IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-366: MUQATIL BIN SULAIMAN

 

 

 

ih366_15291523.png

 

Soalan: Siapakah Muqatil bin Sulaiman?      

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dengan melihat sejarah para sarjana Islam akan menaikkan semangat seseorang itu dalam menuntut ilmu dan ia juga sedikit sebanyak dapat diambil pengajaran daripada sifat atau akhlak yang ditonjolkan supaya ia dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Berdasarkan soalan di atas, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menceritakan secara ringkas berkaitan latar belakang seorang tokoh yang terkenal iaitu Muqatil bin Sulaiman.

Nama beliau ialah Abu al-Hasan Muqatil bin Sulaiman al-Balkhiy dan beliau merupakan salah seorang ahli tafsir yang hebat. Di samping itu, beliau merupakan perawi hadith munkar yang masyhur. Beliau meriwayatkan daripada al-Dhahhak, Mujahid, al-Zuhri dan Ibn Buraidah. Adapun yang meriwayatkan daripada beliau ialah Abdul Razzaq, Haramiy bin ‘Umarah, Ali bin al-Ja’d dan ‘Isa bin Abi Fatimah.

Telah ditanya Waki’ berkaitan tafsir Muqatil. Maka Waki’ berkata: “Janganlah kamu melihat (merujuk) kepadanya.” Lalu lelaki itu bertanya lagi kepada Waki’: “Lalu apa yang sepatutnya aku lakukan dengannya (kitab tafsir tersebut).” Jawab Waki’: “Tanamlah ia (iaitu kitab tafsirnya) kerana beliau merupakan seorang yang suka berdusta.” [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 2/111]

Ibn al-Mubarak pernah berkata: “Alangkah baik tafsirnya jika dia seorang yang thiqah (tidak berdusta).” [Lihat: Siyar A’lam al-Nubala’, 7/201-202]

 

Hukum Riwayat Muqatil

Di antara ulama yang menilai riwayat Muqatil bin Sulaiman ini ialah:

 

 

Muqatil bin Sulaiman telah wafat pada tahun 150 Hijrah. [Lihat: Siyar A’lam al-Nubala’, 7/201-202]

 

Kisah Nasihat Muqatil bin Sulaiman Kepada Khalifah Abu Ja’far al-Mansur

Pada hari ketika khalifah Abu Ja’far al-Mansur dibai’ah menjadi khalifah, maka telah masuk Muqatil bin Sulaiman kepada beliau.

Lalu khalifah berkata kepadanya: “Nasihatilah aku wahai Muqatil.”

Beliau pun menjawab: “Kamu ingin aku nasihati kamu dengan apa yang pernah aku lihat atau apa yang aku dengar?.”

Khalifah berkata lagi: “Dengan apa yang kamu lihat.”

Muqatil berkata: “Wahai amir al-Mukminin! Khalifah Umar bin Abdul Aziz memiliki 11 orang anak. Beliau meninggalkan harta sebanyak 18 dinar, 5 dinar untuk membeli kafan dan 4 dinar utk membeli kuburnya. Lalu baki sebanyak 9 dinar dibahagikan kepada 11 orang anaknya. Setelah itu, telah wafat Hisyam bin Abdul Malik (khalifah setelahnya) dan beliau mempunyai 4 orang isteri. Setiap isterinya mendapat 80 ribu dinar dan jumlah untuk 4 orang isteri beliau ialah 320 ribu dinar yang mana ia baru 1/8 daripada harta peninggalan beliau.”

Muqatil berkata lagi: “Demi Allah wahai amir al-Mukminin! Sungguh aku telah menyaksikan dengan kedua mataku sendiri salah seorang daripada anak khalifah Umar bin Abdul Aziz telah bersedekah sebanyak 100 ekor kuda perang untuk berjihad. Manakala, aku melihat salah seorang daripada anak khalifah Hisyam bin Abdul Malik sedang mengemis di dalam jalanan.”

Kisah ini ada dinukilkan oleh Imam al-Sya’rawi di dalam tafsirnya yang masyhur pada menafsirkan ayat di dalam surah al-Maidah. [Lihat: Tafsir al-Sya’rawi, 6/3421]

 

Antara pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini adalah dengan meninggalkan harta yang banyak tidak boleh menjamin kesenangan hidup selepas daripada ketiadaannya. Ini kerana, kesemua itu bersifat sementara dan apa yang penting adalah meninggalkan anak-anak atau pewaris-pewaris yang bertaqwa kepada Allah SWT adalah lebih baik daripada segala-galanya.

 

Penutup

Kesimpulannya, Muqatil bin Sulaiman merupakan salah seorang daripada tokoh yang mempunyai jasanya tersendiri. Tambahan pula, Muqatil bin Sulaiman merupakan salah seorang yang tidak diterima riwayatnya di dalam hadith sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dan kekuatan dalam mencontohi sifat atau akhlak yang mulia daripada tokoh-tokoh Islam terdahulu. Amin.

 

Wallahua’lam