Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

Soalan: Mengapa Muslim percaya dengan kehidupan selepas kematian sedangkan sains pun tidak dapat membuktikannya dengan jelas lagi?

Jawapan:
Kepercayaan bahawa adanya kehidupan selepas kematian, bukannya kepercayaan yang diterima tanpa berfikir terlebih dahulu. Ianya kepercayaan yang logik dan boleh diterima oleh akal. Sains bukanlah sesuatu yang bersifat tetap dan boleh berubah-berubah pada masa akan datang. Boleh jadi teori yang ditemui pada hari ini, akan dikaji semula dan dibuktikan berbeza daripada dapatan yang sedia ada. Terlalu banyak teori-teori sains yang pernah popular dan pada penghujungnya disanggah dengan dapatan yang lain. Ini kerana sifat sains itu sendiri adalah teoritikal dan perkara yang bersifat teoritikal adalah tidak mutlak. Maka, sains itu bukanlah penentu bagi segala-galanya. Ianya cuma wasilah bagi mencapai kepada kebenaran. Apabila sains juga tidak bersifat mutlak, ini membuktikan bahawa tidak semua perkara di dalam al-Qur’an yang masih tidak dapat dibuktikan oleh sains itu, tidak saintifik. Antara teori sains yang popular dan disanggah oleh teori moden lain adalah emission theory (Isaac Newton) dan special relativity (Albert Einstein). Selain itu, antara lain juga adalah: • Fleischmann–Pons’s Nuclear Fusion
• Phrenology
• Luminiferous Aether
• Einstein’s Static (or Stationary) Universe
• Martian Canals
• Phlogiston Theory
• The Expanding or Growing Earth
• Discovery of the Planet Vulcan
• Spontaneous (or Equivocal) Generation Selain itu, wajar ditanyakan kepada yang bertanya soalan di atas, “Adakah merompak itu baik atau buruk?” Kami pasti tidak ada yang menyatakan merompak itu sesuatu yang baik. Sekiranya seorang lelaki yang tidak beragama dan berfikiran logik, berpengaruh besar, mempunyai segala-galanya di dunia dan ditakuti ramai menyatakan merompak itu adalah baik, boleh kita memberikan satu hujah yang logik bahawa merompak itu sesuatu yang buruk?

Lelaki berkenaan mungkin berkata, dengan merompak wang yang banyak dia boleh membeli rumah yang besar, kereta yang hebat dan ini adalah kebaikan baginya. Walaupun ianya satu keburukan bagi orang yang dirompak. Apabila kita berfikir dan terus berfikir, pada hakikatnya tiada alasan yang logik yang membuktikan kepadanya bahawa merompak itu membawa keburukan. Tindakan pertama yang perlu difahamkan kepada lelaki ini adalah membuktikan kewujudan Allah SWT secara logik dan saintifik. Setelah lelaki tersebut percaya akan kewujudan Allah SWT, hendakhlah diteliti firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.”
(Surah al-Nisa': 40)

Lelaki yang merompak itu mungkin gembira dengan tindakannya. Namun, jika kejahatan yang sama atau lebih, dilakukan kepada individu atau mereka yang rapat dengannya, sudah pasti dia turut membencinya. Jika Allah SWT itu Maha Adil, mengapa perlu banyak ketidakadilan berlaku di dunia? Begitu banyak kita ketahui, mereka yang hidup senang lenang dengan hasil daripada sumber yang haram. Adakah mereka akan mati dan semuanya akan berakhir? Akal yang sihat akan menegaskan bahawa ianya sama sekali tidak adil. Jawapannya ada dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);…”
(Surah al-Mulk: 2)

Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(Surah Ali ‘Imran: 185)

Maka, beriman kepada adanya Hari Akhirat dan adanya kehidupan selepas kematian adalah pelengkap kepada 5 Rukun Iman yang lain. Tidak memadai bagi lelaki berkenaan hanya beriman akan kewujudan Allah SWT sahaja. Bagaimana pula dengan kejahatan yang dia telah buat? Adakah dengan terselamatnya dia di dunia, segalanya akan selesai begitu sahaja? Apakah bentuk “ujian” yang dikatakan oleh Allah SWT dalam Surah al-Mulk ayat 2 di atas?

Jawapan kami, bagaimana pula dengan akhirat? Bagaimana pula dengan kehidupan selepas kematian? Secara logiknya, jika tidak ada kehidupan selepas kematian maka apa yang berlaku di dunia adalah tidak adil. Sebagai satu contoh, jika seorang pembunuh telah membunuh lebih 100 orang. Di dunia ini, apakah bentuk hukuman yang selayak dan seadilnya boleh diberikan kepadanya? Hukuman yang maksimum, boleh jadi hukuman gantung yang mana ia adalah 1 nyawa sahaja. Bagaimana pula dengan 99 nyawa yang lain yang dibunuh? Adilkah bagi keluarga mereka? Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Nisa’: 56)

Justeru, jika Allah SWT berkehendak untuk membakar pembunuh tadi dengan 100 kali bakaran, Dia boleh dan berhak melakukannya di akhirat. Inilah bukti akan logiknya ada dan perlunya ada kehidupan selepas kematian; bagi seseorang itu memperoleh keadilan yang seadil-adilnya jika dia berbuat kebaikan, mahupun kejahatan. Wallahua’lam.

e fatwa
e kiblat
e tauliah

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 110

Minggu Ini : 110

Bulan Ini : 13009

Keseluruhan : 9878335

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji