HUKUM PERNIAGAAN DROPSHIP

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 132 (18 DISEMBER 2015 / BERSAMAAN 7 RABIULAWAL 1437H)

SOALAN

Assalamualaikum Datuk,

Maaf saya nak tanya soalan. Apa hukum dropship datuk? Boleh jelaskan. 

Terima kasih.

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Hukumnya ialah harus kerana dianggap sebagai pekerja atau ejen bagi pemodal. Ia lebih kepada sifat wakil dalam konsep wakalah. Walaupun begitu, perlu dipastikan tiada unsur gharar atau penipuan. Untuk jawapan yang lebih terperinci kami nukilkan tulisan Muhammd Abduh Tuasikal dengan sedikit perubahan.

Sistem dropship banyak diterapkan masa sekarang oleh para penggiat perniagaan online. Mereka tidak mesti memiliki barang. Cukup hanya membuat pengiklanan di website atau blog, sekiranya ada pesanan, mereka terus menghubungi pihak pengeluar atau pemborong. Setelah itu pihak pengeluar atau pemborong selaku dropshipper yang mengirimkan barang terus kepada pembeli. Apakah hukum jual beli dengan sistem dropship sebegini? Sedangkan bentuknya adalah menjual barang yang tidak dimiliki, dan ini dilarang dalam hadis. Apakah penyelesaiannya dalam Islam?

Bentuk Dropshipping dan Siapakah Dropshipper?

Dropshipping adalah teknik pengurusan rantaian kumpulan di mana reseller atau retailer (penjual runcit) tidak memiliki stok barang. Pihak pengeluar atau pemborong selaku dropshipper yang seterusnya akan mengirim barang secara terus kepada pelanggan. Keuntungan diperolehi dari selisih harga antara harga pemborong dan peruncit. Tetapi beberapa reseller ada yang mendapatkan upah yang disepakati dari penjualan yang nanti dibayar terus oleh pihak pemborong kepada reseller. Inilah bentuk bisnes yang amat menarik minat peniaga-peniaga online.

Berikut gambaran mengenai sistem dropshipping:

Barang dipasarkan melalui pasaran online atau dengan hanya memasang ‘display items’ atau ‘katalog. Lalu pihak pembeli melakukan transaksi melalui perniagaan online kepada reseller dropship. Setelah wang dipindahkan, pihak dropshipper (pemborong) yang mengirim barang kepada pembeli. Ertinya, pihak reseller sebenarnya tidak memiliki barang pada waktu tersebut, barangnya ada di pihak pengeluar dan pemborong.

Menjual Barang yang Bukan Miliknya

Asalnya, yang dilakukan reseller adalah menjual barang yang bukan miliknya. Mengenai jual beli sebegini ini adalah terlarang. Ini kerana di antara syarat jual beli, orang yang melakukan akad adalah sebagai pemilik barang atau alat tukar, atau bertindak sebagai wakil. Jual beli barang yang bukan miliknya telah termaktub dalam beberapa hadis tentang larangan jual beli tersebut.

Hakim bin Hizam pernah bertanya pada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ يَأْتِينِي الرَّجُلُ فَيَسْأَلُنِي الْبَيْعَ لَيْسَ عِنْدِي أَبِيعُهُ مِنْهُ ثُمَّ أَبْتَاعُهُ لَهُ مِنْ السُّوقِ قَالَ لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ada seseorang yang mendatangiku lalu ia meminta agar aku menjual kepadanya barang yang belum aku miliki, dengan terlebih dahulu aku membelinya untuk mereka dari pasar?” Rasulullah SAW menjawab, “Janganlah engkau menjual sesuatu yang tidak ada padamu.”

Riwayat Abu Daud (3503), al-Nasaie (4613), al-Tirmidzi (1232) dan Ibn Majah (2187). Al Albani mengatakan hadis ini sahih

Di antara salah satu bentuk penjualan produk yang belum menjadi milik kita ialah, penjualan produk yang belum sepenuhnya berlaku penyerahan dan penerimaan kepada kita, walaupun produk tersebut kita telah beli, dan mungkin pembayaran telah selesai. Larangan ini berdasarkan hadis Ibn Abbas, Nabi SAW bersabda:

مَنِ ابْتَاعَ طَعَامًا فَلاَ يَبِعْهُ حَتَّى يَسْتَوْفِيَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membeli bahan makanan, maka janganlah ia menjualnya kembali sehingga dia selesai menerimanya.”

Ibn ‘Abbas mengatakan:

وَأَحْسِبُ كُلَّ شَىْءٍ مِثْلَهُ

Maksudnya: “Aku berpendapat bahawa segala sesuatu hukumnya sama dengan bahan makanan.”

Riwayat al-Bukhari (2136) dan Muslim (1525)

Ibn Umar mengatakan,

وَكُنَّا نَشْتَرِى الطَّعَامَ مِنَ الرُّكْبَانِ جِزَافًا فَنَهَانَا رَسُولُ اللَّهِ أَنْ نَبِيعَهُ حَتَّى نَنْقُلَهُ مِنْ مَكَانِهِ.

Maksudnya: “Kami biasa membeli bahan makanan dari orang yang berkendaraan tanpa diketahui ukurannya. Kemudian Rasulullah SAW melarang kami menjual barang tersebut sehingga barang tersebut dipindahkan dari tempatnya.”

Riwayat Muslim (1527)

Dalam riwayat lain, Ibn Umar juga mengatakan,

كُنَّا فِى زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ نَبْتَاعُ الطَّعَامَ فَيَبْعَثُ عَلَيْنَا مَنْ يَأْمُرُنَا بِانْتِقَالِهِ مِنَ الْمَكَانِ الَّذِى ابْتَعْنَاهُ فِيهِ إِلَى مَكَانٍ سِوَاهُ قَبْلَ أَنْ نَبِيعَهُ.

Maksudnya: “Kami dahulu di zaman Rasulullah SAW membeli bahan makanan. Lalu seseorang diutus kepada kami. Dia disuruh untuk memerintahkan kami agar memindahkan bahan makanan yang sudah dibeli tadi ke tempat yang lain, sebelum kami menjualnya kembali.”

Riwayat Muslim (1527)

Bentuk penyerahan dan penerimaan di sini bergantung dari jenis produk yang dijual. Untuk produk seperti rumah, mencukupi dengan resit pembelian atau, untuk kenderaan seperti motor adalah dengan penukaran surat hak milik kepada pemilik yang baru, barang lain mesti dipindahkan dengan produk yang semisalnya.

Wallahua`lam.

Wallahua`lam.