Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
  • Gerhana
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 430 (4 NOVEMBER 2016 M / 4 SAFAR 1438H)

 

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz.

Sy ada satu soalan nk tnya ustaz. Ada seorang hamba Allah dtg bertanya kepada sy.
Ceritanya secara ringkas begini. Si isteri pulang ke kampung dgn membawa anaknya sekali. Dan semasa di airport, isteri ada bertanya kepada suami kenapa mesti memakai pakaian cantik2 sedangkan hnya ke airport. Dan si suami membalas dgn berkata. "Nk keluar lah sekejap lagi, kan bujang hari ni". Tp hakikatnya hanyalah dgn niat gurauan tnpa ada maksud begitu.
Adakah kata2 nya itu sebenarnya telah terjatuh talak kepada isteri dia?
Kerana ada kawan isterinya memberitahu walaupun dgn gurauan, hakikatnya telah jatuh talak.
Boleh tuan mufti jelaskan. Sgt berharap tuan mufti boleh mmberi penjelasan tentang perkara ini.

 

JAWAPAN:

 

Waalaikumusslam wbt,

Satu rukun daripada rukun-rukun talak ialah sighah, yakni bentuk ucapan talak itu. Jika tiada sighah talak maka tidak jatuhlah suatu talak. Sighah itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Sighah Sarih

Sighah sarih bermaksud bentuk ucapan talak yang jelas dan tidak menanggung maksud lain selain talak. Ini seperti perkataan talak, cerai, berpisah. Kalimah-kaimah ini jika disebut tidak memerlukan kepada niat untuk menjatuhkan talaq. Sekalipun jika seseorang menafikan selepas itu: “Aku tidak berniat talak.” Maka tetap tidak diterima penafian itu.

Kedua: Sighah Kinayah

Kinayah bermaksud kiasan. Kalimah kiasan memiliki banyak maksud dalam suatu masa. Justeru, ia memerlukan niat cerai sewaktu dilafazkan perkataan kinayah itu. Jika tidak wujud niat talak sepanjang lafaz kinayah itu disebutkan, maka tidak jatuh talak. Contohnya seperti si suami berkata kepada isterinya: “engkau telah kosong,” “engkau bebas,” “baliklah ke rumah ibu bapamu,” dan “engkau telah halal.”

Dalam kes diatas, mengaku bujang kami berpendapat tidak termasuk dalam lafaz talak. Dan jika dimasukkan sekalipun termasuk dalam lafaz kinayah yang sangat lemah. Ini kerana perkataan bujang membawa banyak maksudnya:

• Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
• Boleh jadi juga membawa maksud dia ingin menceraikan isterinya.
• Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan dia tidak pernah berkahwin, kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
• Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.

Begitulah seterusnya.

Justeru kami berpendapat tidak jatuh talak jika seorang lelaki mengaku bujang kerana perkataan itu tidak termasuk dalam lafaz sarih atau kinayah bagi talak. Jika termasuk sekalipun ia termasuk dalam makna yang paling ganjil dan lemah kerana bujang bermaksud tidak pernah berkahwin dan berbeza dengan duda.
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam memilih ucapan supaya selamat daripaad sebarang kekeliruan.

Wallahua’lam.

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 2500

Minggu Ini : 16058

Bulan Ini : 16192

Keseluruhan : 9564899

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji