Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga baginda ﷺ, sahabat baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ.

Alhamdulillah, pada kali ini dalam ruangan Tahqiq al-Masa’il, kami akan membincangkan secara khusus berkenaan dengan inhaler dari sudut penggunaannya khusus kepada pesakit asma.[1] Penggunaan nebulizer bagi rawatan asma akan diteliti dalam Irsyad al-Fatwa akan datang.

Dalam penjelasan yang kami beri berkenaan dengan pelbagai hukum termasuklah isu berkaitan puasa ini, kami dapati isu inhaler begitu hangat diperdebatkan di antara pandangan dan pendapat yang menyatakan batal puasa dan juga yang menyatakan sebaliknya. Oleh itu, dalam ruangan Tahqiq al-Masa’il pada kali ini, kami namakan tajuknya,  POLEMIK INHALER: SATU PENJELASAN TUNTAS [2]

Semoga pencerahan dan perbincangan ini menatijahkan hasil yang baik berdasarkan kefahaman yang sebenar. Amin.

 

Beberapa Persoalan

Sebelum kami bincangkan isu ini, suka kami dahulukan beberapa persoalan sebagai pencerahan dan maklumat umum kepada khalayak.

Pertamanya, ingin kami tegaskan di sini bahawa isu ini adalah isu khilafiyah yang banyak dibincangkan oleh para ulama’ terutamanya dari golongan mu’asirin (semasa). Ini disebabkan perkembangan teknologi perubatan yang mana tidak dibincangkan pada zaman dahulu secara khusus.

Kedua, setiap perbincangan yang hendak diputuskan hendaklah difahami pengertian terlebih dahulu kerana satu gambaran yang benar dan betul boleh memberi kefahaman yang baik kepada kita. Ini selaras dengan sebuah kaedah feqah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: Asas dalam memberi hukum ke atas sesuatu, cabangnya adalah terlebih dahulu mesti mempunyai gambaran (menyeluruh).

 

Definisi Inhaler

Inhaler adalah alat yang menyimpan ubat yang diambil dengan cara menyedut nafas.[3] Ia memberikan ubat ke dalam tubuh melalui paru-paru. Inhaler digunakan dalam rawatan penyakit asma.

 

Jenis Inhaler

Ada beberapa jenis inhaler:

  • MDI (Metered Dose Inhaler).

MDI ini diberi tekanan udara dan disukat dos bagi pesakitnya. Ubatnya disimpan dalam bentuk larutan yang diberi tekanan udara dalam tabung kecil.

  • DPI (Dry Powder Inhalers)

Selain MDI, jenis inhaler yang lain adalah DPI (Dry Powder Inhalers), yang mana dos ubatnya adalah dalam bentuk serbuk yang teramat halus (kurang daripada 1 mikron[4]) disedut oleh pesakit.

 

  • Nebulizer

Nebulizer yang melepaskan aerosol sebagai kabut yang dibuat dari formulasi cair. Berbalik kepada persoalan di atas, para ulama’ terbahagi kepada dua pendapat:

Ketiga, rujukan kepada pakar dalam bidang masing-masing adalah amat penting. Hal ini diterimapakai dalam pengeluaran fatwa oleh para ulama’. Mereka akan bertanya kepada pakar perubatan dan mohon pencerahan daripadanya jika isu yang hendak dibincangkan adalah berkait rapat dengan perubatan. Begitulah dengan isu-isu yang lain pula. Inilah yang dilakukan oleh Badan Fatwa dunia yang berautoriti seperti Majma’ al-Fiqh al-Islami dan lain-lain.

 

Isu Mentarjihkan Pandangan

Sebenarnya isu tarjih dibahaskan dalam kitab usul fiqh dan ia adalah salah satu daripada metodologi yang diizinkan apabila memahami dalil-dalil dan nas. Sehingga sekarang metod sebegini diajar di pelbagai universiti antarabangsa, demikian juga USIM semasa kami berkhidmat di sana, dll. Penjelasan secara lanjut berkaitan isu pentarjihan ini boleh dilihat di dalam kitab al-Ta’arud wa al-Tarjih bayna al-Adillah al-Shar’iyyah oleh Abd al-Latif Abdullah ‘Aziz Barzanji. Guru kami Syeikh Dr. Mustafa al-Khin dan Syeikh Dr. Abdullatif al-Farfour menggalakkan kami untuk mentarjih pendapat-pendapat sebagaimana kajian kami di peringkat sarjana yang bertajuk  al-Uqubat: Dirasah Muqaranah Baina al-Syariah Islamiah wa al-Qanun al-Wad’ie. Hal seperti ini telah menjadi kelaziman cendekiawan Islam pada masa kini dan badan-badan fatwa di peringkat dunia.

 

Titik Khilaf

Kami dapati isu ini menjadi khilaf kerana kefahaman dalam kalangan ulama’ berkenaan bahan yang digunakan untuk semburan inhaler; adakah ia ‘ain seperti cecair atau seperti gas selepas disembur.

 

Pendapat Ulama’

Berdasarkan kajian kami terhadap isu ini, kami mendapati ada dua pandangan ulama’ dalam isu penggunaan inhaler ini.

Pertama: Ianya Membatalkan Puasa

  1. Penggunaan inhaler membatalkan puasa. Maka tidak boleh mengambilnya di siang hari Ramadhan kecuali sekiranya sakit dan berhajat kepadanya. Oleh itu, dia boleh berbuka dan menggantikannya pada waktu yang lain. Ianya adalah pendapat dari al-Syeikh Prof. Dr. Ali Jum’ah, al-Syeikh Dr. Fadhl Hasan ‘Abbas, al-Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Sulami, Dr. Muhammad Alfi, al-Syeikh Taqiyuddin al-‘Uthmani, al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli, dan ramai lagi ulama’.

 

Dalil-Dalil

  • Bahan-bahan yang terdapat di dalam inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut. Oleh itu, ianya dianggap membatalkan puasa.
  • Batal puasa dengan masuk sesuatu ‘ain sekalipun sedikit ke dalam jauf atau rongga.

Inhaler mengandungi sejenis cecair iaitu sesuatu yang berjirim dan apabila dimasukkannya, maka hukumnya adalah batal.

 

Kedua: Ianya Tidak Membatalkan Puasa

Kami nyatakan di sini dua bentuk fatwa.

Pertama, Badan Fatwa Yang Berautoriti:

Antaranya:

  • Majma’ al-Fiqh al-Islami yang bersidang di Jeddah pada tahun 1997.[5]
  • Fatwa Lajnah Daimah (Lihat Fatawa Islamiyyah, 1/130)[6]
  • Islamic Organization for Medical Science (IOMS)
  • Persatuan Pengamal Perubatan Kuwait dalam Nadwah Fiqh Perubatan yang ke-9 di Ribat, Maghribi pada tahun 1997.

Kedua, pandangan tokoh ulama’:

Ini adalah pendapat sebahagian besar ulama’ seperti al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz[7], al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaymeen[8], al-Syeikh Abdullah bin Jibrin, al-Syeikh Dr. Muhammad al-Khayyat, al-Syeikh Dr. Muhammad ‘Uqlah, al-Syeikh Dr. al-Siddiq al-Darir, al-Syeikh Dr. al-Tanthawi Jauhari, al-Syeikh Faisal Mawlawi (Timb. Ketua Majlis Fatwa Eropah), Syeikh Dr. Husamuddin `Afanah, Syeikh Dr. Ahmad al-Khalil, Syeikh Abdul Muhsin al-Zamil, Dr. ‘Adil al-Mutayrat, Syeikh Uthman al-Khumais, Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdullah al-Tuwaijiri, Dr. Sulaiman bin Fahd al-‘Isa, Dr. Abdullah bin Hamad al-Sakaki, Syeikh Abdussalam bin Ibrahim al-‘Adhib dan Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi.

 

  1. Perbahasan dalil:

 

  • Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit dan hanya akan terjadi sekiranya tersalah teknik semburan, kerana itu, hukumnya tidak membatalkan puasa, sebagai qiyas kepada berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).
  • Daripada Laqith bin Shabirah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ، إِلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

Maksudnya: “Dan berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung melainkan kamu dalam keadaan berpuasa.”
[Riwayat al-Tirmizi (788)] [Riwayat Abu Daud (142)][Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan sahih]

 

Di sini kami cuba untuk menukilkan sebahagian kecil makna hadith di atas :

 

  • Kata pengarang ‘Aun al-Ma’bud ketika mensyarahkan hadith ini:

 

فَلَا تُبَالِغ وَإِنِّمَا كُرِهَ المُبَالَغَةُ لِلصَّائِمِ خَشْيَة أَنْ يَنْزِلَ إِلَى حَلْقِهِ مَا يُفْطِرُهُ

Maksudnya: “Maka janganlah berlebih-lebih (ketika berpuasa), adapun dimakruhkan berlebih-lebih (memasukkan air) bagi orang yang berpuasa kerana khuatir air itu sampai ke halqumnya yang boleh menyebabkan puasanya batal.” [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 165/1]

  • Kata Ibn Qudamah al-Maqdisi:

وَلِأَنَّهُ يَتَعَرَّضُ بِذَلِكَ لِإِيصَالِ الْمَاءِ إلَى حَلْقِهِ

Maksudnya: “Ini kerana berkemungkinan air itu sampai ke halqumnya”. [:al-Mughni, 124/3]

Antara perkara lain yang menarik, Ibn Qudamah mengatakan terdapat dua pendapat dalam masalah jika air masuk ke dalam hidung. Pertama puasanya batal dan kedua adalah tidak batal puasanya kerana ia dilakukan tanpa sengaja. Beliau mengumpamakan perbuatan tersebut dengan seseorang yang terhisap debu tepung.

 

Penjelasan mengenainya adalah seperti berikut: 

“Satu alat inhaler MDI mengandungi 10 mililiter cecair, yang mengandungi bahan ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan lebih kurang 200 kali semburan. Setiap kali semburan, ianya mengeluarkan jumlah yang sangat sedikit iaitu tidak sampai 0.01 mililiter yang mana ianya juga tidak sampai setitis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar akan memasuki bahagian pernafasan.[9] Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang memasukinya. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat melalui mikroskop), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan. Kuantiti sisa air dari berkumur dan istinsyaq tersebut dari segi keyakinannya, sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaler yang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong[10].”

  • Masuknya sesuatu ke dalam perut daripada inhaler itu bukanlah sesuatu yang qat’ie (pasti) bahkan ianya diragui. Selepas diberi penjelasan oleh pakar kepada kami bahawa inhaler yang digunakan dimana wapnya masuk ke dalam paru-paru. Maka yang asalnya adalah tidak batal puasanya dan tidak pula puasanya itu rosak. Ini berdasarkan kaedah

 

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “yakin itu tidak akan hilang dengan adanya syak.

Maksudnya adalah masuk ke dalam paru-paru adalah pasti tetapi ke dalam perut adalah syak.

  • Semburan inhaler itu bukanlah seperti makanan atau minuman. Bahkan ianya seperti pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi bahan bergizi (nutritive).[11]
  • Adapun inhaler, bahan semburan tersebut akan keluar dalam bentuk wap dan tidak sampai ke perut sebaliknya hanya sampai ke dalam saluran pernafasan di dalam paru-paru sahaja.[12]
  • Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak (kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak. Di dalam Sahih al-Bukhari ada menyebuntukan daripada ‘Amir bin Rabi’ah:

 

(رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَاكُ وَهُوَ صَائِمٌ) وَفِيْ رِوَايَةٍ مَا لَا أُحْصِيْ

Maksudnya: “Aku  telah melihat Rasulullah  bersiwak dan beliau sedang berpuasa. Dalam satu riwayat: Dengan bilangan yang tidak dapat dihitung[13].”

Sekiranya, bahan-bahan kimia yang termasuk ke dalam tekak ini (melalui bersiwak) dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan begitulah juganya keadaan penggunaan inhaler yang mana memasuki tekak, maka ianya juga dimaafkan.

 

Tarjih

Setelah melihat kepada kedua-dua pendapat, kami lebih cenderung mengatakan bahawa penggunaan inhaler di siang hari bulan Ramadhan bagi pesakit asma yang serangannya tidak terkawal adalah tidak membatalkan puasa. Ini kerana:

  • Ini adalah pendapat badan-badan fatwa yang berautoriti di dunia seperti al-Majma’ al-Fiqh al-Islami.
  • Ini adalah berdasarkan daripada pakar-pakar perubatan[14] yang memberi pencerahan kepada para ulama’.
  • Begitu juga kami mendapati bahawa serangan asma ini berlaku pada bila-bila masa sahaja. Alangkah toleransinya agama Islam kita ini dalam memberikan pengecualian bagi pengunaan inhaler kepada golongan ini (tidak batal puasa mereka jika menggunakan inhaler ketika berpuasa) sedangkan mereka juga ingin meraih fadhilat berpuasa sepertimana orang lain. Ini selaras dengan maqasid al-syariah berkenaan dengan hifz al-din. Pada saat yang sama, penggunaan inhaler termasuk dalam hifz al-nafs yang berada pada Dharuriyyat. Justeru, pesakit asma yang terpaksa berpuasa dan memakai inhaler telah memelihara hifz al-din dan hifz al-nafs.
  • Pendapat ini amat sesuai dan ianya juga logik. Qiyas yang digunakan, iaitu berkumur, istinsyak dan siwak adalah qiyas yang betul.
  • Penggunaan inhaler ketika serangan asma bertaraf darurat kerana terdapat kes yang banyak kematian disebabkan tidak menggunakan rawatan seperti inhaler dan lain-lain. Ini kerana, telah berkata Imam Abdurrahman Ba’lawi al-Syafie dalam Fatawa al-Masyhur: “Jika seseorang ditimpa penyakit telinga yang tidak tertahan sehingga tidak mampu duduk diam, kecuali dengan diletakkan ubat dalam minyak atau kapas ke dalam telinga yang boleh melegakan atau menghilangkan penderitaan tersebut, berdasarkan pengetahuan dirinya atau pemberitahuan doktor, maka harus berbuat demikian dan puasanya sah kerana alasan darurat.” [Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, 229.] Pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafie bahawa lubang telinga termasuk di dalam kategori lubang terbuka yang sampai kepada rongga yang batal jika masuk ain ke dalam bahagian batinnya. Tetapi di dalam keterangan di atas, pengecualian diberikan dalam keadaan darurat untuk menggunakan ubat telinga. Diketahui bahawa ubat telinga yang cair juga tidak sampai ke perut atau usus. Maka tidak batal puasa jika menggunakannya atas alasan terdesak. Begitu juga hukum orang yang sakit buasir memasukkan kembali kolon yang terkeluar daripada duburnya menggunakan jari sehingga masuk ke rongga, maka harus dan tidak batal puasa kerana darurat. [Fath al-Mu’in, 114.]

Keadaan darurat itu ditentukan mengikut kadarnya. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur:

الضَّرُوْرَةُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.”

  • Ia bukan proses pemakanan dan tidak mengenyangkan begitu juga tidak menghilangkan dahaga tetapi hanya kepada saluran pernafasan sahaja.
  • Isu penggunaan inhaler bagi pesakit asma adalah isu yang diperselisihkan oleh para fuqaha. Justeru, adalah dibolehkan untuk kita memilih salah satu dari dua pandangan ini selama mana ia tidak bercanggah dengan nas dan juga ijma’ para ulama.

Berdasarkan kepada hujahan dan ‘illah yang kami kemukakan ini, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan tidak membatalkan puasa bagi pengguna inhaler. Begitu juga, sebarang penyakit kronik yang memerlukan penggunaan inhaler ketika serangan adalah diharuskan. Perkara ini telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 15 Jun 2017 bersamaan 20 Ramadhan 1438H dan Jawatankuasa telah bersetuju dengan keputusan majoriti bahawa penggunaan inhaler adalah tidak membatalkan puasa. Kami juga mencadangkan agar pengguna tersebut hendaklah berkumur-kumur selepas selesai menggunakannya.

 

Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

18 Jun 2017 bersamaan 23 Ramadhan 1438H

________________________________________

[1] Dianggarkan 1.6 juta hingga 2 juta penduduk Malaysia menghidap asma. Jumlah ini dilihat semakin meningkat malah dicatatkan 250,000 daripada bilangan keseluruhan pesakit asma di seluruh dunia maut pada setiap tahun.

[2] Penyelidik percaya bahawa penyakit asma berpunca daripada kombinasi faktor genetik dan persekitaran. Manakala serangan asma berlaku  atas faktor tindakbalas alergi terhadap habuk, hama pada tilam, karpet, kulapuk, asap rokok atau bahan kimia di tempat kerja. Faktor lain pula disebabkan oleh udara sejuk, perubahan emosi yang tidak terkawal seperti marah dan takut, senaman fizikal yang keterlaluan dan pengambilan ubatan seperti aspirin, beta-blockers dan dadah bukan steroid antiradang.

[3] https://patient.info/health/inhalers-for-asthma-including-inhaled-steroids

[4] Saiz organisma yang dibawa oleh udara seperti bakteria, virus, spora dan pollen.  

[5] Isu ini telah dibincangkan pada peringkat awal di dalam Majma' al-Fiqh al-Islami dan ia dipersetujui oleh sebahagian ahli Majma' sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, 10/913. Majlis Majma’ al-Fiqhi al-Islami yang diadakan pada kali ke-10 di Jeddah, Arab Saudi (23 Safar sehingga 28 Safar 1418 H bersamaan 28 Jun sehingga 3 Julai 1997 M).

[6] Fatwa no. 6449.

[7] Majmu’ Fatawa Ibn Baaz (15/265)

[8] Fatawa Arkan Al-Islam, Muhammad Bin Soleh Al-Uthaimin (Hlm. 475)

[9] Berdasarkan keterangan daripada pakar yang kami temui, kuantiti bagi setitis air adalah 0.05. Manakala kuantiti satu dos/semburan inhaler berbentuk cecair adalah 0.025 lebih sedikit berbanding setitis air. Satu dos itu juga terbahagi kepada dua, majoritinya akan ke saluran pernafasan manakala bakinya sehingga 30% berkemungkinan ke saluran makanan. Ia bergantung kepada cara penggunaannya dan masih lagi bersifat kemungkinan dan hal ini sukar untuk dielakkan kerana ia diluar kawalan. Justeru, yang masuk ke dalam saluran makanan adalah terlalu sedikit.

[10] Lihat Mufattirat al-Siyam al-Mu’asirah oleh Prof. Madya Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah bahagian Syariah di Universiti al-Qasim, Arab Saudi. Beliau memetiknya dari Majalah al-Majma’.

[11] Ini sepertimana fatwa Syeikh Ibn Baz Rahimahullah (15/265).

[12] Ini sepertimana fatwa Syeikh Ibn ‘Uthaymeen Rahimahullah (19/211).

[13] Dikeluarkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq. Lihat juga Fath al-Bari (4/158).

[14] Kami telah merujuk kepada beberapa pakar perubatan antaranya Dr. Abdul Latif bin Mohamad, Pakar Kardiologi, Hospital Pakar Annur pada 4 Jun 2017 bersamaan 9 Ramadhan 1438H. Begitu juga Dr. Mohamad Shahbodin bin Sarak, pakar kanak-kanak di Pantai Hospital Sungai Petani pada 5 Jun 2017 bersamaan 10 Ramadhan 1438H.

Pada hari ini iaitu 14 Jun 2017 bersamaan 19 Ramadhan 1438 H, kami telah berbincang dengan Dr. Nazrila Hairizan Binti Nasir merupakan Pakar Perunding Perubatan Keluarga (Ketua Perkhidmatan Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya), Dr. Jamalul Azizi Bin Abdul Rahaman merupakan Pakar Perunding Kanan Respiratori (Ketua Perkhidmatan Respiratori Kebangsaan, Hospital Serdang), Dr. Salmah Binti  Bahri merupakan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi (Kementerian Kesihatan Malaysia), Dr. Fahmi Bin Hassan merupakan Ketua Penolong Pengarah (Amalan Dan Perkembangan Farmasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi) dan Dr. Nor Aziah Binti Abdullah merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Amalan Dan Perkembangan Farmasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM).

 

e fatwa
e kiblat
e tauliah

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 110

Minggu Ini : 110

Bulan Ini : 13009

Keseluruhan : 9878335

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji