AL-AFKAR #108: BENARKAH IBNU SINA SEORANG SYIAH?

afkar 108

 

Soalan

Apakah status aqidah Ibnu Sina? Saya terbaca, ada yang mengatakan beliau menganut aqidah Syiah Bathiniyyah Isma’iliyyah, dan ada yang mengkafirkannya. Bolehkah kita menggolongkan beliau sebagai tokoh Islam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Ibnu Sina, atau nama penuh beliau Abu Ali Husain bin Abdullah bin Hasan bin Ali bin Sina dilahirkan di Bukhara, Asia Tengah pada tahun 980 Masihi bersamaan 370 Hijrah. Beliau dikenali sebagai Avicenna di dunia Barat. Beliau meninggal dunia pada tahun 1037 Masihi di Hamadan, Iran. Beliau telah menghafal Al-Qur’an sewaktu dalam usia yang masih muda, sebelum menguasai ilmu mantiq, falsafah dan perubatan juga pada usia yang masih muda.

Beliau merupakan seorang ahli perubatan, matematik, fizik dan falsafah yang amat terkenal dan sumbangannya dalam bidang-bidang tersebut diperakui di seluruh dunia hingga ke hari ini.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari, seorang sultan di wilayah Bukhara dihinggapi satu penyakit yang gagal diubati oleh sekalian doktor-doktor istana, Ibnu Sina telah dipanggil mengadap dan itakdirkan berjaya mengubati sultan tersebut. Sebagai tanda terima kasih, sultan telah membuka sebuah perpusatakaan diraja untuk Ibnu Sina yang akhirnya memperkenalkan Ibnu Sina kepada dunia sains dan falsafah dengan lebih mendalam. [1]

 

Pandangan Ulama Terhadap Ibnu Sina

Al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah merupakan antara ulama yang sangat keras pandangannya terhadap Ibnu Sina. Menurut beliau, Ibnu Sina berpegang kepada aqidah Qaramitah Bathiniyyah yang tidak beriman kepada asas-asas Islam, hari kebangkitan, tidak percaya kepada Allah SWT sebagai Pencipta dan dengan Rasulullah sebagai utusan yang diutuskan oleh Allah. (Rujuk Ighasah al-Lahafan 2/266) Bahkan para ulama Syiah sendiri seperti Qadi Nurullah Mar’asyi melalui dalam karangannya Majalis al-Mu’minin menyatakan bahawa mazhab Ibnu Sina adalah Syiah Ismailiyah. (Rujuk A’yan al-Syi’ah 1/160)

Beliau juga pernah ditanya  berkenaan Ibnu Sina, dan beliau berfatwa bahawa tidak boleh kita menggolongkan beliau sebagai salah seorang daripada ulama’ Islam, tidak boleh seseorang itu membaca buku-bukunya kerana ia hanya akan membawa fitnah dan keraguan terhadap kefahaman agamanya; bahkan beliau adalah seorang syaitan manusia. Tambah beliau lagi, Ibnu Sina merupakan ketua kepada golongan-golongan mulhid. (Rujuk al-Sowa’iq al-Mursalah 3/1105)

Ibnu Hajar al-‘Asqalani pula mewajibkan kita berlepas diri daripada kekufurannya, serta berhati-hati terhadap bida’ah dan kesesatannya. Para ulama pada zamannya dan selepasnya telah menetapkan akan kekufurannya dan kekufuran Al-Farabi. Adapun pandangan yang menyebut bahawa Ibnu Sina telah bertaubat, maka kita mendoakan agar beliau memang sempat bertaubat kepada Allah SWT dan diampuni dosa-dosa beliau. (Rujuk Lisan al-Mizan 2/293)

Al-Imam Hujjah al-Islam al-Ghazzali telah mengarang sebuah kitab khusus dalam menerangkan kesesatan dan kekufuran sebahagian doktrin falsafah yang dibawa oleh ahli falsafah Muslim seperti al-Farabi dan Ibnu Sina. Beliau menyenaraikan 17 aqidah falsafah yang dinilai bidaah, dan 3 aqidah yang membawa kepada kekufuran, iaitu:

Manakala al-Imam al-Zahabi mencatatkan bahawa bapa Ibnu Sina adalah seorang penulis mazhab Syi’ah Isma’iliyyah, banyak mengarang ilmu perubatan, falsafah dan mantiq. Namu, beliau turut menukilkan pandangan Ibn Khallikan bahawa Ibnu Sina telah bertaubat daripada kesalahan-kesalahannya, bersedeqah kepada faqir miskin, memberikan hak-hak orang yang dizalimi, membebaskan hamba-hambanya, mengkhatamkan al-Qur’an setiap tiga hari, dan meninggal dunia pada hari Jumaat pada bulan Ramadhan. Diriwayatkan bahawa beliau pernah bermadah:

“Sebaik-baik pergerakan ialah solat, sebaik-baik diam ialah puasa, kebaikan paling bermanfaat ialah sedekah, sesuci-suci hati ialah yang bersangka baik, perbuatan yang paling bathil ialah riyaa’, dan kamu tidak akan sesekali menyucikan jiwa kamu selagimana kamu menyibukkan diri dengan perdebatan, sebaik-baik amal ialah yang bersumber daripada niat yang ikhlas, dan niat yang terbaik ialah yang datang dengan ilmu.” )Rujuk Siyar A'lam Al-Nubala' 17/531-535)

Al-Imam Al-Syahrastani pula- seorang pakar dalam bidang aqidah dan pemikiran- mengiktiraf Ibnu Sina sebagai ahli falsafah mazhab Aristotelian yang terbaik, paling mendalam dari sudut metodologi dan teori. (Rujuk Al-Milal wa al-Nihal 2/157)

Al-Imam Ibnu Kathir pula mengiktiraf beliau sebagai seorang yang mahir dalam bidang perubatan pada zamannya. Mempelajari dan menguasai pengajian al-Qur’an sewaktu berumur sepuluh tahun, kemudian mempelajari dan menguasai ilmu matematik, algebra, idea-idea Euclides[2] dan Ptolemy[3]. Masyarakat pada zaman beliau mengiktiraf keilmuan dan belajar daripada beliau sewaktu berumur 16 tahun.

Kemudiannya beliau menguasai pula ilmu metafizik (ilahiyyat / ilmu ketuhanan) dan fizik, dan menurut Ibnu Khallikan, karangan beliau mencapai 100 buah kitab, samada besar atau kecil, antaranya ialah Al-Qanun fi al-Tibb, Al-Syifaa, Al-Najat, Al-Isyarat wa al-Tanbihat, Salaman dan lain-lain. Ibn Khallikan juga mengiktiraf beliau sebagai salah seorang ahli falsafah Islam. Terdapat juga riwayat yang menyebut bahawa sebelum meninggal dunia, beliau sempat bertaubat daripada aqidah-aqidah menyeleweng yang dianutinya sewaktu hidup, dan hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. (Rujuk Al-Bidayah wa al-Nihayah 12/53-54)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, tidak sedikit para ulama muhaqqiqin yang menyebut akan kesesatan aqidah Bathiniyyah Qaramitah dan Isma’iliyyah yang dipegang dan falsafah ketuhanan yang dibawa oleh Ibnu Sina melalui kitab-kitab beliau.

Namun, perdebatan dan pertikaian yang berlebih-lebihan pada perkara yang telah berlalu tidak memberi banyak manfaat. Lebih-lebih lagi beliau tidak menceburi ilmu agama secara langsung seperti tauhid, fiqh dan hadith. Namanya juga tidak pernah disebut dalam ilmu rijal (perawi hadith) dan al-jarh wa al-ta’dil, maka penentuan aqidah Ibnu Sina tidak mempunyai hubungan atau kesan secara langsung dengan agama Islam.

Suatu hari, al-Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya akan pendirian beliau tentang pertelingkahan antara para sahabat Baginda SAW sewaktu Perang Siffin dan Perang Jamal. Imam Ahmad menyedari bahawa perdebatan dalam persoalan ini adalah tidak bermanfaat, lantas menjawab dengan firman Allah SWT:

تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

Surah al-Baqarah (134)

Ibnu Sina telahpun meninggal dunia, dengan meninggalkan sumbangan yang teramat besar kepada dunia Islam khasnya dan umat manusia amnya, khasnya dalam bidang perubatan. Kesalahan beliau dalam aqidah tidak menghalang kita untuk mengambil manfaat daripada ilmu-ilmu perubatan yang beliau wariskan kepada kita.

Kita berlepas diri daripada aqidah-aqidah dan falsafah ketuhanan yang terdapat dalam karangannya yang menyanggahi ajaran Islam yang dibawa oleh para Rasul dan diteruskan oleh para ulama. Namun, kita bersangka baik semoga Ibnu Sina sempat bertaubat daripada aqidah falsafah yang menyeleweng daripada ajaran Islam sepertimana yang disebut oleh Al-Imam Ibnu Kathir, Ibn Khallikan dan Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani , dan agar taubatnya diterima oleh Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

 

Nota kaki:

[1] Rujuk https://www.britannica.com/biography/Avicenna

[2] Seorang ahli matematik tamadun Greek, lahir pada tahun 435 Sebelum Masihi (SM) dan meninggal dunia pada 365 SM.

[3] Claudius Ptolemy, seorang ahli matematik, astronomi dan geografi tamadun Greek-Roman. Lahir pada tahun 100 Masihi, meninggal dunia pada 170 Masihi.