AL-KAFI #1832 : HUKUM EMAK MENDANDAN ANAK LELAKI SEPERTI ANAK PEREMPUAN UNTUK SUKA-SUKA

AK1832 min

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Maaf ganggu. Saya ada persoalan. Baru-baru ini ada influencer terkenal yang bangkitkan kerisauan terhadap trend sebahagian emak emak yang dandan dan make up anak lelaki sehingga menjadi seperti anak perempuan. Ada yang dipakaikan tudung dan pakaian wanita, semuanya dilakukan kerana suka-suka. Ada yang lakukan kerana katanya tiada anak perempuan yang hendak didandan. Apa pandangan ustaz? Mohon ustaz berikan sedikit nasihat.

Ringkasan jawapan:

Perbuatan ibu yang mendandan anak lelaki sehingga menjadi seperti perempuan adalah perbuatan yang jelas haram dan tidak dibenarkan walaupun dengan alasan bergurau. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang melarang lelaki menyerupai wanita, begitu juga sebaliknya. Perbuatan tersebut boleh mendorong anak-anak lelaki untuk menjadi wanita. Seorang ibu seharusnya mendidik anak untuk menjadi manusia yang patuh pada ketetapan dan hukum Allah bukannya mendorong mereka melakukan perkara yang diharamkan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman. Wallahu’alam.

Huraian jawapan:

Islam mengharuskan umatnya untuk berhias dan menonjolkan penampilan yang elok. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”[1]

Sheikh Ahmad bin Muṣṭafā al-Marāghī menjelaskan bahawa Allah mengurniakan nikmat pakaian kepada manusia bermula pakaian yang digunakan untuk menutup aurat sehingga jenis-jenis perhiasan yang cantik.[2]

Namun begitu, perhiasan dan penampilan tersebut mesti tidak melebihi batas yang telah ditetapkan oleh syarak, antaranya tiada unsur penyerupaan lelaki dengan wanita atau wanita dengan lelaki. Rasulullah SAW melarang seorang lelaki menyerupai wanita, begitu juga sebaliknya. Larangan ini dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, beliau berkata:

‌لَعَنَ ‌رَسُولُ ‌اللهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌الْمُتَشَبِّهِينَ ‌مِنَ ‌الرِّجَالِ ‌بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”[3]

Sheikh Badr al-Dīn al-‘Ainī (m. 855 H) menjelaskan bahawa hadis di atas jelas menunjukkan pengharaman lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya. Pengharaman ini termasuk penyerupaan dari segi pakaian, perhiasan dan perbuatan yang dikhususkan untuk lelaki atau wanita.[4]

Oleh itu, perbuatan mendandan dan make up anak lelaki sehingga menjadi seperti perempuan adalah termasuk dalam larangan tersebut. Perkara ini juga dijelaskan oleh Sheikh Zakariyā al-Anṣārī (m.926 H) di dalam perbahasan berkenaan perhiasan yang harus digunakan dan yang tidak boleh digunakan oleh lelaki dan perempuan. Perkataan laknat yang terdapat dalam hadis bukan membawa maksud makruh akan tetapi memberi maksud haram.[5]

Menyerupai jantina lain dengan apa niat sekalipun adalah tidak dibenarkan.  Hal ini berdasarkan peristiwa yang pernah berlaku kepada Sayyidah Ummu Salamah. Dalam riwayat Abu Daud menyebut :

أن النبيَّ صلَّى الله عليه وسلم دخلَ عليها وهي تختَمِرُ فقال: ليَّةً لا ليَّتَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW masuk bertemunya (Ummu Salamah) dalam keadaan Ummu Salamah memakai tudung. Kemudian Baginda bersabda: Satu lilitan sahaja, bukan dua lilitan.“[6]

Abu Daud sejurus menukilkan hadis ini, beliau menjelaskan makna sabda Nabi ‘satu lilitan sahaja, bukan dua lilitan‘. Beliau menjelaskan bahawa Nabi SAW menegah Ummu Salamah daripada memakai tudung seperti lilitan serban lelaki.[7] Isteri Nabi yang mulia ini memakai tudungnya dengan dua kali lilitan bukan berniat untuk menyerupai lelaki, malah kita yakin wanita seperti Sayyidah Ummu Salamah tidak mungkin terlintas dihatinya niat yang sebegitu rupa. Namun amat jelas teguran Baginda SAW adalah tegahan agar seseorang sama sekali tidak berketerampilan seperti jantina berlawanan, meskipun tiada niat sebegitu di hati.

Kesimpulannya, perbuatan ibu yang mendandan anak lelaki sehingga menjadi seperti perempuan adalah perbuatan yang jelas haram dan tidak dibenarkan walaupun dengan alasan bergurau. Perbuatan tersebut boleh mendorong anak-anak lelaki untuk menjadi wanita. Seorang ibu seharusnya mendidik anak untuk menjadi manusia yang patuh pada ketetapan dan hukum Allah bukannya mendorong mereka melakukan perkara yang diharamkan.

NOTA HUJUNG :

[1] Surah al-‘Arāf: 26

[2] Al-Marāghī, Ahmad bin Mustafa (1946), Tafsīr al-Marāghī, Mesir: Syarikat Maktabah wa Maṭba’ah Musṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, j.8 h.124. Beliau menyebut : نادى الله بنى آدم وامتن عليهم بما أنعم عليهم من اللباس على اختلاف درجاته وAL-تعدد أنواعه، من الأدنى الذي يستر العورة عن أعين الناس إلى الأعلى من أنواع الحلل التي تشبه ريش الطير فى وقاية البدن من الحر والبرد، إلى ما فيها من الزينة والجمال

[3] Riwayat al-Bukhari no. 5885, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail (2001), Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Beirut: Dar Tūq al-Najāh, j.7 h.159.

[4] Badr al-Dīn al-‘Ainī, Mahmud bin Ahmad, ‚Umdah al-Qārī Syarh Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Beirut: Dar al-Fikr, j.22 h.41. Beliau menjelaskan: هَذَا بَاب فِي بَيَان ذمّ الرِّجَال المتشبهين بِالنسَاء وَبَيَان ذمّ النِّسَاء المتشبهات بِالرِّجَالِ، وَيدل على ذَلِك ذكر اللَّعْن فِي حَدِيث الْبَاب وتشبه الرِّجَال بِالنسَاء فِي اللبَاس والزينة الَّتِي تخْتَص بِالنسَاء مثل لبس المقانع والقلائد والمخانق والأسورة والخلاخل والقرط وَنَحْو ذَلِك مِمَّا لَيْسَ للرِّجَال لبسه، وتشبه النِّسَاء بِالرِّجَالِ مثل لبس النِّعَال الرقَاق وَالْمَشْي بهَا فِي محافل الرِّجَال وَلبس الأردية والطيالسة والعمائم وَنَحْو ذَلِك مِمَّا لَيْسَ لَهُنَّ اسْتِعْمَاله، وَكَذَلِكَ لَا يحل للرِّجَال التَّشَبُّه بِهن فِي الْأَفْعَال الَّتِي هِيَ مَخْصُوصَة بِهن كالانخناث فِي الْأَجْسَام والتأنيث فِي الْكَلَام وَالْمَشْي

[5] Abu Yahyā, Zakariyā bin Muhammad, Asnā al-Maṭālib fī Syarh Rauḍ al-Ṭālib, Beirut: Dar al-Kitab al-Islamī,j.1 h.379. (وَيَحْرُمُ عَلَى النِّسَاءُ تَحْلِيَةُ آلَةِ الْحَرْبِ) بِذَهَبٍ وَفِضَّةٍ وَإِنْ جَازَ لَهُنَّ الْمُحَارَبَةُ بِآلَتِهَا (وَلُبْسُ زِيِّ الرِّجَالِ) لِمَا فِي ذَلِكَ مِنْ ‌التَّشَبُّهِ بِهِمْ وَهُوَ حَرَامٌ كَعَكْسِهِ لِلْخَبَرِ الصَّحِيحِ «لَعَنْ اللَّهُ الْمُتَشَبِّهِينَ بِالنِّسَاءِ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَشَبِّهَات مِنْ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ» وَاللَّعْنُ لَا يَكُونُ عَلَى مَكْرُوهٍ

[6] Riwayat Abu Daud, no. 4115, Abu Daud, Sulaimān bin al-‘Ash’ath (2009), Sunan Abu Daud, ed. Sheikh Shu’aib al-Arnaut, Muhammad Kamil Qurah Balalī, Beirut: Dar al-Risalah al-‘Ālamiyah, j.6 h.206.

[7] Ibid. قال أبو داود: معنى قولِه: "ليَّةً لا ليَّتَيْنِ" يقولُ: ‌لا ‌تَعْتمَّ ‌مِثْلَ ‌الرَّجُلِ لا تُكرِّره طاقاً أو طاقَين