IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-333: SEBAIK-BAIK PERKARA ADALAH YANG PERTENGAHAN

 

 

 

ih333_15291523.png

 

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الْأُمُورِ أَوْسَاطُهَا

Maksudnya: “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menjadikan kita umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat pertengahan iaitu umat yang layak untuk memberi keterangan kepada umat manusia tentang yang benar dan yang salah:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

al-Baqarah:143

Maksudnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.”

 

Imam al-Baghawi (510 H) menukilkan di dalam tafsirnya daripada al-Kalbi berkaitan maksud “umat pertengahan” adalah ahli atau pengikut agama yang adil di antara berlebih-lebihan (melampau) dalam beribadah dan longgar dalam menjalankan syariat agama yang mana kedua sifat ini amat adalah dicela di dalam agama. [Lihat: Ma’alim al-Tanzil, 174-175/1]

Berdasarkan soalan di atas, hadith tersebut ada diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi (458 H) di dalam kitabnya:

 

خَيْرُ الْأُمُورِ أَوْسَاطُهَا

Maksudnya: “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6176)]

 

Adapun di antara ulama yang menilai dan mengeluarkan hukum terhadap hadith atau riwayat ini, di antaranya ialah:

Melihat kepada beberapa pandangan ulama di atas, kami nyatakan bahawa riwayat atau hadith di atas adalah dhaif kerana pada sanadnya terdapat lebih daripada seorang perawi yang gugur. Menurut para ulama, hadith Mu’dhal ini lebih teruk keadaan berbanding dengan hadith Munqathi’ kerana hadith Munqathi’ pada sanadnya hanya terdapat seorang sahaja perawi yang gugur daripada sanad.

Walaupun dari sudut status hadith ini adalah dhaif, tetapi maknanya adalah tepat kerana Islam melarang umatnya bersifat melampau (ekstrim). Ini kerana, terdapat hadith yang menunjukkan larangan untuk seseorang itu bersifat melampau dalam beragama. Antaranya adalah:

 

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ

Maksudnya: “’Musnahlah golongan yang melampau.” [Riwayat Muslim (2670)]

 

Imam al-Nawawi ketika menafsirkan maksud “الْمُتَنَطِّعُونَ” ialah mereka yang terlalu teliti, melampau dan melepasi had atau batasan dalam perkataan dan perbuatan mereka. [Lihat: al-Minhaj, 220/16]

Selain itu juga, Islam melarang umatnya terlalu longgar di dalam sesuatu perkara. Hal ini pernah dijelaskan oleh Imam Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya:

“Kita perlu memahami apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW tanpa melampau dan ringan (iaitu bermudah-mudah). Begitu juga, tidak boleh memahami perkataan Baginda SAW apa yang tidak Baginda SAW maksudkan dan tidak juga memahaminya secara longgar akan kehendak Baginda SAW serta apa yang Baginda SAW maksudkan daripada hidayah dan juga keterangan. Ini kerana, jika kita lalai daripada hal ini akan menjerumuskan ke dalam kesesatan dan jauh daripada kebenaran yang kita tidak ketahuinya melainkan Allah SWT”. [Lihat: al-Roh, 62]

 

Penutup

Kesimpulannya sifat insof (bersederhana atau adil) dalam setiap perkara adalah amat dituntut. Ini kerana, sikap melampau atau terlalu memudahkan akan memberi kesan yang buruk kepada agama dan individu itu sendiri. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita sifat bersederhana dalam melaksanakan setiap perkara dan juga dalam menjauhkan kita daripada sifat melampau dan bermudah-mudah di dalam agama. Amin.

 

Wallahua’lam