IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN #88: KELUAR MANI DI SIANG HARI RAMADHAN

 

Soalan: Apakah sah puasa orang keluar mani di siang hari apabila menyedarinya ketika bangun daripada tidur?

Jawapan: Bagi menjawab persoalan ini, kami nukilkan teks asal daripada kitab al-Muktamad di dalam mazhab al-Syafie:

“Keluarnya mani dengan sengaja dengan tanpa bersetubuh seperti bercium, onani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau onani dengan sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (terpancutnya mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik). Adapun jika mani itu keluar dengan cara tidak sengaja (bukan disebabkan perkara-perkara di atas atau dengan bermesraan) maka hal tersebut tidak membatalkan puasa. Begitu juga, jika dia melihat dengan matanya walaupun diulang-ulang penglihatan tersebut tanpa bersentuhan atau berfikir di dalam hatinya tanpa bersentuhan lalu inzal (terpancut atau keluar mani) maka hal ini tidak membatalkan puasa kerana tidak berlakunya mubasyarah. Selain itu, hal ini sama juga bagi sesiapa yang bermimpi pada siang hari Ramadhan maka tidak membatalkan puasa secara ijma’ (ulama’) kerana perkara ini di luar kawalannya”. [Lihat: al-Muktamad, 184/2]

Pendapat ini didasarkan dengan sebuah hadith sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Mustafa al-Bugho di dalam Sunan Abi Daud bahawa hadith ini mubham iaitu tidak diketahui siapa yang meriwayatkan tetapi perkara ini telah dijelaskan oleh Imam al-Darquthni: [Lihat: Ifadah al-Raghibin, 655/1]

لَا يُفْطِرُ مَنْ قَاءَ، وَلَا مَنْ احْتَلَمَ، وَلَا مَنْ احْتَجَمَ

Maksudnya: “Tidak berbuka (batal puasa) sesiapa yang muntah, tidak juga sesiapa yang bermimpi dan tidak juga sesiapa yang berbekam”. [Riwayat Abu Daud (2376)]

Untuk itu, kami katakan bahawa tidak batal puasa bagi orang yang keluar air mani ketika tidur dengan syarat air mani itu keluar dengan sendirinya bukannya dengan sebab-sebab kemesraan. Ini kerana, perkara ini berlaku bukan dengan kehendaknya dan ia juga di luar kawalannya. Tambahan pula, orang yang tidur taklifnya diangkat dan tidak ambil kira.

Akhirnya, semoga Allah SWT menerima amalan kita serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini agar kita dapat meneruskan amal ibadah seharian dengan sempurna pada bulan yang mulia ini. Amin.

Wallahua’lam

 

طباعة