Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
  • Gerhana
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

 

Soalan: Apakah terdapat hadith sebaik-baik kalam adalah al-Qur’an?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Al-Qur’an merupakan satu anugerah daripada Allah SWT kepada kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW dan al-Qur’an menjadi kitab petunjuk dan hidayah bagi umat manusia sepanjang masa. Ini dijelaskan di dalam al-Qur’an itu sendiri:

 

  • Firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Kitab al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang kesempurnaannya). Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”. [al-Baqarah:2]

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith di dalam sahih Muslim yang menunjukkan bahawa al-Qur’an adalah sebaik-baik perkataan.

 

  • Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهِ، وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ، وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah kitab Allah, sebaik-sebaik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad SAW, seburuk-buruk perkara adalah perkara baru yang direka (tiada asal di dalam agama) dan setiap bid’ah (perkara baru) itu adalah sesat”. [Riwayat Muslim (867)]

 

Imam al-Nawawi berkata, para ulama’ mengatakan bahawa lafaz atau perkataan hidayah di dalam hadith di atas mempunyai dua makna: [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 153/6]

 

Pertama: Petanda atau petunjuk yang disandarkan kepada para rasul, al-Qur’an dan juga hamba. Sebagaimana firman Allah:  

 

وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah pemberi petunjuk dengan al-Qur’an ke jalan yang lurus”. [al-Syura:52]

 

إِنَّ هَـٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) serta memberikan berita gembira buat orang-orang yang beriman”. [al-Isra’:9]

 

وَأَمَّا ثَمُودُ فَهَدَيْنَاهُمْ

Maksudnya: “Adapun kaum Thamud itu, maka Kami berikan petunjuk kepada mereka”. [Fussilat:17] Imam al-Nawawi mengatakan hidayah di sini bermaksud menunjukkan atau menjelaskan jalan (yang benar) buat mereka.

 

إِنَّا هَدَيْنَاهُ السَّبِيلَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah)”. [al-Insan:3]

 

وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ

Maksudnya: “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhinya)”. [al-Balad:10]

 

Kedua: Hidayah bermaksud kelembutan, taufiq, penjagaan dan pertolongan. Kesemua ini hanyalah milik Allah SWT sahaja. Antaranya firman Allah SWT:

 

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa sahaja yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya”. [al-Qasas:56]

 

Penutup

Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa al-Qur’an merupakan sebaik-baik kalam dan tidak ada sesuatu yang dapat menandingi al-Qur’an. Ini kerana, al-Qur’an merupakan kalam Allah SWT dan Allah SWT bersifat dengan segala sifat-sifat kesempurnaan. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang mempunyai sifat kasih dan cinta kepada al-Qur’an serta menjadikan kita orang-orang yang sentiasa membaca dan beramal dengan apa yang terkandung di dalam al-Qur’an. Amin.

 

Wallahua’lam

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 2485

Minggu Ini : 16043

Bulan Ini : 16177

Keseluruhan : 9564884

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji