IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-65: UMUM AL-BALWA: PENGERTIAN, DALIL DAN SYARAT-SYARATNYA

 

 

IUF65

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai pengertian umum al-balwa?. Adakah setiap perkara yang mendatangkan kepayahan dan kesusahan dianggap sebagai umum al-balwa?

Sekian terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Umum al-Balwa merupakan suatu perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan kepayahan dalam kalangan majoriti para mukalaf ataupun sekumpulan yang tertentu dari kalangan mereka jika meninggalkannya.lebih-lebih lagi jika perkara yang berlaku secara berulang kali dan menjadi satu kesukaran bagi mereka untuk meninggalkan perkara tersebut. Namun bagi menentukan perkara tersebut dikategorikan sebagai umum al-balwa maka para ulama telah menetapkan beberapa syarat sebagai panduan dalam menentukan sesuatu perkara itu sebagai umum al-balwa ataupun tidak. Oleh itu, tidak semua perkara yang sulit akan dianggap sebagai umum al-balwa. Penentuan sesuatu perkara itu perlu mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pengertian Umum Al-Balwa

Seperti yang diketahui umum, lafaz umum al-balwa merupakan gabungan daripada dua perkataan iaitu umum dan balwa. Umum dari segi Bahasa berasal daripada perkataan (عمّ) yang bermaksud syumul (menyeluruh) dan mengumpul, manakala perkataan al-Balwa pula merupakan pecahan daripada perkataan al-bala’ yang bermaksud ikhtibar (ujian).

(Rujuk: Tajj al-Arus, 325/2)

Sementara itu, pengertian umum al-balwa dari segi syarak pula, menurut  Wahbah al-Zuhaili, Umum al-Balwa bermaksud sesuatu yang berleluasanya sehingga seseorang itu sukar untuk menyelamatkan diri daripadanya atau menjauhinya.

(Rujuk: Nazariyah Al-Darurah Al-Syar'iyah, 123)

Selain itu, menurut Muslim al-Dusari, Umum al-Balwa bermaksud, "Isu yang berlaku secara menyeluruh ke atas orang mukalaf atau keadaan orang mukalaf yang terikat dengan pertanggungjawaban tertentu berkenaan isu tersebut, serta wujud kesukaran menghindarinya atau tidak mampu menghilangkannya melainkan dengan bertambah kesulitan yang memerlukan kemudahan dan keringanan."

(Rujuk: Umum Al-Balwa: Dirasah Nazariyah Tatbiqiyah, 61)

Selain itu, umum al-balwa bermaksud suatu keperluan yang sangat mendesak yang berlaku dalam kalangan majoriti para mukalaf ataupun sekumpulan yang tertentu dalam kalangan mereka untuk mendapatkan kemudahan dalam perkara yang berlaku secara berulang kali dan menjadi satu kesukaran bagi mereka untuk meninggalkan perkara tersebut. Jika mereka dituntut untuk meninggalkannya maka kesukaran luar biasa akan menimpa.

(Rujuk: Dhawabit al-Ikhtiar al-Fiqhiy inda al-Nawazil, 148)

Berdasarkan pengertian di atas, dapat difahami bahawa umum al-balwa ini merupakan sesuatu perkara yang mendatangkan kesusahan yang luar dari kebiasaan kepada manusia jika perkara itu ditinggalkan. Kesusahan itu meliputi kebanyakan manusia.

Dalil-dalil Umum al-Balwa

Memandangkan umum al-balwa ini sesuatu perkara yang sukar untuk dihindari, maka syarak tidak memaksa setiap muslim meninggalkannya demi memudahkan urusan manusia di dalam kehidupan harian. Antara sumber dalil tentang perkara ini seperti firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Bermaksud: (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

Al-Baqarah (185)

Selain itu, Allah SWT juga berfirman bahawa agama Islam merupakan agama yang memberi kemudahan dalam melaksanakan segala perintah-Nya:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Bermaksud: Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

Al-Hajj (78)

Seterusnya, Allah SWT berfirman bahawa Allah SWT tidak akan membebankan hamba-Nya dengan sesuatu ujian melainkan apa yang terdaya olehnya:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Bermaksud: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Al-Baqarah (286)

Syarat-syarat Umum al-Balwa

Para ulama ada meletakkan syarat-syarat yang menentukan sesuatu perkara itu dikira sebagai umum al-balwa. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

‌الْيَسِيرَ ‌يَكُونُ ‌تَبَعًا ‌لِلْكَثِيرِ وَلَا يَكُونُ الْكَثِيرُ تَبَعًا لِلْيَسِيرِ

Bermaksud: Sesuatu yang sedikit akan mengikut sesuatu yang banyak dan sesuatu yang banyak tidak akan mengikut sesuatu yang sedikit.

(Rujuk: Al-Hawi al-Kabir, 366/7)

Tambahan pula Imam al-Sarakhsi juga ada menyatakan bahawa:

الْأَكْثَرَ ‌يُنَزَّلُ ‌مَنْزِلَةَ ‌الْكَمَالِ وَالْأَقَلُّ تَبَعٌ لِلْأَكْثَرِ

Bermaksud: Sesuatu yang banyak akan mengambil kedudukan sesuatu yang sempurna dan sesuatu yang sedikit akan mengikut sesuatu yang banyak.

(Rujuk: Al-Mabsut, 19/9)

Oleh yang demikian, perkara yang bersifat menyeluruh yang meliputi sebahagian besar jumlah manusia atau kelompok tertentu dapat memberi kesan kepada penentuan sesuatu hukum dan menjadi syarat dalam menentukan sesuatu perkara itu sebagai umum al-balwa.

(Rujuk: Dhawabit al-Ikhtiar al-Fiqhiy inda al-Nawazil, 156)

Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti berkenaan perkara yang berulang kali yang boleh mendatangkan kesusahan jika tidak dibolehkan iaitu kebenaran menyapu air ke atas khuf (stokin kulit) ketika tidak musafir memandangkan jika perlu menanggalkannya pada setiap kali hendak berwuduk maka akan mendatangkan kesukaran manakala wajib menanggalkan khuf itu ketika mandi (wajib) kerana ia tidak berlaku berulang kali.

(Rujuk: Al-Ashbah wa al-Nazair li al-Suyuti, 76)

(Rujuk: Al-Ashbah wa al-Nazair li al-Suyuti, 76)

 

KESIMPULAN

Umum al-Balwa merupakan suatu perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan kepayahan dalam kalangan majoriti para mukalaf ataupun sekumpulan yang tertentu dari kalangan mereka jika meninggalkannya.lebih-lebih lagi jika perkara yang berlaku secara berulang kali dan menjadi satu kesukaran bagi mereka meninggalkan perkara tersebut. Namun bagi menentukan perkara tersebut dikategorikan sebagai umum al-balwa maka para ulama telah menetapkan beberapa syarat sebagai panduan dalam menentukan sesuatu perkara itu sebagai umum al-balwa ataupun tidak. Antaranya ialah perkara tersebut meliputi sejumlah yang banyak dalam kalangan manusia, perkara tersebut berlaku berulang kali dan perkara tersebut boleh mendatangkan kesusahan yang luar biasa jika meninggalkannya. Oleh itu, tidak semua perkara yang sulit akan dianggap sebagai umum al-balwa. Penentuan sesuatu perkara itu perlu mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.