IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-429: HADITH NAMA-NAMA BAGI SURAH AL-FATIHAH

 

 

ih429_15291523.png

 

Soalan: Apakah terdapat hadith yang sahih berkaitan nama-nama bagi surah al-Fatihah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, di dalamnya terkandung sebanyak 114 surah. Surah yang pertama di dalam al-Quran adalah surah al-Fatihah dan membacanya merupakan salah satu daripada rukun solat.

Berdasarkan soalan di atas, sememangnya terdapat hadith yang menceritakan berkaitan di antara nama-nama bagi surah al-Fatihah adalah:

 

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أُمُّ الْقُرْآنِ، وَأُمُّ الْكِتَابِ، وَالسَّبْعُ الْمَثَانِي

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah) adalah umm al-Quran, umm al-Kitab dan al-Sab’ al-Mathani.” [Riwayat Abu Daud (1457)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]

 

Tambahan pula, Allah SWT menamakan surah al-Fatihah sebagai al-Sab’ al-Mathani sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya.

وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعًا مِّنَ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنَ الْعَظِيمَ

al-Hijr: 87

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.”

 

Di dalam hadith yang lain menurut riwayat Imam al-Bukhari ada juga disebutkan bahawa nama lain bagi surah al-Fatihah adalah al-Sab’ al-Mathani:

 

الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، هِيَ السَّبْعُ المَثَانِي، وَالقُرْآنُ العَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah) adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku.” [Riwayat al-Bukhari (5006)]

 

Adapun berkaitan maksud al-Sab’ al-Mathani menjadi khilaf dalam kalangan para ulama. Imam Mulla Ali al-Qari menyatakan maksud al-Sab’ (tujuh) adalah disebabkan surah ini mempunyai 7 ayat mengikut kesepakatan (para ulama) walaupun di sana terdapat khilaf di antara ahli Kufah dan ahli Basrah pada beberapa ayat (melihat kepada ilmu fawasil]. Dikatakan pula al-Mathani (berulang-ulang) adalah ia (al-Fatihah) sama seperti satu surah yang lain (di dalam al-Quran) atau disebabkan ayat-ayat di dalam ada yang turun di Makkah dan juga yang turun di Madinah sebagai tanda kebesarannya dan kepentingannya. Selain itu, dikatakan juga bahawa surah hanya diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tidak diturunkan kepada umat yang sebelum daripadanya. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 4/232]

 

Antara nama lain yang disebutkan berkaitan surah al-Fatihah ini adalah Fatihah al-Kitab:

 

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada (sah) solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah).” [Riwayat al-Bukhari (756)]

 

Melihat kepada beberapa hadith dan ayat al-Quran di atas, maka dapat disimpulkan bahawa surah al-Fatihah mempunyai lebih daripada satu nama. Antaranya:

 

Penutup

Kesimpulannya, surah al-Fatihah merupakan salah satu surah yang amat penting sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith al-Bukhari di atas menurut riwayat Abu Said. Tambahan pula, surah al-Fatihah juga mempunyai lebih daripada satu nama sebagaimana yang diberikan oleh Allah dan juga rasul-Nya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama. Amin.

 

Wallahua’lam