BAYAN LI AL-HAJ SIRI KE-38: BADAL HAJI ATAU INFAQ UNTUK ARWAH DATUK DAN NENEK LEBIH UTAMA?

BADAL HAJI ATAU INFAQ.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Datuk dan nenek saya sudah meninggal dunia dan mereka belum sempat untuk melakukan ibadat haji. Kami anak-anak dan cucu mereka ingin bertanya, mana lebih afdhal antara melakukan badal haji untuk kedua-dua arwah atau wang itu kami infaqkan atas nama mereka? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan di atas, melakukan badal haji adalah lebih afdhal. Hal ini berdasarkan hadis Syubrumah, di mana diriwayatkan daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم سَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ : لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ ، قَالَ : مَنْ شُبْرُمَةُ ؟ قَالَ : أَخٌ لِي - أَوْ قَرِيبٌ لِي - قَالَ : حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ ؟ قَالَ : لاَ ، قَالَ : حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ

Maksudnya: Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata: “Aku menyahut seruanMu bagi pihak Syubrumah (لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ).” Lalu Nabi SAW bertanya: “Siapa Syubrumah?” Dia menjawab: “Saudara lelakiku – atau kerabatku.” Rasulullah SAW bertanya: “Sudahkah engkau menunaikan haji untuk dirimu?” Dia menjawab: “Belum.” Lalu Nabi SAW berkata: “Tunaikanlah haji untuk dirimu dahulu. Kemudian barulah tunaikan haji untuk Syubrumah.”

Riwayat Abu Daud (1811) dan Ibn Majah (2903)

Begitu juga dengan beberapa hadith yang lain sepertimana hadith yang turut diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ

Maksudnya: Seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, namun dia tidak sempat menunaikan haji sehinggalah dia meninggal dunia. Apakah aku perlu menunaikan haji bagi pihaknya?” Jawab Baginda : “Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, apakah kamu perlu melunaskannya?”. Jawabnya : “Ya”. Sabda Baginda : “Tunaikanlah hutang Allah dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan.

Riwayat al-Bukhari (1754)

Al-Mubarakfuri menyebut: Ungkapan “حُجِّي عَنْهَا” menunjukkan akan keharusan menunaikan haji bagi pihak si mati. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/580)

Kami berpendapat, hendaklah dibadalkan haji untuk datuk dan nenek yang telah meninggal dunia apabila belum sempat melakukannya sebagai haji fardhu. Ini kerana Baginda SAW menyebut bahawa haji merupakan hak Allah SWT. Maka ia lebih utama untuk ditunaikan.

Jawapan di atas jelas menunjukkan betapa hutang Allah seperti haji hendaklah dilaksanakan oleh waris jika berkemampuan. Nas hadis menunjukkan apa yang kami maksudkan, antaranya daripada Abdillah bin Buraidah, daripada bapanya R.A, katanya:

بَيْنَا أَنَا جَالِسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أَتَتْهُ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ : إِنِّي تَصَدَّقْتُ عَلَى أُمِّي بِجَارِيَةٍ وَإِنَّهَا مَاتَتْ فَقَالَ : وَجَبَ أَجْرُكِ ، وَرَدَّهَا عَلَيْكِ الْمِيرَاثُ ، قَالَتْ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّهُ كَانَ عَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَصُومُ عَنْهَا ؟ قَالَ : صُومِي عَنْهَا ، قَالَتْ : إِنَّهَا لَمْ تَحُجَّ قَطُّ أَفَأَحُجُّ عَنْهَا ؟ قَالَ : حُجِّي عَنْهَا

Maksudnya: Ketika kami duduk di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba ada seorang wanita datang dan berkata: “Saya telah sedekahkan hamba untuk ibuku yang telah meninggal.” Baginda bersabda: “Engkau mendapat pahala dan dikembalikan kepada engkau mirathnya.” Dia kemudian bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia ada (tanggungan) puasa sebulan, apakah saya perlu tunaikan puasa untuknya?” Beliau menjawab: “Tunaikanlah puasa untuknya.” Dia bertanya lagi: “Sesungguhnya beliau belum pernah melaksanakan haji sama sekali. Apakah perlu saya hajikan untuknya?” Baginda menjawab: “Laksanakanlah haji untuknya.”

Riwayat Muslim (1149)

Imam Nawawi berkata: Jumhur berpandangan bahawa menggantikan haji adalah dibolehkan ke atas mayat serta orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Al-Qadhi Iyadh juga telah memberi pendapat yang berlainan dalam mazhabnya iaitu mazhab Maliki. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/27)

Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyebut: Mereka yang menyebut keharusan mengganti haji bersepakat bahawa tidak memadai pada haji fardu kecuali bagi yang mati atau sakit terlantar kerana lumpuh. Oleh itu, perkara ini terkecuali kepada orang sakit kerana adanya harapan untuk sembuh, tidak juga orang gila kerana ada harapan untuk pulih, tidak juga orang yang dipenjara kerana ada peluang dibebaskan serta tidak juga orang miskin kerana boleh jadi dia akan kaya. (Lihat Fath al-Bari, 4/70)

 

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, melakukan badal haji adalah lebih afdhal berbanding melakukan infaq untuk kedua-dua arwah. Hal ini sepertimana kata ulama:

إنَّ قَضَاءَ السُّنَّةِ سُنَّةٌ كَمَا أَنَّ قَضَاءَ الوَاجِبِ وَاجِبٌ

Maksudnya: Sesungguhnya, mengqadha’ yang sunat itu hukumnya sunat sebagaimana mengqadha’ yang wajib itu hukumnya wajib. (Lihat Ithaf Zawi al-Basa'ir bi Syarh Raudhah al-Nazir, 2/264)

Walaubagaimanapun, infaq juga mempunyai kelebihan dan keutamaannya tersendiri. Kami syorkan agar laksanakan badal haji dan jika mempunyai lebihan harta, bolehlah sedekah atau wakaf bagi pihak si mati.