Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

 

 

Mukaddimah

Doaku: Ya Allah, ampunilah dosa kami, kurniakan kami dengan hidayah, taufiq-Mu dan satukan hati-hati kami.

Sehari dua ini kita dikejutkan dengan satu peristiwa di Plaza Low Yat di mana terjadinya insiden. Hati kecil ini amat terguris dengan apa yang terjadi di bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Saya katakan إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ maksudnya:  Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali. Dengan menginsafi apa yang telah terjadi sehingga terlalu banyak persepsi dan tokok tambah dan diviralkan sehingga isu sebenarnya tidak lagi jelas. Yang timbul amarah yang membara, dan lebih parah lagi jika wujudnya provokasi serta diheret kepada isu yang lebih luas seperti warna kulit, keagamaan dan lain-lain lagi.

Justeru, Bayan Linnas Khas ini dinamakan dengan Umat Islam… Inilah Nasihatku.

Semoga Bayan Linnas ini memberi banyak manfaat dan kefahaman kepada kita dalam menghadapi situasi yang tegang dan tidak terkawal.

 

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kami dengan berat hati dan penuh kesedaran memohon kepada Ilahi dalam menyampaikan kenyataan ini atau Bayan Linnas ini agar diikhlaskan hati kami dalam mencari keredhaan-Nya  jua. Dengan lafaz بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ  kami nyatakan begini:

  • Taaruf: Allah SWT sengaja menjadikan kita pelbagai bangsa dan warna kulit. Tujuannya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Maksudnya:  Wahai manusia! Sesungguhnya,kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudiam kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.

 

Ayat ini memberi faedah dan kefahaman kepada kita antaranya:

  1. Tujuan pelbagai bangsa dicipta manusia untuk لِتَعَارَفُوا supaya berkenalan dalam membina Jaringan kehidupan yang sejahtera dan sama-sama mengimarahkannya di muka bumi.
  2. Kemuliaan hakiki di kalangan kita adalah yang paling ‘bertaqwa’. Itulah penilaian sebenar di sisi Allah

 

  • Isu Fitnah: Ia adalah perkara yang paling bahaya,. Diungkapkan dengan lebih bahaya dan dahsyat daripada pembunuhan seperti nas Ilahi. Ingatlah jatuh dan tumbangnya sebuah Negara apabila api fitnah merebak sehingga ia telah menjadi ‘asas rujukan’ dan yang sebenarnya kita sedang menghirup racun yang paling bisa yang akibatnya kebinasaan dan kehancuran. Sejarah adalah sebaik-baik dalil dan jawapan dalam isu ini. Bacalah sejarah keruntuhan mana-mana daulah atau negara terdahulu.

 

  • Mudah viral: Perbuatan menyebarkan viral yang berleluasa dengan aksi-aksi ganas, kejam, zalim dan melampau boleh mengundang perkara yang amat buruk sehingga akan berlaku andaian, seterusnya tindakan diluar kawalan yang sudah pasti menatijahkan perbalahan akan membenihkan api dendam kesumat.

 

  • Thiqah: Kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menjalankan tugas dengan penuh integriti dan amanah dalam meleraikan kekusutan ini hendaklah diberi perhatian dengan sepenuhnya.

 

  • Waspada: Ingatlah meruntuhkan sebuah ikatan kontrak sosial dan jalinan mahabbah amat mudah sekali sedangkan membinanya amat sukar hingga memakan masa puluhan bahkan ratusan tahun. Justeru, janganlah kita terperangkap dalam jerat musuh yang inginkan porak peranda terhadap Negara kita.

 

  • Pengorbanan Generasi Silam: Menelusuri beberapa prinsip rukun negara yang menjadi asas pembentukan Malaysia yang tercinta ini jelas menunjukkan sebuah harapan yang tinggi daripada nenek moyang kita yang menghuni Negara ini. Sewajarnya dengan kita mengasihi, menyayangi dan menghormati mereka, maka hendaklah kita mempertahankan kedaulatan Malaysia dan amanahnya.

 

  • Akhlak Yang Mulia: Tunjukkanlah akhlak Islam yang tinggi, terpuji dan luhur seperti misi yang dibawa oleh Rasulullah SAW untuk menyempurnakan makarimu al-akhlak. Bahkan dengannya akan zahir ketinggian pekerti dan adab Islam seseorang muslim. Ini sudah barang tentulah akan melahirkan suasana yang amat harmoni.

 

  • Maafkanlah: Jadilah golongan pemaaf. Inilah ajaran Rasulullah SAW dan pesanan Ilahi di sebut dalam banyak nas. Tidak untung kita bina sifat amarah dan dendam. Begitu juga tidak rugi kita memberi kemaafan sekalipun jika kita berada di pihak yang benar, bahkan ia jauh meningkatkan sifat dan watak Islami kita dan kemuliaan kita.

 

  • Sifat Kemanusiaan: Saat dunia yang mencabar masa kini, sifat insaniatul insan iaitu kemanusiaan manuasia amat perlu disemak kembali krisis insani perlu dimuhasabah kembali agar ia tumbuh subur dalam masyarakat yang merentasi agama, warna kulit dan kepelbagaian ras. Dengannnya akan terjawab kasih sayang dan saling menghormati serta adanya pengorbanan yang tinggi.

 

  • Kerasnya Hati: Seorang ulama tersohor di dunia Islam, al-Marhum Said Hawwa pernah mengungkapkan yang cabaran terbesar bagi kita umat Islam untuk menyahkan sifat ‘qasawah al-Qulub’, iaitu kerasnya hati. Ini kerana dengan daki-daki maksiat dan sifat-sifat mazmumah telah menebal dan bertapak begitu kukuh di dalam hati. Bak kata Nabi SAW ‘mudghah’ jika baik maka baiklah seluruh jasad. Justeru, padamlah sifat ‘qasawah al-Qulub’ dengan kefahaman Islam, ilmu, amal, ikhlas dan sentiasa muhasabah diri untuk menjadi mukmin sejati dan muslim yang unggul.

 

  • Doa: Marilah kita berdoa kepada Allah agar Allah pertautkan hati-hati kita dengan kesatuan dan jernihkan daripada sifat amarah, dendam kesumat dan segala sifat-sifat mazmumah. Seterusnya digantikan dengan sifat-sifat mahmudah dan terpuji. Buang yang keruh ambillah yang jernih dalam melayari bahtera kehidupan ini.

 

  • Mengambil Iktibar: Lihatlah negara-negara Islam yang berkonflik pada masa kini sepert di Afrika dan Asia Barat, renungilah nasib mereka yang dahulunya kehidupan mereka amat damai, kaya dan tenang. Tetapi oleh kerana tindakan yang berkiblatkan kepada dendam kesumat dan amarah, sebahagian besar negara mereka tidak berkesudahan dalam krisis peperangan saudara, ekonomi yang buruk dan musnah serta kerugian yang tidak boleh ditaksirkan, berapa billion hangus dan terbuang begitu sahaja. Termasuklah menjadi pelarian dan terpaksa meminta ehsan daripada orang lain. Fikir-fikirkanlah dan ambillah iktibar agar fitnah seperti ini tidak melanda negara kita.

 

  • Nikmat Aman: Keamanan sesebuah negara merupakan salah satu nikmat yang mudah dilupai oleh warganegaranya. Tetapi apabila hilang daripada kamus kehidupan, maka ketika itu segunung kesesalan akan bertapak dalam hati-hati kita yang terluka dan duka ini. Saya sendiri pernah mendengar luahan rakan-rakan daripada Iraq dan Syria yang menzahirkan kekecewaan yang amat mendalam. Ingatlah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Justeru, jalan yang terbaik ialah perliharalah keamanan dan pertahankanlah hingga ke akhir hayat kita.

 

  • Piagam Madinah: Rujuklah piagam Madinah atau mithaq Madinah tatkala Nabi Muhammad SAW berhijrah ke kota Madinah. Ia merupakan sebuah pernyataaan undang-undang yang merentasi bangsa, kaum, kabilah, warna kulit dan agama yang penuh dengan keadilan yang boleh mengekalkan kelangsungan keharmoniaan dan keamanan.

 

  • Erti Puasa: Perliharalah adab puasa. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW dalam hadis yang sahih:

إِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلا يَرْفُثْ ، وَلا يَسْخَبْ ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ شَاتَمَهُ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ : إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

Maksudnya:  Jika sekiranya salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, maka jangan dia melakukan perbuatan rafath (tidak baik), bertempik dan jika seseorang memakinya atau mencelanya atau memeranginya maka hendaklah dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa.

Riwayat al-Bukhari (1805)

 

Berdasarkan hadis ini, antara faedah yang dapat di ambil:-

  • Memelihara adab adab puasa
  • Tidak membuat perkara yang membatalkan pahala puasa
  • Jangan bergaduh dan bertengkar
  • Bahkan sekalipun diajak bertengkar atau dicaci nista, maka katakanlah ‘Aku sedang berpuasa’ sebanyak dua kali.

Kesimpulan, marilah kita sebagai pengikut setia Rasulullah SAW yang menjadikan qudwah dan uswah hasanah untuk kita katakan: Sesungguhnya aku berpuasa. Semoga berkat mengikut Sunnah Nabi Muhammad SAW memberi kepada kita cahaya kefahaman Islam yang sebenarnya.

  • Sebuah Nasihat: Dinukilkan di sini sebuah kisah daripada guru kami, Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti katanya: “Di sebuah taman, terdapat pelbagai pohon kayu, ada yang besar dan ada yang kecil. Mereka hidup dalam keadaan yang bersuka ria. Tiba-tiba pada suatu hari, jatuh sebilah mata kapak menyebabkan semua pohon kayu menangis dan berada dalam ketakutan. Ini kerana supah pasti mereka semua akan ditebang. Akhirnya, mereka bertemu dengan pohon yang paling tua dan mengadu akan hal tersebut. Lantas pohon tua yang mempunyai banyak pengalaman itu berkata: ‘Jangan takut dan jangan menangis. Sesungguhnya mata kapak tidak boleh menebang kamu selama kamu tidak memberikan kepadanya dahan-dahan kamu untuk dijadikan hulu kapak.”

 

Itulah mesej yang jelas betapa perlunya kesatuan ummah ditegakkan terutamanya kesatuan hati atau rabitah al-qulub.

 

  • Salam Kemaafan: Dalam hari-hari terakhir Ramadhan yang penuh keberkatan ini terwujudnya ‘malam qadar’ nilainya lebih baik daripada seribu bulan dan juga hanya beberapa hari sahaja lagi, kita akan menyambut Idil Fitri, hari kemenangan kita dalam mengekang nafsu dan selesainya ‘mukhayyam tarbawi Ramadhanyang menatijahkan Maka marilah kita menghulurkan salam kemaafan dan kita namakan ‘salam perdana’ untuk kesatuan ummah dan perpaduan masyarakat Malaysia yang menatijahkan ‘Negara Malaysia Yang Aman Damai lagi Harmoni dan masyarakat yang berkasih sayang’. Semoga usaha yang murni dapat kita realisasikannya.

 

            Akhir kata: saya mengambil kesempatan ini dengan rendah diri memohon maaf kepada semua pihak atas tulisan yang mungkin mengguris perasaan dan jiwa kita. Tetapi sebagai menunaikan amanah Ilahi yang menyebut وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ yang membawa maksud: Dan mereka sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Inilah yang menyelamatkan kita daripada kerugian seperti nas Ilahi. Sekali lagi saya tegaskan kepada Umat Islam, inilah nasihatku.

Maaf zahir batin, semoga Allah terima ibadat puasa kita dan marilah kita mensyukuri atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya pada hari kebesaran ini. Amin.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

7.20 pagi, Lapangan Terbang Labuan.

14 Julai 2015 bersamaan 27 Ramadan 1436H

 

 

e fatwa
e kiblat
e tauliah

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 572

Minggu Ini : 572

Bulan Ini : 14227

Keseluruhan : 9860644

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji