AL-KAFI #478: HUKUM JEMAAH HAJI WANITA MENGAMBIL PIL PENCEGAH HAID

Soalan:

Apakah hukum mengambil pil pencegah haid bagi jemaah haji wanita ?

Jawapan:

Pada asasnya, wanita yang sedang berada dalam keadaan haid dibolehkan untuk melaksanakan perbuatan-perbuatan haji selain dari melakukan tawaf di Baitullah. Hal ini adalah berdasarkan sabda Nabi S.A.W kepada Ummul Mu’minin A’isyah R.A:

افْعَلِي كَمَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي 

Maksudnya: Kamu lakukanlah sebagaimana yang dilaksanakan oleh orang-orang yang mengerjakan haji kecuali janganlah kamu bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu suci.

Riwayat Al-Bukhari (1650)

Imam al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini berkata: Sesungguhnya haid itu tidak menghalang sedikit pun manasik (perbuatan-perbuatan) haji melainkan tawaf di baitullah dan solat sesudahnya. Adapun selain daripada itu seperti zikir, berdoa, maka ianya tidak dihalang kepada orang yang dalam keadaan haid untuk melakukannya. Maka termasuk dalam perkara itu adalah wukuf di ‘Arafah, dan Muzdalifah, melontar jamrah, serta berdoa kepada-Nya di tempat-tempat ini. Dan semuanya ini adalah disepakati akan keharusan mengerjakannya. Lihat Fath al-Bari, Ibn Rajab al-Hanbali (2/42).

 

Hukum Jemaah Haji Wanita Mengambil Pil Pencegah Haid

Berikut kami nyatakan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu ini:

Kata al-Imam al-Bahuuti al-Hanbali Rahimahullah: Dibolehkan untuk meminum ubat-ubatan yang harus hukumnya untuk memotong haid selama mana ia selamat dari sebarang kemudharatan. Rujuk Kasyyaf al-Qina’, al-Bahuti (1/2180).

Imam Malik pula memakruhkan perbuatan ini. Kata al-Imam Ibn Rushd al-Maliki Rahimahullah; Imam Malik ditanyakan berkenaan seorang perempuan yang takut haidnya berlaku lebih awal, lalu dia ingin meminum ubat yang dapat melambatkan kitaran haidnya. Maka kata Imam Malik: Yang demikian itu bukanlah suatu perkara yang tepat.

Mengulas kenyataan ini, Imam Ibn Rushd berkata; Sesungguhnya Imam Malik memakruhkan hal tersebut hanyalah kerana takutkan wanita itu memasukkan sesuatu yang dapat memberikan mudharat ke dalam tubuh badannya sendiri. Lihat Mawahib al-Jalil, al-Ru’aini al-Maliki (1/538).

Melihat isu ini secara keseluruhan, penggunaan pil pencegah haid bagi jemaah wanita yang mengerjakan haji adalah termasuk di dalam perkara-perkara keduniaan. Asal bagi hal-hal seumpama ini adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang melarangnya. Ini berdasarkan sebuah kaedah feqh yang masyhur:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة

Maksudnya: Asal bagi setiap perkara (selain urusan ibadah) adalah harus.

Namun sekiranya terbukti dari sudut perubatan bahawa penggunaan pil-pil seumpama ini akan memudaratkan penggunanya baik dari sudut jangka masa pendek atau panjang, maka hukumnya berubah daripada harus kepada haram. Ini adalah berdasarkan keumuman sabda Nabi S.A.W:

 لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh memberikan mudharat atau saling berbalas memberi mudharat.

Riwayat Ibn Majah (2341)

Sekiranya penggunaan pil tersebut tidak mendatangkan sebarang kesan buruk atau mudharat, maka ia kembali kepada hukum asal iaitu keharusannya. Juga turut dianggap sebagai perkara yang memberikan kemudahan kepada jemaah-jemaah haji wanita. Firman Allah S.W.T:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: Allah mahukan kemudahan untuk kalian dan Dia tidak mengkehendaki kesusahan terhadap kalian.

Surah al-Baqarah (185)

 

Pendapat Badan Berautoriti Agama

Kami sebutkan di sini beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh badan berautoriti agama ketika mengulas berkenaan isu ini. Di antaranya:

1- General Authority Of Islamic Affairs & Endowsments (United Arab Emirates)

Badan ini mengeluarkan pendapat seperti berikut: Dibolehkan untuk seorang wanita yang melakukan haji itu untuk menggunakan pil bagi melewatkan kitaran haid (menstrual cycle) setelah dirinya berbincang dan mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan. Rujuk pautan berikut https://goo.gl/Xj2E4A

2- Dar al Ifta’ Jordan

Menurut badan ini, mereka berpendapat bahawa: Dibolehkan untuk seorang wanita itu meminum ubat-ubatan yang dapat melewatkan kitaran haidnya. Khususnya apabila terdapatnya keperluan dari sudut syarak untuk mengambilnya. Seperti takut penemannya semasa proses haji dan umrah tidak dapat menunggu dirinya apabila dia terlewat disebabkan kedatangan haid. Lihat selanjutnya di pautan berikut https://goo.gl/BwYvvz

Kesimpulan

Setelah meneliti beberapa pendapat para fuqaha di atas, kami membuat kesimpulan bahawa hukum jemaah haji wanita menggunakan pil pencegah haid adalah harus. Kami juga menyatakan beberapa perkara yang perlu diteliti seperti berikut:-

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam beragama. Ameen.