AL-KAFI #999: KHUTBAH PERTAMA SAIDINA ABU BAKAR R.A DAN PENGAJARAN

AK999.png

SOALAN

Assalamualaikum Datuk Seri Mufti. Apakah pengajaran yang boleh diperolehi daripada khutbah pertama Saidina Abu Bakar R.A selepas diangkat menjadi khalifah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

JAWAPAN

Waalaikumussalam.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Saidina Abu Bakar R.A merupakan Khalifah pertama yang dilantik selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Pada ketika itu, Saidina Abu Bakar menyampaikan khutbah seperti berikut:

أَيُّها الناسُ فَإِني قد وُلِّيتُ عليكم ولست بخيركم فإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي وإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُوني. الصِدْقُ أمانةٌ والكَذِبُ خِيَانَةٌ . والضعيفُ فيكم قويٌّ عندي حتى أرجعَ إليه حقَّه إن شاء اللّه، والقويّ فيكم ضعيفٌ عندي حتى آخذَ الحقَّ منه إن شاء اللّه. لا يَدَعُ قومٌ الجِهادَ في سبيل اللّه إلا خَذَلَهم اللَّهُ بالذُلِّ ولا تَشِيعُ الفاحشةُ في قومٍ إِلا عَمَّهم اللَّهُ بِالبلاءِ. أَطِيعُوني ما أَطَعْتُ اللَّهَ ورسولَه فإِذا عَصَيْت اللَّهَ ورسولَه فلا طاعةَ لي عليكم. قُومُوا إلى صلاتكم يَرْحَمْكُمُ اللّه.

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua semua[1]. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku. Kebenaran adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhinatan.

Dan orang yang lemah dikalangan kamu semua adalah kuat pada pandanganku, sehingga aku berikan hak kepadanya, Insyaallah. Dan orang yang kuat dikalangan kamu semua adalah lemah pada pandanganku, sehingga aku mengambil kembali hak daripadanya, Insyaallah.

Janganlah ada sesuatu kaum yang meninggalkan jihad, kecuali Allah SWT akan menimpakan kehinaan kepadanya. Dan apabila keburukan sudah memenuhi pada sesuatu kaum, maka Allah SWT akan mendatangkan bala kepada kaum tersebut.

Taatlah kepadaku selama mana aku taat kepada Allah SWT dan RasulNya. Tetapi apabila aku melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya, maka tidak wajib kepada kamu semua untuk mentaatiku. Marilah semua mendirikan solat, semoga Allah SWT merahmati kamu semua.” [2] (Rujuk Sirah Ibn Hisyam, 4/240 dan ‘Uyun al-Akhbar Ibn Qutaibah, 2/234)

Antara pengajaran yang dinyatakan oleh Ibn Badis dalam kitabnya, “Athar Ibn Badis” adalah seperti berikut:[3] (Rujuk Athar Ibn Badis, 2/401)

Pertama: (Pengertian baiah) Tiada sesiapa pun yang berhak memerintah suatu umat kecuali setelah dipilih dan diberi mandat oleh rakyat dalam negara tersebut. Rakyat adalah golongan yang mempunyai hak dan kuasa dalam menuntukan hala tuju negara. Justeru, tiada seorang pun yang boleh menentukan hal-hal negara tanpa mendapat keredaan daripada golongan (rakyat) ini.

Kedua: (Pemilihan Pemerintah) Individu yang bertanggungjawab dalam pengurusan sesebuah negara ialah mereka yang berkeahlian dalam perkara tersebut dan bukanlah yang semata-mata terbaik dari sudut akhlaknya. Jika sekiranya terdapat dua individu yang kedua-duanya bersifat dengan sifat yang baik dan cekap (mentadbir negara), salah seorang dari mereka mempunyai kelebihan pada akhlaknya yang lebih baik daripada seorang lagi, dan seorang lagi mempunyai kelebihan iaitu lebih cekap (pentadbiran negara). Justeru pentadbiran negara lebih memerlukan kepada orang yang cekap melebihi daripada orang yang membuat kebajikan.

Ketiga: Tidak ada seorangpun setelah diberi mandat adalah menjadi yang terbaik dalam kalangan rakyat. Tetapi terbaik dari sudut kebajikan, tingkahlaku dan pekerjaan. Namun Saidina Abu Bakar R.A bukan sahaja terbaik disebabkan mandat yang diperolehinya, bahkan juga terbaik dari sudut amal dan perbuatannya

Keempat: Hak rakyat untuk mengawal pemerintah. Ini kerana rakyat adalah sumber kuasa serta orang yang memerhati negara mereka dan penentu kepada negara mereka.

Kelima: Menjadi hak pemimpin dalam negara untuk membantu setiap rakyat sekiranya keadaan memerlukan kepada perkara tersebut. Sekiranya dilihat pemerintah tersebut membuat perkara yang betul, maka menjadi kewajipan kepada rakyat untuk bersama-sama pemimpin dan membantu dan melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Keenam: Hak pemimpin ke atas rakyat dalam menasihati, membimbing serta memberi penerangan kepada kebenaran sekiranya terpesong daripadanya(kebenaran). Dia juga wajib untuk membawa kembali ke jalan yang benar sekiranya telah terpesong dari jalan itu.

Ketujuh: Hak rakyat untuk berbincang dengan pemimpin, melakukan audit dalam setiap tindakan pemimpin serta pemimpim hendaklah membawa rakyat ke arah yang jalan terbaik dengan mengikut kehendak rakyat bukan mengikut kehendak peribadi pemimpin tersebut. Maka keputusan akhir dalam setiap perkara hendaklah berdasarkan kehendak ummah. Ini adalah asas dalam prinsip menegur pemimpin ketika mana ummah melihat mereka dalam kebatilan.

Kelapan: Rakyat tidak mentaati pemimpin disebabkan dia adalah pemimpin. Namun, ketaatan itu datang apabila pemimpin tersebut mentaati Allah SWT dan mengikut setiap hukum hakam yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan meredai hukum hakam tersebut terhadap diri mereka. Hal ini kerana, mereka adalah yang bertangjawab dalam melaksanakan hukum hakam tersebut. Justeru, sekiranya mereka melanggar serta berbeza dengan hukum hakam tersebut, maka tidak ada lagi ketaatan terhadap mereka.

Kesembilan: Setiap orang berhadapan dengan undang-undang yang sama tidak kira pemimpin ataupun rakyat. Undang-undang dikenakan kepada orang yang berkuasa tanpa melihat kepada jawatan yang dimiliki oleh mereka dan turut dikenakan kepada orang lemah tanpa melihat kepada kelemahan mereka.

Kesepuluh: Sikap bertanggungjawab di antara pemimpin dan rakyat dalam mengislah masyrakat perlu sentiasa dipegang dalam menegakkan tanggungjawab tersebut. Justeru, hendaklah sentiasa bersikap bersungguh-sungguh dalam pekerjaan seterusnya mengharapkan keampunan daripada Allah yang mengawal mereka semua.

Semoga kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada teks khutbah yang disampaikan ini untuk terus berjaya dalam urusan dunia dan akhirat. Amin.

 

[1] Untuk bacaan lanjut, boleh rujuk Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Abu Fida’ al-Dimasyqi, 5/248)

[2] Lihat Sirah Ibn Hisyam, 4/240 dan ‘Uyun al-Akhbar li Ibn Qutaibah, 2/234

[3] Untuk bacaan lanjut, boleh rujuk Kitab al-Imamah wa al-rad ‘ala al-Rafidah oleh Abu Nu’aim al-Asbahani, hlm. 268.