Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
  • Gerhana
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

 

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, kalau nak mandikan mayat jika tiada air adakah perlu kita tayammumkan mayat tersebut ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Setiap manusia yang meninggal dunia, maka menjadi suatu tanggungjawab bagi sekumpulan umat Islam untuk menguruskan jenazahnya. Di antara tuntutan yang perlu dilakukan dalam proses pengurusan jenazah adalah memandikan jenazah. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.anhuma yang menceritakan berkenaan seorang lelaki yang terjatuh dari untanya (semasa menunaikan umrah) lalu lehernya patah dan kemudiannya dia meninggal dunia. Maka Nabi S.A.W bersabda:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْهِ وَلاَ تُخَمِّرُوا رَأْسَهُ فَإِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُلَبِّيًا 

Maksudnya: (Hendaklah kalian) memandikan dia dengan air dan daun bidara. Dan kafanlah dia dengan dua helai pakaian serta janganlah kalian menutup kepalanya. Kerana sesungguhnya Allah akan membangkitkan dia pada hari kiamat dalam keadaan sedang bertalbiah.

Riwayat Muslim (1206)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan kepada kita berkenaan perintah Rasulullah S.A.W untuk dimandikan jenazah seseorang yang meninggal dunia. Zahir perintah di dalam hadis di atas adalah menunjukkan kepada hukum wajib.

Demikian itulah apabila kita membuka kitab-kitab feqh, kita akan mendapati tajuk berkenaan perkara-perkara yang mewajibkan mandi. Di antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Qadhi Abu Syuja’ Rahimahullah: Perkara-perkara yang mewajibkan mandi itu ada enam iaitu: Bertembungnya dua kemaluan (masuknya zakar lelaki ke dalam faraj wanita), keluarnya air mani, mati, keluar haid, keluar nifas, serta wiladah (melahirkan anak). Rujuk Matan Al-Ghayah Wa Al-Taqrib, Abu Syuja’ (37-38).

Setelah kita mengetahui kewajipan memandikan jenazah ini, maka timbul suatu persoalan iaitu adakah boleh menggantikan air dengan tayammum sekiranya ketiadaan air di kawasan tersebut ? Maka berikut kami nyatakan penjelasan berkenanan hal ini.

Sebab-Sebab Tayammum

Berikut kami nyatakan beberapa perkara yang membolehkan seseorang itu menggunakan tayammum:

Pertama: Ketiadaan air.

Kedua: Sakit.

Ketiga: Memerlukan air kerana dahaganya hidupan yang mulia.

Berdasarkan kepada sebab-sebab ini, maka kami mendapati ketiadaan air itu menjadi sebab untuk menggunakan tayammum kepada jenazah yang meninggal dunia. Bertitik tolak tari itu, hal ini juga terpakai dalam kes-kes berikut:

  • Apabila tiada air untuk mandi junub boleh menggunakan tayammum.
  • Sekiranya anggota badan sakit dan tidak boleh terkena air maka boleh untuk bertayammum.

Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila menjelaskan hal ini berkata: Apabila terdapatnya keuzuran untuk memandikan mayat disebabkan ketiadaan air, atau jenazah terbakar, yang mana apabila ia dimandikan akan menyebabkan daging terpisah maka ia tidak dimandikan bahkan ditayammum. Dan tayammum ini wajib kerana ia adalah proses penyucian yang tidak berkaitan dengan menghilangkan najis maka wajib untuk beralih kepadanya (tayammum) ketika tidak mampu menggunakan air sama seperti mandi junub. Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/178).

Hujah Dan Dalil

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ammar Bin Yasir R.anh beliau berkata:

بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي حَاجَةٍ فَأَجْنَبْتُ فَلَمْ أَجِدِ الْمَاءَ فَتَمَرَّغْتُ فِي الصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ الدَّابَّةُ ثُمَّ أَتَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ ‏"‏ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَقُولَ بِيَدَيْكَ هَكَذَا ‏"‏ ‏.‏ ثُمَّ ضَرَبَ بِيَدَيْهِ الأَرْضَ ضَرْبَةً وَاحِدَةً ثُمَّ مَسَحَ الشِّمَالَ عَلَى الْيَمِينِ وَظَاهِرَ كَفَّيْهِ وَوَجْهَهُ 

Maksudnya: Rasulullah S.A.W telah mengutuskan aku berkenaan suatu urusan. Kemudian aku berjunub namun tidak menemukan air. Maka aku pun berguling di atas tanah sama seperti haiwan berguling. Kemudian aku pun pergi menemui Nabi S.A.W dan aku menceritakan hal tersebut kepada baginda. Maka baginda bersabda: Sesungguhnya memadai bagi kamu untuk lakukan dengan kedua tanganmu seperti berikut. Kemudian baginda menepuk kedua tangannya ke tanah dengan satu kali, seterusnya baginda menyapu bahagian kiri kepada kanan serta zahir pergelangan kedua tangan baginda dan wajahnya.

Riwayat Muslim (368)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa kewajipan mengangkat hadas dengan air itu gugur sekiranya ketiadaan air. Maka mandi junub digantikan dengan tayammum bagi mengangkat hadas. Justeru, merujuk kepada hadis Ibn Abbas yang kami sebutkan sebelum ini yang menceritakan berkenaan seorang lelaki yang terjatuh dari untanya (semasa menunaikan umrah) lalu lehernya patah dan kemudiannya dia meninggal dunia, maka bolehlah diqiyaskan kepada hadis Ammar Bin Yasir yang menjadi dalil penggunaan tayammum apabila ketiadaan air.

Sebagaimana íllah wajibnya bertayammum bagi yang berjunub adalah disebabkan ketiadaan air, demikianlah juga wajib menggunakan tayammum bagi memandikan jenazah disebabkan ketiadaan air. Kami merujuk isu seperti ini dengan menggunakan proses Tahqiq Al-Manath iaitu proses meneliti dan mencari dalam usaha mengenalpasti illah yang sabit melalui nas, ijmak, atau istinbat pada peristiwa yang tidak terdapat nas padanya.

Demikian juga kami berhujah berdasarkan sebuah kaedah syarak iaitu:

وَالبَدَلُ لَهُ حُكْمُ المُبْدَل

Maksudnya: Badal (yang mengganti) itu baginya hukum perkara yang digantikan.

Sebagaimana yang kita maklum, tayammum adalah badal (ganti) kepada air. Maka melalui kaedah ini, semua hukum yang sabit dengan air seperti mandi dan juga wudhuk maka ia juga sabit kepada tayammum. Justeru, jika hukum memandikan jenazah adalah wajib dengan menggunakan air, maka tayammum menjadi badal (ganti) kepada air sekiranya ketiadaan air.

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan dan hujah yang kami nyatakan di atas, kami berpandangan bahawa sekiranya tidak ada air untuk memandikan jenazah, maka perlulah beralih kepada tayammum untuk jenazah. Dengan cara orang yang menguruskan jenazah itu menekapkan atau menepuk tanah dengan tangannya, kemudian dia menyapukan ke bahagian muka dan kedua tangan jenazah tersebut. Wallahu A’lam.

 

 

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 2511

Minggu Ini : 16069

Bulan Ini : 16203

Keseluruhan : 9564910

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji