AL-KAFI #1886: HUKUM TALQIN KE ATAS JENAZAH KANAK-KANAK

Screenshot 2022 08 11 at 9.53.19 AM 2

 

Soalan:

Assalamualaikum wrt.wbt. Kita biasanya melihat orang membacakan talqin kepada jenazah dewasa. Persoalan saya adakah jenazah kanak-kanak memang tidak perlu ditalqinkan?

Ringkasan Jawapan

Menurut para ulama mazhab Syafi’e, jenazah kanak-kanak tidak disunatkan untuk ditalqinkan kerana pertanyaan dalam kubur oleh para malaikat itu hanya khusus bagi yang telah mencapai usia akil baligh.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat

Menurut Syeikh Ibn Taimiyyah, para ulama khilaf dalam menentukan hukum talqin itu sendiri, namun mereka bersepakat bahawa ia bukan suatu perkara yang wajib. Talqin juga tidak diamalkan oleh kaum Muslimin pada zaman Rasulullah SAW dan khalifah yang empat, namun ia diamalkan oleh sebahagian para sahabat Baginda, seperti Abu Umamah dan Wathilah bin al-Asqa’ R.Anhuma. Justeru ada sebahagian ulama yang memberi keringanan untuk mengamalkannya, seperti Imam Ahmad bin Hanbal, manakala sebahagian ulama mazhab Hanbali serta ulama mazhab Syafie mensunatkannya, tanpa menafikan ada sebahagian ulama yang menghukumkannya sebagai makruh kerana berpandangan ia satu perbuatan bidaah.[1]

Walau apapun, talqin ke atas mayat merupakan satu perkara sunat dalam mazhab Syafi’e. Imam Nawawi menyatakan dalam al-Majmu’:

قَالَ جَمَاعَاتٌ مِنْ أَصْحَابِنَا يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُ الْمَيِّتِ عَقِبَ دَفْنِهِ

Maksudnya: Sebilangan besar para ulama ashab mazhab Syafie menyatakan bahawa disunatkan talqin ke atas jenazah selepas pengebumiannya.[2]

Namun hukum sunat ini hanya terpakai bagi jenazah mukalaf yang telah mencapai umur akil baligh. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Ramli:

وَلَا يُلَقَّنُ طِفْلٌ وَلَوْ مُرَاهِقًا وَمَجْنُونٌ لَمْ يَتَقَدَّمْهُ تَكْلِيفٌ كَمَا قَيَّدَ بِهِ الْأَذْرَعِيُّ لِعَدَمِ افْتِتَانِهِمَا

Maksudnya: Jenazah kanak-kanak yang belum baligh itu tidak ditalqinkan, meskipun dia telah mencapai umur awal remaja, begitu juga jenazah orang gila yang tidak didahului dengan taklif sebelumnya menurut pengikat yang dinyatakan oleh al-Azra’ie; hal ini kerana kedua-dua kanak-kanak dan orang gila tidak disoal di dalam kubur.[3]

Syeikh al-Bujairimi turut menyatakan hal yang sama:

وَذَهَبَ جَمْعٌ إلَى أَنَّهُمْ لاَ يُسْأَلُوْنَ وَأَنَّ السُّؤَالَ خَاصٌّ بِالْمُكَلَّفِ

Maksudnya: Sekumpulan ulama berpandangan bahawa kanak-kanak tidak akan disoal di dalam kubur, dan soalan kubur itu hanya khusus bagi yang telah akil baligh.[4]

Kesimpulan

Kesimpulannya, jenazah kanak-kanak tidak disunatkan untuk ditalqinkan, kerana pertanyaan dalam kubur oleh para malaikat itu hanya khusus bagi jenazah yang telah mencapai usia akil baligh sahaja.

Wallahu a’lam

[1] Rujuk al-Fatawa al-Kubra oleh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah (1987) Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, Cetakan Pertama, 3/25

سُئِلَ: هَلْ يَجِبُ تَلْقِينُ الْمَيِّتِ بَعْدَ دَفْنِهِ؟ أَمْ لَا؟ وَهَلْ الْقِرَاءَةُ تَصِلُ إلَى الْمَيِّتِ؟

الْجَوَابُ: تَلْقِينُهُ بَعْدَ مَوْتِهِ لَيْسَ وَاجِبًا، بِالْإِجْمَاعِ. وَلَا كَانَ مِنْ عَمَلِ الْمُسْلِمِينَ الْمَشْهُورِ بَيْنَهُمْ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وَخُلَفَائِهِ. بَلْ ذَلِكَ مَأْثُورٌ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْ الصَّحَابَةِ؛ كَأَبِي أُمَامَةَ، وَوَاثِلَةَ بْنِ الْأَسْقَعِ.

فَمِنْ الْأَئِمَّةِ مَنْ رَخَّصَ فِيهِ كَالْإِمَامِ أَحْمَدَ، وَقَدْ اسْتَحَبَّهُ طَائِفَةٌ مِنْ أَصْحَابِهِ، وَأَصْحَابِ الشَّافِعِيِّ. وَمِنْ الْعُلَمَاءِ مَنْ يَكْرَهُهُ لِاعْتِقَادِهِ أَنَّهُ بِدْعَةٌ.

[2] Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh Muhyiddin al-Nawawi (t.t) Dar al-Fikr, 5/303

[3] Rujuk Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj oleh Syamsuddin al-Ramli (1984) Beirut: Dar al-Fikr, 3/41

[4] Rujuk Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib oleh Sulayman bin Muhammad al-Bujairimi (1995) Dar al-Fikr, 2/298