerana nas-nas yang sahih lagi jelas membawa tentang hukum pengharaman itu sangat sedikit. Di samping itu, mana yang tidak ada nas dari hal penghalalannya atau pengharamannya, maka dihukumkan tetap di atas hukum asalnya, iaitu Mubah (dibolehkan) atau dikategorikan dalam lingkungan yang dimaafkan oleh Allah SWT.

 

Di dalam hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadis Nabi SAW:

مَا أَحَلَّ اللهُ في كتابِهِ فَهُو حَلاَلٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنهُ فَهُوَ عَفْوٌ، فَاقْبَلُوا مِنَ اللهِ عَافِيَتُهُ، فَإِنَّ اللهَ لَم يَكُن لِيَنْسَى شَيئًا، وَتَلاَ وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

Maksudnya: “Apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya, maka ianya adalah halal dan apa sahaja yang diharamkan-Nya, maka ianya pula adalah haram. Dan apa sahaja yang didiamkan-Nya, maka ianya itu dimaafkan. Dan terimalah kemaafannya itu daripada Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tidak lupa barang sedikitpun. Kemudian Rasulullah SAW membaca daripada firman Allah SWT: Dan tiadalah Tuhanmu itu akan lupa.”

 (Surah Maryam: 64)

 

Riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya begitu juga dikeluarkan oleh al-Bazzar.

 

Menerusi sebuah riwayat daripada Salman al-Farisi RA, katanya: Rasulullah SAW pernah ditanya tentang hukum minyak sapi (samen), keju (susu keras) dan keldai liar, lalu Baginda SAW menjawab:

الْحَلاَلُ مَا أَحَلَّ اللهُ في كِتَابِهِ، وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللهُ فِي كِتَابِهِ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا لَكُمْ

Maksudnya: “Yang halal itu ialah sesuatu yang dihalalkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya dan yang haram itu sesuatu yang diharamkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya. Dan mana-mana yang didiamkan-Nya sahaja, maka ianya termasuk apa yang dimaafkan buat kamu.”

Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah

 

Rasulullah SAW enggan menjawab persoalan tentang bahagian-bahagian yang kecil ini. Malah Baginda SAW menyerahkan perkara ini kepada mereka untuk menentukannya, sesuai dengan cara-cara yang dapat dirujuk tentang cara mengenal perkara yang halal dan haram. Oleh itu, memadailah mereka mengenal apa yang diharamkan oleh Allah SWT dan yang lain bolehlah dianggap halal dan baik.

 

Rasulullah SAW bersabda:

 

إِنَّ اللهَ فَرَضَ فَرَائضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلاَ تَعتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَن أَشيَاءَ رَحْمَةً بِكُم غَيرَ نِسيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Allah SWT telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia mengharamkan pula beberapa barangan, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa barangan sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu mengungkitnya.”

Riwayat al-Daraqutni dan dihasankan oleh al-Nawawi

 

Suka diingatkan di sini, sesungguhnya asal mubah atau membolehkan itu tidak terbatas kepada barangan dan harta benda, tetapi meliputi semua perbuatan dan pekerjaan, yang tidak termasuk urusan ibadat, iaitu yang biasa kita namakan sebagai adat kebiasaan dan muamalah.

Maka perkara yang asal pada semua ini ialah tidak haram dan tidak terikat dengan sesuatu hukum, kecuali jika memang sudah diharamkan oleh syariat dan ditetapkan hukumnya. Lihat al-Halal wa al-Haram (33).

Justeru itu, siput babi merupakan haiwan yang disenyapkan syara’ pada pengharamannya dan penghalalannya, serta ianya termasuk pada haiwan yang tidak mengalir darahnya yang mana ianya masih dalam kerangka ijtihadiyyah antara empat mazhab fiqh Islam pada pengharamannya dan penghalalannya.

Adapun haiwan yang tidak mengalir darahnya seperti siput babi, para fuqaha telah berbeza pendapat tentang kesuciannya. Fuqaha Hanafiah dan Malikiah mengatakan haiwan jenis ini adalah suci. Sementara fuqaha Syafieyyah pula menghukumnya sebagai najis. Fuqaha Hanabilah berpendapat, haiwan yang tidak mempunyai darah mengalir sekiranya lahir daripada sumber (makanan) yang suci maka dianggap suci, tetapi jika ia lahir dari sumber yang najis seperti ulat kebun dan lipas maka ia dianggap najis sama ada masih hidup atau mati. Berdasarkan pandangan di atas, siput babi boleh dianggap sebagai haiwan yang suci (tidak najis) walaupun tidak boleh dimakan. Oleh itu, penggunaan siput babi untuk tujuan perubatan (bukan untuk dimakan) dan untuk tujuan kosmetik adalah tidak menjadi haram.

Ini juga bertepatan dengan hadis Abu Hurairah tentang lalat yang jatuh ke dalam bekas minuman, bahawa hukum pemakanan lalat adalah haram berdasarkan dalil di bawah ini akan tetapi lalat merupakan haiwan yang suci begitu juga siput babi ianya adalah haram pada pemakanan tetapi tidak pada kesuciannya. Ini kerana ulama berbeza pandangan dalam menghukumkan kesucian haiwan yang tidak mengalir darahnya seperti siput babi.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً

Maksudnya: “Jika seekor lalat memasuki tempat minum kamu, maka celuplah seluruh bahagian lalat tersebut. Lalu buanglah lalat tadi. Ini kerana pada salah satu sayapnya terdapat ubat dan sayap lainnya adalah racun.”

Riwayat al-Bukhari (5872)

Al-Ramli dalam Nihayah ada menyebut:

ويستثنى من النجس ميته لا دم لها سائل عن موضع جرحها، إما بأن لا يكون لها دم أصلاً، أو لها دم لا يجري

Maksudnya: “Dikecualikan daripada benda najis (tidak termasuk najis), bangkai binatang yang tidak memiliki darah yang mengalir ketika dilukakannya, sama ada kerana tidak memiliki darah sama sekali atau memiliki darah, tetapi tidak mengalir.”

(Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/237).

Menurut mazhab Imam Malik bahawa semua yang baik itu dihalalkan. Berdasarkan pendapat ini tidak ada kesan langsung daripada anggapan manusia (yang melihat ianya sebagai kotor) dalam pengharamannya. Yang menjadi kayu ukur adalah jika terdapatnya dalil yang menjelaskan pengharamannya. Jika tidak ada dalil yang mengharamkannya maka ia adalah halal.

Kami melihat Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menguatkan pendapat ini. Beliau mengatakan pada tempat yang lain: ‘Tidak ada kesan dalam tanggapan jijik bagi orang Arab. Selama mana tidak diharamkan oleh syariat, ianya tetap halal. Ini adalah pendapat Imam Ahmad dan sahabatnya yang terdahulu. Beliau dengan pendapat ini melihat bahawa penghalalan yang mengikuti kebaikan dan kemaslahatan sedangkan pengharaman mengikuti kejijikkan dan kemudharatan yang terdapat pada zat sesuatu, bukan pada tanggapan manusia. Ini adalah pendapat yang kuat, kalau kita cermati.'” Lihat al-‘At’imah wa Ahkam al-Soid wa al-Zabah (76–80).

Di sini kami bawakan status hukum yang ada persamaan dengan isu yang dibahaskan pada kali ini, iaitu Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 di Negeri Sembilan telah membincangkan Hukum Menternak dan Menjual Lintah dan Cacing untuk Tujuan Perubatan dan Kosmetik. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan Hukum Menternak Dan Menjual Lintah Dan Cacing Untuk Tujuan Perubatan Dan Kosmetik. Muzakarah telah memutuskan bahawa menggunakan lintah dan cacing dalam perubatan dan sebagai bahan kosmetik adalah harus, dan hukum menternak atau berjual beli atas dasar manfaat yang diperolehi daripada kedua-dua haiwan tersebut juga adalah harus.” Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia hlm. 118.

Setelah meneliti muzakarah fatwa di atas, maka wujudnya persamaan antara hukum penggunaan cacing untuk penghasilan produk kosmetik dengan siput babi. Ini kerana kedua-dua mempunyai ciri-ciri yang hampir sama, iaitu kedua-duanya ialah haiwan darat dan dipandang kotor oleh masyarakat majmuk setempat dari sudut dijadikannya sebagai makanan. Kedua-dua haiwan ini juga sudah dikenal pasti dapat mendatangkan manfaat dan maslahah kepada manusia sama ada maslahah dari sudut asliyyah atau tab’iyyah.

Kami berpandangan ianya harus berdasarkan satu kaedah dalam penentuan hukum berdasarkan illahnya, iaitu:

الحكم يدور مع عللها وجودا وعدما

Maksudnya: “Hukum itu beredar bersama dengan illahnya pada kewujudan dan ketiadaan hukum.”

Rujuk Mughni al-Muhtaj (2/260)

Illah pada pengharaman siput babi dan cacing ialah kerana keduanya merupakan haiwan yang khabaith mengikut mazhab Syafie dan uruf masyarakat setempat. Akan tetapi sekiranya illah itu tiada atau hilang maka hukumnya adalah harus.

Maka di sini, adakah terdapat illah khabithah pada penggunaan untuk pengunaan luaran (bukan untuk pemakanan) seperti pengunaan kosmetik. Sekiranya masyarakat sudah tidak lagi melihat sebagai khabithah pada penggunaan maka hukumnya adalah harus dan dihalalkan pengunaannya.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, setelah mengkaji permasalahan ini daripada al-Quran, al-Sunnah dan kitab-kitab yang mu’tabar;

Bahawa hukum penggunaan siput babi dalam penghasilan produk kosmetik adalah termasuk masalah ijtihadiyah kerana tidak ada nas al-Quran atau nas hadis yang secara sarih dan sahih (jelas dan sahih) menjelaskan hukum masalah ini. Hal ini dapat difahami kerana penggunaan siput babi dalam penghasilan produk kosmetik merupakan masalah baru yang belum pernah terjadi pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Bahawa menurut hasil analisa dan kajian pihak kami, bahawa hukum penggunaan siput babi dalam penghasilan produk kosmetik adalah halal, kerana ia termasuk dalam perkara tahsiniyyat (iaitu perkara yang menjadi kesempurnaan dalam kehidupan) selagi mana ianya tidak memudaratkan dan mengdatangkan mafsadah. Ianya juga sama sekiranya penggunaan bahan yang masih dalam kerangka ijtihadiyyah akan pengharamannya digunakan untuk menghasilkan produk makanan.

Penggunaan siput babi dalam penghasilan produk kosmetik adalah termasuk masalah al-Maskut ‘anhu (yang disenyapkan dan tidak dijelaskan hukumnya secara jelas) oleh al-Quran atau al-Sunnah. Oleh itu selagi mana ianya tidak mengdatangkan mudarat dan mafsadah maka ianya adalah mubah harus. Ini kerana pada asasnyanya segala ciptaan Allah SWT yang ada di langit dan di bumi adalah dikhazanahkan kepada manusia, dan halal bagi manusia sehinggalah ada dalil yang mengharamkan segala jelas dan sabit. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

(Surah al-Jathisah: 13)

Begitu juga sabda Rasullah SAW yang diriwayatkan Imam al-Daraqutni:

إِنَّ اللهَ فَرَضَ فَرَائضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلاَ تَعتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَن أَشيَاءَ رَحْمَةً بِكُم غَيرَ نِسيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Allah SWT telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia mengharamkan pula beberapa barangan, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa barangan sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu mengungkitnya.”

Riwayat al-Daraqutni dan dihasankan oleh al-Nawawi

 

Maka berdasarkan firman Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW inilah para ulama usul telah merumuskan satu kaedah yang menyebut:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم عند الجمهور

Maksudnya: “Hukum asal segala sesuatu (yang bermanfaat) adalah mubah (halal) sehingga ada dalil yang menunjukkan ke atas pengharamannya. Inilah pandangan jumhur.”

Penggunaan siput babi dalam penghasilan produk kosmetik adalah harus kerana manfaat yang diperolehi daripadanya daripada segi perubatan dan kecantikan. Justeru, hukum jual beli siput babi adalah sah kerana manfaat yang terhasil daripadanya. Hal ini bertepatan dengan prinsip-prinsip penetapan hukum Islam, dimana salah satu tujuan syari’at hukum Islam adalah untuk mewujudkan kemaslahatan. Jika kerana banyaknya manfaat dalam penggunaan siput babi dalam penghasilan produk kosmetik, maka hal ini diharuskan bahkan sah diperdagangkan.

Semoga dengan pencerahan dan penjelasan ini memberikan kita ilmu dan kefahaman yang jelas tentang agama dan permasalahannya. Amiin.

 

Akhukum fillah,

 

S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

24 Mac 2017M bersamaan 25 Jamadil Akhir 1438H

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 659

Minggu Ini : 3723

Bulan Ini : 3857

Keseluruhan : 9552564

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji