Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan yang mulia dan ia termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Tambahan pula, Allah SWT juga berfirman berkaitan bulan Haram ini di dalam surah al-Taubah:

 

  • Firman Allah SWT:

 

إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”. [al-Taubah:36]

 

Di antara kelebihan yang terdapat di dalam bulan Haram ini ada disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. [Tafsir Ibn Kathir, 4:130]

 

Definisi Bulan Haram

Bulan Haram ini terdiri daripada empat buah bulan di dalam Islam iaitu Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah, Muharram dan Rejab. Hal ini disebut di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”. [Riwayat al-Bukhari (4054)]

 

Antara makna hadith ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani bahawa bulan-bulan ini kembali kepada asalnya serta menghapuskan al-Nasi’ (penangguhan). Telah berkata al-Khattabi bahawa mereka (orang jahiliyyah) berselisih di antara bulan-bulan dalam satu tahun pada menghalalkan, mengharamkan, menpercepatkan, melambatkan berdasarkan sebab-sebab yang datang kepada mereka. Antaranya, bagi mempercepatkan peperangan maka mereka menghalalkan bulan haram kemudian mereka mengharamkannya pada bulan yang lain iaitu selain daripada bulan haram. [Lihat: Fath al-Bari, 325/8]

 

Kelebihan Bulan Haram

Bulan haram ini juga mempunyai beberapa kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain, antaranya ialah:

 

  • Terdapat sebahagian ulama’ mengatakan afdhal melakukan umrah pada bulan Zul al-Kaedah berdasarkan hadith di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa Nabi SAW melaksanakan kesemua umrah baginda SAW di dalam bulan ini.
  • Pada bulan Syawal, Zul al-Kaedah dan Zul al-Hijjah, umat Islam akan mula menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu ibadat haji yang mana ibadat ini tidak boleh dilakukan di dalam bulan-bulan yang lain.
  • Berpuasa sunat pada 9 Zul al-Hijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji.
  • Berpuasa sunat pada 10 Muharram iaitu pada hari Asyura’.

 

Definisi Rejab

Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman al-Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya. Perkataan jama’ bagi Rejab adalah Arjab (أرجاب) dan jika digabungkan Rejab dan Sya’ban dinamakan sebagai Rajaban (رجبان). [Lihat: Mukhtar al-Shihah, 118] Di samping itu, Rejab merupakan bulan ke tujuh daripada Tahun Hijri dan ia merupakan antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan padanya. Bulan ini datang selepas daripada Jumadi al-Akhir dan selepasnya adalah Sya’ban.

 

Kabilah Bani Mudhar

Syeikh Mustafa al-Bugho mengatakan Rejab Mudhor ini dinisbahkan kepada Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain ketika menta’liqkan hadith ini di dalam Sahih al-Bukhari.

 

Nama-Nama Bulan Rejab

Disebutkan di dalam Kitab Mawahib al-Jalil [Lihat: al-Mawahib, 408/2] bahawa bulan Rejab mempunyai 16 nama, antaranya:

 

  • Al-Ashom (الْأَصَمُّ) kerana mereka meninggalkan peperangan padanya.
  • Al-Ashob (الأَصَبُّ) kerana orang kafir Makkah mengatakan diturunkan rahmat padanya.
  • Rajm (رَجْمٌ) kerana Syaitan direjam padanya.
  • Al-Shahr al-Haram (الشَّهْرُ الْحَرَامُ)
  • Al-Muqim (الْمُقِيمُ) kerana pengharaman kekal dan tidak digugurkan.
  • Al-Mu’la (الْمُعَلَّى) kerana bulan ini tinggi (mulia) berbanding bulan-bulan lain.
  • Al-Fard (الْفَرْدُ)
  • Munshil al-Asinnah (مُنْصِلُ الْأَسِنَّةِ)
  • Munshil al-Aali (مُنْصِلُ الْآلِ)
  • Munzi’ al-Asinnah (مُنْزِعُ الْأَسِنَّةِ)
  • Syahr al-Atiroh (شَهْرُ الْعَتِيرَةِ) kerana mereka menyembelih ‘athiroh (nama bagi sembelihan yang dilakukan oleh orang kafir pada zaman Jahiliyyah).
  • Al-Mubdi (الْمُبْدِي)
  • Al-Mu’ash’ish (المُعَشْعِشُ)
  • Syahr Allah (شَهْرُ اللَّهِ)

 

Hadith-Hadith Tidak Sahih Berkaitan Bulan Rejab

Antara hadith-hadith yang tidak sahih berkaitan bulan Rejab:

 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

فَضْلُ شَهْرِ رَجَبٍ عَلَى الشُّهُورِ كَفَضْلِ الْقُرْآنِ عَلَى سَائِرِ الْكَلَامِ

Maksudnya: “Kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan lain adalah seperti kelebihan al-Qur’an berbanding semua jenis kalam”.

 

Hadith ini palsu dan ini juga merupakan pendapat Imam Ibn Hajar di dalam al-Tabyin. [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 85/2]

 

 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَا تَغْفَلُوا عَنْ أَوَّلِ جُمُعَةٍ مِنْ رَجَبٍ فَإِنَّهَا لَيْلَةٌ تُسَمِّيهَا المَلَائِكَةُ الرَّغَائِب

Maksudnya: “Janganlah kamu lalai pada Jumaat yang pertama daripada bulan Rejab kerana sesungguhnya terdapat padanya satu malam yang dinamakan oleh malaikat sebagai al-Raghaib”.

 

Hadith ini dusta keseluruhannya menurut Ibn al-Qayyim. [Lihat: al-Manar al-Munif, 95]

 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ فِيْ الجَنَّةِ نَهْرًا يُقَالُ لَهُ رَجَب مَاؤُهُ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ وَأَحْلَى مِنَ العَسَلِ، مَنْ صَامَ يَوْمًا مِنْ رَجَب سَقَاهُ اللهُ مِنْ ذَلِكَ النَّهْرِ

Maksudnya: “Bahawasanya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai tersebut”.

 

Hadith ini bathil menurut Imam al-Zahabi. [Lihat: Mizan al-Mu’tadil, 189/4]

 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ صَامَ أَوَّلَ يَوْمٍ مِنْ رَجَبٍ يَعْدِلُ ذَلِكَ بِصِيَامِ سَنَةٍ ، وَمَنْ صَامَ سَبْعَةَ أَيَّامٍ أُغْلِقَ عَنْهُ سَبْعَةُ أَبْوَابِ النَّارِ ، وَمَنْ صَامَ مِنْ رَجَبٍ عَشْرَةَ أَيَّامٍ نَادَىْ مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ أَنْ سَلْ تُعْطَهْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari pertama bulan Rejab umpama berpuasa setahun, barangsiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka dan barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rejab sepuluh hari diseru daripada penyeru dari langit bahawa mintalah lalu diberikan (apa yang diminta)”.

 

Hadith ini bathil dan tiada asal baginya menurut Imam al-Syaukani. [Lihat: al-Fath al-Rabbani, 3212/6]

 

Fatwa Ulama’-Ulama’ Berkaitan Puasa Rejab

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah [Lihat: al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 95/28] mengatakan bahawa jumhur ulama’ daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Syafieyyah mengatakan sunat berpuasa pada bulan-bulan Haram. Ini kerana, mereka berdalilkan dengan sebuah hadith daripada Imam Muslim:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، صِيَامُ شَهْرِ اللهِ الْمُحَرَّمِ

Maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadhan adalah puasa pada  bulan Allah al-Muharram”. [Riwayat Muslim (1163)]

 

Akan tetapi, mereka mengatakan berpuasa pada bulan Rejab sahaja adalah makruh berdalilkan dengan sebuah hadith di dalam Sunan Ibn Majah:

 

  • Daripada Abdullah bin Abbas RA berkata:

 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ رَجَبٍ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW melarang berpuasa pada bulan Rejab”. [Riwayat Ibn Majah (1743)][Imam al-Syaukani [Lihat: Nail al-Authar 293/4 ]mengatakan hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Zaid bin Abd al-Hamid dan Daud bin Atha’][Hadith ini adalah dhaif jiddan (teramat lemah)]

 

Ini kerana, jika seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab sahaja maka ia menunjukkan seakan-akan mereka ini menghidupkan syiar (lambang) golongan Jahiliyyah pada masa lalu yang memuliakan bulan ini. Walaupun begitu, larangan atau pemakruhan ini akan hilang jika seseoang itu berbuka pada salah satu hari daripada bulan tersebut (tidak berpuasa penuh) atau berpuasa pada bulan yang lain daripada tahun tersebut dan tidak semestinya terus selepas daripada Rejab.

 

Hukum Puasa Tiga Bulan Secara Berterusan

Dalam masalah ini, Syeikh Athiyyah Shaqar berpendapat bahawa berpuasa penuh pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan tidak ada dalil yang menghalangnya. [Lihat: Ahsan al-Kalam, 444/3] Tambahan pula, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi juga mengatakan bahawa perbuatan tidak dilakukan oleh Nabi SAW, para sahabat RA dan juga para tabi’in. [Lihat: Fatawa Mu’ashirah, 279/1]

 

Walaubagaimanapun, kami juga telah diberitahu oleh guru kami fadhilah al-Syeikh al-Allamah Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah bahawa puasa 3 bulan berturut-turut iaitu berpuasa penuh pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan diamalkan oleh para solihin dan ia tidak bercanggah selamamana dia mampu untuk melakukannya dengan tidak beri’tiqad (menganggap) bahawa ia adalah sunnah. Dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh mengatakan bahawa orang yang tidak berpuasa itu tidak beramal dengan sunnah.

 

Amalan-Amalan Yang Digalakkan Pada Bulan Rejab

Antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Rejab ini adalah dan amalan-amalan ini bersifat umam adalah:

 

  • Berpuasa
  • Memperbanyakkan bersedekah
  • Memperbanyakkan membaca al-Qur’an
  • Memperbanyakkan berzikir
  • Memperbanyakkan solat-solat sunat

 

Penutup

Demikian adalah sedikit perkongsian daripada kami sekadar yang termampu berkaitan bulan Rejab dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Kesimpulannya, bulan Rejab merupakan antara bulan-bulan yang mulia kerana ia merupakan salah satu daripada bulan Haram. Hal ini juga disebut berdasarkan firman Allah SWT berkaitan bulan Haram di dalam al-Qur’an sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita dalam bulan ini bagi mempersiapkan diri menempuh bulan Ramadhan yang akan datang. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan amal ibadah kita serta memasukkan kita dalam dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa melakukan kebaikan dan ketaatan kepada-Nya. Amin.

 

Wallahua'lam

 

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 952

Minggu Ini : 10140

Bulan Ini : 21887

Keseluruhan : 9813380

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji