Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
  • Gerhana
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

Soalan:

Salahkah kalau umat Islam ingin menjadi vegetarian?

Jawapan:

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, ‘vegetarian’ bermaksud: “orang yg tidak makan daging, ikan, dsb tetapi hanya memakan sayur­sayuran atas sebab-sebab peribadi, kepercayaan, dll.”

Berdasarkan kenyataan ini, kita boleh bahagikan golongan vegetarian ini kepada dua:

  1. Vegetarian atas sebab peribadi;
  2. Vegetarian atas sebab kepercayaan.

Jika seseorang itu menjadi vegetarian atas sebab peribadi, seperti diet dan kesihatan, atau secara nisbi ingin menjaga ekosistem dan berlebihan makan daging, maka ini dibolehkan. Ini kerana soal makanan itu adalah soal pilihan lagi mubah. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

الضَّبُّ لَسْتُ آكُلُهُ وَلاَ أُحَرِّمُهُ

Maksudnya: “Aku tidak makan dhab dan tidak pula mengharamkannya.”

Riwayat al-Bukhari (5216)

Hadis ini menunjukkan, bahawa seseoran itu boleh memilih untuk tidak makan suatu makanan yang halal atas alasan peribadi seperti tidak selera dan sebagainya, tanpa diiktiqadkan haram kerana urusan halal dan haram adalah urusan Allah SWT semata.  

Dalam kitab al-Muwatta’ susunan Imam Malik Rahimahullah juga menyebutkan riwayat daripada Yahya bin Said, bahawa Umar al-Khattab RA berkata:

إِيَّاكُمْ وَاللَّحْمَ فَإِنَّ لَهُ ضَرَاوَةً كَضَرَاوَةِ الْخَمْر

Maksudnya: “Awasilah kamu ketika mengambil daging sebagai makanan, kerana padanya terdapat ketagihan seperti ketagihan meminum arak.”

Riwayat Malik (36)

Yakni jika berlebihan, dan ketagihan itu tidak elok dalam apa perkara sekalipun.

Manakala jika menjadi vegetarian atas sebab kepercayaan, seperti kepercayaan agama lain bahawa daging lembu itu diharamkan, mengharamkan memakan daging secara mutlak, atau menafikan pensyariatan korban pada Hari Aidiladha dan hukum sunat memakan daging korban, maka sikap ini adalah haram di dalam Islam.

Kami berpendapat bahawa memilih makanan yang elok lagi berzat dan bervitamin adalah amat dituntut. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

(Surah al-Baqarah, 2:172)

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW sebelum menyebut ayat di atas:

أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ

Maksudnya: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu Maha Baik, tidak menerima sesuatu melainkan yang baik sahaja, dan sesungguhnya Allah memerintahkan ke atas orang beriman sebagaimana Dia memerintahkan ke atas rasul-rasul.”

Riwayat Muslim (1015)

Ini menunjukkan Islam mengarahkan kita agar memelihara tubuh kita dengan memakan makanan yang baik dan memberi manfaat kepada tubuh badan agar dapat melaksanakan tugas sebagai hamba-Nya dengan cemerlang. Jika dengan menjadi seorang vegetarian, tidak menyebabkan kita kekurangan zat dan mendatangkan keburukan, maka hukumnya adalah harus. Ini mestilah dengan syarat tidak mengharamkan apa yang Allah halalkan atau kerana mempercayai akidah bidaah yang tidak ada asalnya di dalam Islam. Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Wallahu’alam.

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 2495

Minggu Ini : 16053

Bulan Ini : 16187

Keseluruhan : 9564894

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji