AL-KAFI #1781: HUKUM ABANG KANDUNG MENJADI WALI

 

HUKUM_ABANG_KANDUNG_MENJADI_WALI.png

 

 

SOALAN

Anak perempuan mahu abang kandung menjadi wali boleh atau tidak? Tetapi bapa kandung masih hidup dan ada menetap di negeri lain. Adakah kuasa wali tu hanya terletak pada bapa yang masih hidup atau perlu meminta persetujuan dengan bapa anak perempuan tersebut untuk menjadikan abang atau anak lelaki menjadi wali kepada anak perempuan itu?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Mazhab Syafie berpendapat tidak sah wali ab’ad menjadi wali selagi wali aqrab masih ada. sekiranya terdapat sesuatu menghalang untuk wali nasab iaitu bapa yang berada di luar negeri itu hadir Ketika akad nikah, maka wali hakim menggantikan tempat wali nasab dengan keizinannya.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW sehingga ke hari kiamat.

 

Wali merupakan orang yang mempunyai hak untuk mengahwinkan anak perempuan di bawah jagaannya dengan syarat-syarat tertentu. Ia adalah atas dasar tanggungjawab bagi ahli keluarganya dan juga hak keistimewaan seorang bapa dalam melaksanakan perkahwinan anaknya sepertimana yang telah dipersetujui oleh majoriti ulama.  Ia menjadi keperluan kepada wali dapat menjaga hubungan kekeluargaan antara seorang anak dengan ibu bapa.

 

Peruntukan undang-undang Islam, wali merupakan syarat utama untuk mendapatkan kebenaran berkahwin dan termaktub mengenai hak kewalian tersebut. Banyak dalil-dalil mengenainya. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا، فَإِنْ اشْتَجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ

 

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya. Sekiranya mereka berselisih maka Sultan sebagai wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali.”

   Riwayat al-Tarmizi (399)

Selain itu, merujuk kepada keadaan wali akrab yang berada di tempat lain yang membolehkan qasar salat, mengikut solusi daripada Imam al-Syirazi katanya:

إن غاب الولي إلى مسافة تقصر فيها الصلاة زوجها السلطان ولم يكن لمن بعده من الأولياء أن يزوج لأن ولاية الغائب باقية ولهذا لو زوجها في مكانه صح العقد وإنما تعذر من جهته فقام السلطان مقامه

 

Maksudnya: Sekiranya tidak ada wali, kerana wali itu (berada) pada jarak yang membolehkan untuk solat qasar (dua marhalah), maka sultan yang mengkahwinkan perempuan itu dan tidak boleh wali yang seterusnya (wali ab’ad) mengkahwinkan kerana hak perwalian wali yang tiada (berada jauh dua marhalah) masih kekal. Oleh itu, sekiranya wali hakim mengkahwinkan perempuan itu yang menggantikan tempat wali nasab, maka sah aqad tersebut. Hal ini kerana ada keuzuran daripada wali nasab maka sultan mengambil tempatnya (menjadi wali).

(Rujuk: al-Muhazzab fi fiqh al-Islami al-Syafie, 2/429)

 

Dapat disimpulkan bahawa penggunaan wali bagi abang kandung tidak sah selagimana wali aqrab masih wujud dan sekiranya wali aqrab tidak dapat hadir disebabkan faktor jarak melebihi 2 marhalah maka hanya wakil sultan atau hakim dapat menggantikan tempatnya.

 

KESIMPULAN

Pengamalan mengikut mazhab syafie berkaitan wali, tidak dibolehkan untuk menukar kepada abang kandung kerana bapa kandung masih hidup walaupun berada luar kawasan. Ini adalah kerana abang kandung dihijab oleh bapa kandung yang kedudukannya di dalam susunan atau tertib wali perempuan yang sah mengikut hukum syarak. Oleh yang sedemikian, kuasa wali tidak berpindah kepada wali yang lain selagi wali yang berada di kedudukan awal masih hidup selagi mana mampu untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wali. Justeru, jalan yang terbaik ialah terlaksananya pernikahan itu dengan diakadnikahkan oleh bapa kandungnya. Sehubungan itu, melalui segala kemudahan yang ada di zaman moden ini, sepatutnya tidak menjadi halangan untuk menghubungi, memaklumkan, berbincang dan sebagainya. Sekiranya terdapat halangan juga dari bapa, maka keputusannya adalah wali hakim yang menjadi wali.

Wallahua’lam.