IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-176 APAKAH HUKUM CUCUK VAKSIN COVID 19 PADA BULAN RAMADHAN

IFR 176

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya apakah hukum mengambil vaksin covid 19 pada bulan Ramadhan. Adakah boleh membatalkan puasa.

Ringkasa Jawapan

Hukum melakukan suntikan vaksin Covid-19 pada siang hari di bulan Ramadan adalah diharuskan dan tidak membatalkan puasa kerana suntikan tersebut tidak melalui rongga yang terbuka

Huraian Jawapan

Setiap ibadat yang dilakukan mestilah terikat dengan syarat dan perkara yang telah ditetapkan syarak seperti syarat wajib, perkara yang membatalkannya, sunat-sunatnya dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan ibadah puasa yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim yang baligh, puasa juga seperti ibadah yang lain, ia disyariat berdasarkan Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa

(Surah al-Baqarah, 183)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, timbul persoalan berkaitan batal atau tidak puasa sekiranya mengambil suntikan vaksin Covid-19 semasa puasa. Kaedah pemberian suntikan vaksin terbahagi kepada empat kaedah, pertamanya suntikan Intramuscular iaitu suntikan ke dalam otot, Intravena iaitu suntikan melalui salur darah, intradermal suntikan melalui lapisan kulit atas dan subcutaneous iaitu suntikan pada kawasan dalam kulit di atas otot. Vaksin Covid-19 disuntik menggunakan kaedah intramuscular iaitu suntikan ke dalam otot. [1]

Dalam membahaskan isu ini, secara umumnya  perkara yang membatalkan puasa adalah apabila tidak mencukupi syarat-syarat atau gugur salah satu daripada rukun puasa seperti haid, nifas, memasukkan sesuatu ke dalam badan dan sebagainya. Ini sebagaimana yang disebut di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

يَفْسُدُ الصَّوْمُ - بِوَجْهٍ عَامٍّ - كُلَّمَا انْتَفَى شَرْطٌ مِنْ شُرُوطِهِ، أَوِ اخْتَل أَحَدُ أَرْكَانِهِ، كَالرِّدَّةِ، وَكَطُرُوءِ الْحَيْضِ وَالنِّفَاسِ، وَكُل مَا يُنَافِيهِ مِنْ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَنَحْوِهِمَا، وَدُخُول شَيْءٍ مِنْ خَارِجِ الْبَدَنِ إِلَى جَوْفِ الصَّائِمِ

Maksudnya: Perkara yang membatalkan puasa secara umumnya, setiap perkara yang tidak memenuhi salah satu daripada syarat-syaratnya, atau gugur salah satu rukunnya seperti murtad,keluarnya haid dan nifas. Melakukan setiap perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan, minum dan seumpamanya. Begitu juga memasukan sesuatu dari luar badan ke bahagian dalam rongga dalam badan orang yang berpuasa

(Rujuk, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/29)

Para ulama menjelaskan bahawa antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam tubuh badan melalui rongga yang terbuka seperti hidung dan mulut. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Raudah al-talibin:

مِنَ الْمُفْطِرَاتِ دُخُولُ شَيْءٍ فِي جَوْفِهِ - وَقَدْ ضَبَطُوا الدَّاخِلَ الْمُفْطِرَ بِالْعَيْنِ الْوَاصِلَةِ - الظَّاهِرُ إِلَى الْبَاطِنِ فِي مَنْفَذٍ مَفْتُوحٍ عَنْ قَصْدٍ مَعَ ذِكْرِ الصَّوْمِ

Maksudnya: Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masukkan sesuatu ke bahagian dalam rongga. Para ulama telah menentukan sesuatu yang masuk ke dalam al-Jauf (rongga) membatalkan puasa dengan ain (objek) yang sampai, iaitu (dari) had zahir ke dalam had batin melalui rongga terbuka dengan sengaja dan sedar berpuasa.

(Rujuk Raudah al-Talibin, 2/356)

Begitu juga dengan suntikan yang mengandungi khasiat atau untuk menguatkan badan maka boleh membatalkan puasa walaupun suntikan tersebut tidak melalui rongga yang terbuka. Hal ini menjadi perbezaan pandangan para ulama sebagai mana yang dirumuskan secara terperinci oleh Syeikh Hassan al-Kaf di dalam karyanya al-Taqrirat al-Sadidah:

Maksudnya: Hukum Suntikan (pada siang Ramadhan): Harus dalam keadaan darurat namun para ulama berbeza pandangan dalam hal batalnya puasa dalam tiga pandangan:

  • Pandangan pertama: Batal puasa secara mutlak kerana masuk sesuatu ke bahagian dalam rongga (al-Jauf)
  • Pandangan Kedua: Tidak terbatal secara mutlak kerana masuk sesuatu ke bahagian dalam rongga (al-Jauf) tanpa melalui rongga yang terbuka
  • Pandangan ketiga: perlu kepada perincian dan ia merupakan pandangan yang paling sahih: sekiranya kandungan suntikan tersebut mengandungi nutrisi atau pemakanan maka batal puasanya, namun sekiranya tidak mengandungi pemakanan maka dilihat pada aspek berikut:
  • Sekiranya suntikan pada urat ke bahagian dalam rongga, iaitu saluran urat darah maka batal
  • Sekiranya suntikan pada otot iaitu urat bukan pada bahagian dalam rongga maka tidak batal

(Rujuk: Al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 352)

Menurut pandangan Syeikh Yusuf al-Qaradawi, suntikan tidak membatalkan puasa walaupun suntikan itu dilakukan pada siang hari Ramadan kerana suntikan bukan termasuk dalam kategori makan atau minum dari sudut syarak.[2]

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan perbahasan yang diberikan dapat disimpulkan bahawa hukum melakukan suntikan vaksin Covid-19 pada siang hari di bulan Ramadan adalah diharuskan dan tidak membatalkan puasa kerana suntikan tersebut tidak melalui rongga yang terbuka.

Bibliografi

“Modul 2: Jenis-jenis vaksin dan reaksi simpang”, laman sesawang World Health Organization, dicapai 18 Mac 2021, https://in.vaccine-safety-training.org/route-of-administration.html

Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Wizarah Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiah, Dar Sofwah Misr, 1404-1427H

Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, Abu Zakaria Mahyuddin, Maktabah Islami Bairut, t.t

Al-Takrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, Hasan bin Ahmad al-Kaff, Dar Mirath al-Nabawi, 1423H

“Puasa dan Ubat”, Laman Sesawang MyHealth, dicapai 18 Mac 2021, http://www.myhealth.gov.my/puasa-dan-ubat/

“ استعمال الحقنة للصائم”, laman sesawang al-Qaradawi, dicapai 18 Mac 2021, https://www.al-qaradawi.net/node/3747

 

[1] https://in.vaccine-safety-training.org/route-of-administration.html

[2] https://www.al-qaradawi.net/node/3747


طباعة   البريد الإلكتروني