Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

Soalan: Bagaimanakah seorang mualaf hendak melakukan solat dalam keadaan dia masih tidak menghafal Surah al-Fatihah?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang menyusuri jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Solat adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّڪَوٰةَ‌ۚ

Maksudnya: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.”

 (Surah al-Baqarah: 43)

Sabda Nabi SAW:

” بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ ”

Maksudnya: Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.

(Riwayat al-Bukhari, no. 7)

Maka, apabila seseorang mualaf sudah bergelar Islam, wajib ke atasnya mempelajari tatacara solat dan menunaikannya sekadar kemampuannya sebagai seorang yang baru mempelajari Islam.

Pada asalnya, dua bacaan yang wajib dibaca dalam solat adalah Surah al-Fatihah, tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat. Bagi mualaf, kami melihat ada beberapa aturan utama yang boleh diikuti jika belum menghafal Surah al-Fatihah.

  1. Jika sudah boleh membaca tetapi tidak menghafalnya, dibolehkan memegang lampiran kertas yang ada Surah al-Fatihah. Atau disimpan bacaannya dalam telefon pintar, tab dan sebagainya yang mudah dipegang ketika solat.
  2. Jika sudah boleh membacanya tetapi tidak menghafal sepenuhnya, diwajibkan membaca Surah al-Fatihah sekadar kemampuan dan hafalannya dan diulang-ulang.
  3. Jika tidak boleh membaca dan tidak menghafalnya tetapi mampu mengikut bacaan, dicadangkan untuk mualaf terbabit dibantu oleh seorang fasilitator yang boleh membaca Surah al-Fatihah dengan baik.[1]
  4. Jika tidak mampu membaca, menghafal Surah al-Fatihah dan mengikut bacaan fasilitator ataupun tiada fasilitator yang dapat membantu, dibolehkan membaca 7 ayat daripada mana-mana surah dalam al-Qur’an ataupun diulang-ulang ayat al-Qur’an yang sama. Boleh juga digabungkan bacaan sebahagian Surah al-Fatihah dan sebahagian surah-surah lain yang dihafal.
  5. Jika tidak tahu membaca dan tidak menghafalnya, berzikirlah dengan apa-apa sahaja zikir yang telah dihafal. Misalnya (سبحان الله والحمد لله ، ولا إله إلا الله ، والله أكبر ، ولا حول ولا قوة إلا بالله)
  6. Jika tidak tahu membaca, tidak menghafalnya dan tidak tahu apa-apa zikir yang boleh dibaca, maka dia hanya perlu menuruti sahaja imam tanpa perlu membaca apa-apa. Walaubagaimanapun, tetap wajib baginya untuk belajar sehingga mampu membaca dan menghafalnya dengan fasih.

Lihat perbahasan lebih lanjut dalam al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 217; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/255-256; Nihayat al-Muhtaj, 1/484-485; Mughni al-Muhtaj, 1/357-358; Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/374.

Kesimpulan

Islam itu satu agama yang lengkap, menyeluruh dan sentiasa sesuai dengan kondisi penganutnya. Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;…”

(Surah al-Taghabun: 16)

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus mendalami ilmu agama dan menyebarkan kefahaman dan keindahan Islam kepada masyarakat sekeliling kita.

______________________________________

[1] Contohnya, fasilitator berkenaan boleh bersolat dengan menjadi imam / bersolat di sebelah / tidak bersolat dengan menguatkan bacaannya supaya diulangi oleh mualaf. Selain itu, mualaf berkenaan  boleh juga menggunakan sarana teknologi moden seperti alat perakam suara, telefon pintar yang disertakan earphone supaya tidak mengganggu jemaah lain.

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 459

Minggu Ini : 19337

Bulan Ini : 74889

Keseluruhan : 9669997

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji