TASHIH AL-MAFAHIM #4: HAKIKAT DARUL ISLAM DAN DARUL KUFR

hakikat darul islam.JPG

SALAH FAHAM:

“Mana-mana negara yang tidak mengamalkan undang-undang atau sistem Islam secara menyeluruh adalah Darul Kufr (negara kufur) dan termasuk juga dalam kategori Darul Harbi (negara yang boleh diperangi). Justeru, setiap orang yang tinggal dalam negara tersebut dengan sengaja dihukumkan kufur dan terkeluar daripada agama Islam.”

 

PENCERAHAN:

Istilah Darul Islam dan Darul Kufr adalah merupakan perkara ijtihadiyyah yang diperselisihkan oleh para ulama. Berpegang kepada satu-satu pendapat tentang definisi negara Islam tidak sesekali boleh menyebabkan orang lain menjadi kafir berdasarkan definisi yang diijtihadkan olehnya. Syeikh ‘Athiyyah Saqr menukilkan fatwa daripada kitab Bayan li al-Nas min al-Azhar al-Syarif seperti berikut:

"أن تقسيم البلاد إلى دار كفر وإسلام أمر اجتهادى من واقع الحال فى زمان الأئمة المجتهدين ، وليس هناك نص فيه من قرآن أو سنة . والمحققون من العلماء قالوا : إن مدار الحكم على بلد بأنه بلد إسلام أو بلد حرب هو الأمن على الدين . حتى لو عاش المسلم فى بلد ليس له دين أو دينه غير دين الإسلام ، ومارس شعائر دينه بحرية فهو فى دار إسلام ، بمعنى أنه لا تجب عليه الهجرة منها . وذكر المرحوم الشيخ محمد أبو زهرة فى رسالة عن نظرية الحرب فى الإسلام " ص 38" رأيين للفقهاء فى دار الإسلام ودار الحرب . ثم اختار رأى أبى حنيفة وهو: أن مدار الحكم هو أمن المسلم ، فإن كان اَمنا بوصف كونه مسلما فالدار دار إسلام وإلا فهى دار حرب . وقال : إنه الأقرب إلى معنى الإسلام ، ويوافق الأصل فى فكرة الحروب الإسلامية وأنها لدفع الاعتداء”.

Maksudnya: “Sesungguhnya pembahagian negara kepada kufur dan Islam adalah perkara ijtihadi berdasarkan realiti semasa pada zaman para imam mujtahid tersebut berijtihad. Dan tiada di sana sebarang nas sama ada daripada al-Quran mahupun al-Sunnah.

Para ulama muhaqqiqin mengatakan: Sesungguhnya, asas kepada menghukum sesebuah negara itu negara Islam atau negara perang adalah keamanan untuk mengamalkan agama. Sehinggakan jika seseorang muslim itu tinggal di dalam sebuah negara yang tiada agama atau agamanya selain Islam, namun dia dapat mengamalkan syiar agamanya dengan bebas maka ia adalah negara Islam, bermakna dia tidak wajib untuk berhijrah keluar darinya.

Al-Marhum Syeikh Muhammad Abu Zahrah menyebutkan, terdapat dua pandangan di sisi fuqaha berkenaan Darul Islam dan Darul Kufr. Lalu beliau memilih pandangan Abu Hanifah yang mengatakan asas hukum adalah keamanan seseorang muslim. Sekiranya dia aman dengan sifatnya sebagai seorang muslim, maka negara tersebut adalah Dar Islam, jika tidak maka ia Dar Harb. Beliau (Abu Zahrah) berkata: Ia lebih dekat kepada makna Islam dan menepati asas kepada falsafah peperangan dalam Islam iaitu untuk mengelakkan serangan.” (Lihat Fatawa al-Azhar, 10/119)    

 

Menurut fuqaha empat mazhab, Darul Islam ialah setiap kawasan yang didirikan di dalamnya hukum-hakam Islam secara terang-terangan atau secara zahir. (Lihat Badai’ al-Shanai’, 7/130–131; Ibn Abidin,  3/253; Al-Mabsut, 10/114; Kasysyaf Al-Qina’, 3/34; Al-Insaf , 4/121; Al-Mudawwanah, 2/22)

Mazhab Syafie berpendapat bahawa Darul Islam merupakan setiap tanah atau kawasan yang terzahir di dalamnya hukum syariat Islam. Manakala, yang dimaksudkan dengan "terzahir di dalamnya hukum syariat Islam” ialah sebagai berikut:

  1. Kawasan yang mana hukum di dalam sesebuah kawasan tersebut merupakan hukum berdasarkan syariat Islam selain ibadah seperti hukum mengharamkan zina dan hukum pencuri.
  2. Kawasan yang didiami orang-orang Muslim walaupun di dalamnya terdapat penduduk kafir zimmi.
  3. Kawasan yang dimerdekakan oleh orang Islam itu sendiri dan diiktiraf oleh orang kafir.
  4. Kawasan orang kafir yang dihuni oleh orang Islam dan terus menawarkan sekuriti jangka panjang ke atas mereka. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimiy, 4/220; Nihayat al-Muhtaj, 8/81)

Darul Harbi pula ialah setiap kawasan yang didirikan di dalamnya hukum-hakam selain Islam (kafir) secara terang-terangan atau secara zahir. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimiy, 4/220; Nihayat al-Muhtaj, 8/81)

Adapun Darul ‘Ahd, disebut juga Darul Muwada’ah (negara yang ada jaminan keamanan) dan Dar al-Sulh (perdamaian) ialah setiap kawasan yang terdapat perjanjian damai antara orang Islam dengan penduduknya untuk tidak berperang sedangkan kawasan tersebut kekal dimiliki penduduknya. (Lihat al-Ahkam al-Sulthaniyyah oleh al-Mawardi, 178)

Darul Bagyi pula merupakan sebahagian dari Darul Islam yang mana ia didiami orang segolongan orang yang mempunyai kekuatan untuk keluar daripada ketaatan terhadap pemerintah dengan alasan atau takwilan tertentu. (Lihat Al-Ahkam al-Sulthaniyyah  oleh al-Mawardi, 38; Fath al-Qadir, 5/334; Badai’ Al-Sanai’, 7/130-131; Asna Al-Muthalib, 4/111)

 

Peralihan daripada Darul Islam kepada Darul Kufr

Dalam isu Darul Islam dan Darul Kufr, terdapat perbahasan ulama mengenai kemungkinan berlakunya peralihan daripada sesebuah Darul Islam kepada Darul Kufr. Para fuqaha’ berbeza pandangan adakah peralihan boleh berlaku sehingga mengubah status sesebuah negara itu.

Mazhab Syafie berpendapat bahawa tidak ada pertukaran status daripada Darul Islam kepada Dar Kufr dalam apa jua jenis keadaan, walaupun kawasan tersebut telah dijajah dan dikuasai oleh golongan kafir, orang Muslim diusir daripadanya dan hukum-hakam mereka terzahir. Ini dengan sebab mereka berpegang dengan pernyataan bahawasanya Islam lebih unggul dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. (Lihat Nihayat al-Muhtaj, 8/82; Asna al-Matalib, 4/204)

Manakala mazhab Maliki, Hanbali dan dua sahabat Abu Hanifah (Abu Yusuf dan Muhammad) berpendapat bahawa mungkin untuk Darul Islam beralih kepada Darul Kufr dengan terzahirnya hukum-hakam kufur di dalamnya. (Lihat Badai’ al-Shanai’, 7/130–131)

Sedangkan Abu Hanifah pula berpandangan bahawa ianya tidak akan beralih kepada Darul Kufr kecuali dengan tiga syarat:

  1. Zahirnya hukum-hakam kufur di dalamnya.
  2. Kawasan bersebelahan atau bersambungan dengan Darul Kufr.
  3. Tiada seorang pun orang Muslim dan orang kafir zimmi yang mendapat keamanan sebagaimana keamanan pada zaman sebelumnya.

 

Perbezaan Perspektif

Pandangan mereka yang mengatakan Darul Islam boleh beralih kepada Darul Kufr adalah berdasarkan hukum hakam yang terzahir padanya. Ini kerana, disandarkan kepada Islam dan kufur itu adalah berpandukan kepada penzahiran Islam atau kufur pada sesebuah negara itu. Ia sebagaimana dikatakan syurga Darus Salam (destinasi kedamaian) dan neraka Darul Bawar (destinasi kehancuran). Ini disebabkan wujudnya kedamaian di dalam syurga dan azab seksa di dalam neraka. Oleh yang demikian, zahirnya Islam dan kufur adalah disebabkan penzahiran hukum Islam atau hukum kufur padanya. Jika terzahir hukum atau sistem kufur dalam sesebuah negara maka ia adalah negara kufur. Maka ia boleh disandarkan kepada negara kufur, begitu juga sebaliknya.      

Manakala Abu Hanifah pula berpandangan, sandaran sesebuah negara itu kepada Islam dan kufur bukan bermakna ia adalah zat Islam atau kufur itu sendiri. Namun, apa yang dimaksudkan adalah keamanan dan ketakutan. Bererti keamanan umum bagi seseorang muslim dalam negara itu, manakala ketakutan umum kepada bukan muslim, maka ia adalah negara Islam. Jika keamanan umum kepada bukan muslim dan ketakutan umum kepada muslim maka itu adalah negara kufur. Umumnya, Abu Hanifah berpandangan penentuan hukum sesebuah negara itu Islam atau kufur adalah lebih utama berpandukan kepada keamanan dan ketakutan, bukan dengan berpandukan kepada Islam dan kufur. (Lihat Badai’ al-Shanai’, 7/130–131; Ibn ‘Abidin, 3/ 130-131; Kasysyaf al-Qina’, 3/43; al-Insaf, 4/121; al-Mudawwanah, 2/22)

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan yang dibentangkan, jelas menunjukkan pembahagian kepada Darul Islam dan Darul Kufr merupakan perkara ijtihadi yang diperselisihkan oleh para ulama dan bukan perkara muktamad. Oleh yang demikian, bagaimana mungkin kita dengan semudah itu ingin mengeluarkan seseorang daripada Islam semata-mata disebabkan perkara khilaf. Perbezaan pendapat yang berlaku dalam kalangan ulama pada hakikatnya mempunyai hikmah yang amat besar. Terutamanya dalam konteks dunia pada hari ini yang menuntut sebahagian daripada umat Islam berada di negara-negara bukan Islam dengan pelbagai alasan dan keperluan yang wajar. Antaranya seperti menyampaikan risalah dakwah, menjadi mangsa pelarian yang dilindungi, menuntut ilmu dalam bidang yang menjadi kepakaran negara berkenaan, bekerja dalam bidang diplomatik antarabangsa atau bidang-bidang profesional dan seumpamanya.    

Akhirnya, kita harus menginsafi, bahawa keberadaan umat Islam di seluruh dunia adalah sesuatu yang dijanjikan Allah SWT. Ini bererti kefahaman yang sempit dalam memahami isu ini menjadikan Islam agama yang tidak relevan dalam berurusan dengan masyarakat antarabangsa. Sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda:      

إِنَّ اللهَ زَوَى لِي الْأَرْضَ، فَرَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا، وَإِنَّ أُمَّتِي سَيَبْلُغُ مُلْكُهَا مَا زُوِيَ لِي مِنْهَا

Maksudnya: “Sungguh Allah telah membentangkan bumi kepadaku, sehingga aku dapat melihat belahan timur dan baratnya, dan sungguh kekuasaan umatku akan sampai pada belahan bumi yang telah dibentangkan kepadaku itu.”

Riwayat Muslim (2889)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman Islam yang benar dan menjauhkan kita daripada sebarang fitnah fahaman ekstrem yang memecahbelahkan sesama ummah. Wallahu a’lam.