Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

Soalan: Saya bukan Muslim. Berminat dengan Islam cuma tidak faham konsep kebebasan memilih (free will) dan kehendak Allah dalam Islam. Adakah manusia bebas memilih apa yang dikehendakinya, atau sebaliknya?

Jawapan:

Terima kasih kerana berminat untuk mendalami berkenaan Islam. Umat Islam terbahagi kepada 3 aliran dalam persoalan ini:

  • Aliran Qadariyyah yang meyakini bahawa manusia bebas memilih apa jua tindakan dan Allah tidak ada terlibat dengan pilihan tersebut.
  • Aliran Jabariyyah yang meyakini bahawa manusia tidak bebas memilih dan Allah menentukan semua pilihan tersebut.
  • Aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang merupakan aliran majoriti umat Islam. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah meyakini bahawa manusia bebas memilih tindakannya namun keberhasilannya bergantung kepada kehendak Allah SWT. jika pilihan tersebut bersesuaian dengan kehendak-Nya, maka Allah SWT akan mempermudahkannya. Jika sebaliknya, maka ia akan disulitkan-Nya. 

Aliran yang bersifat sederhana dan meraikan hak kebebasan memilih dan juga hak Allah SWT adalah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dan itulah aliran yang dipegang oleh majoriti umat Islam. Allah SWT berhak menentukannya kerana Dia mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Allah SWT adalah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Firman Allah SWT:

"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
(Surah al-Baqarah: 216)

"Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya)."
(Surah al-Insan: 30)

"Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam."
(Surah al-Takwir: 29)

Kami berikan contoh situasi yang lebih mudah untuk anda fahami.

  1. Ahmad ingin ke pasaraya bagi membeli barangan dapur. Beliau sudah menyenaraikan barangan yang perlu dibeli, membuat kiraan anggaran harga dan diselarikan dengan bajet perbelanjaan bulanannya. Pilihan Abu ini sesuai dengan kehendak Allah, maka Allah SWT mempermudahkan sebab-sebab untuk Kamal mendapatkan pilihannya dengan memudahkan perjalanannya ke pasaraya, melancarkan urusan bajet kewangannya dan lain-lain sehinggalah barangan dapur tersebut selamat berada di rumahnya.
  2. Karim ingin bertemu dengan teman-temannya di sebuah kelab malam. Karim sudah menentukan lokasi kelab malam, siapa yang hendak dijumpa, tujuan pertemuan dan lain-lain hal berkaitan. Walaubagaimanapun, pilihannya ini tidak bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Maka, Allah SWT menyebabkan urusannya ke kelab malam menjadi sulit. Kunci keretanya hilang atau enjin keretanya tidak dapat dihidupkan, teksi tidak dapat dihubungi, aplikasi Uber dan Grabcar bermasalah dengan tiba-tiba, talian telefon juga bermasalah menyebabkan beliau tidak dapat menghubungi kawannya untuk menumpang. Karim tidak ada pilihan kecuali membatalkan pertemuannya itu. Pilihan itu bercanggah dengan kehendak-Nya kerana Dia tahu, pertemuan tersebut akan dipenuhi dengan perkara-perkara maksiat dan dosa dan Dia melakukan sedemikian untuk memelihara Karim daripada hal-hal yang menjerumus ke arah kemaksiatan.

Sebagai kesimpulannya, aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah memahami bahawa:

  • Adakalanya, Allah SWT menyukarkan satu pilihan hamba-Nya untuk melatih hamba-Nya supaya lebih kreatif dan kritis mencari jalan keluar. Pun begitu, apabila Dia tidak mengkehendakinya, tidak bermakna Dia tidak mengizinkannya terus. Dia tetap membenarkan hamba-Nya untuk mencari alternatif lain sebagai situasi Karim yang cuba menghubungi teksi, Uber dan kawan-kawannya setelah enjin keretanya tidak dapat dihidupkan.
  • Ada ketika, Allah SWT memudahkan urusan yang tidak baik bagi membolehkan individu terbabit belajar daripada pengalaman, insaf dan menjadi pedoman kepada orang lain.
  • Apabila seseorang manusia melakukan pilihan yang tidak menepati kehendak Allah dan ianya tidak berhasil, ia dapat difahami sebagai takdir yang buruk. Hanya mereka yang sedar dan insaf, akan memahami hikmah disebalik takdir yang buruk itu yang ditentukan-Nya. Mereka yang tidak menyedarinya, akan merungut, marah dan memberontak dengan ketentuannya.

Wallahua'lam.

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 943

Minggu Ini : 10131

Bulan Ini : 21878

Keseluruhan : 9813371

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji