TASHIH AL-MAFAHIM #17 : KISAH ISRAK DAN MI'RAJ PALSU KERANA MENZAHIRKAN KELEMAHAN NABI SAW?

tashih al mafahim 17

Soalan :

Assalamualaikum Ustaz. Saya doakan ustaz sentiasa dalam keadaan yang sihat. Saya ada satu kemusykilan yang saya rasa perlu juga untuk dikemukakan dan ditanyakan. Saya ada terdengar dari seorang hamba Allah yang sebut bahawa kisah israk mikraj ni sebenarnya palsu. Dia kata kisah ini palsu sebab menzahirkan kelemahan Nabi SAW. Dia kata bayangkan kenapa Nabi SAW nak kena ikut kata Nabi Musa sampai dikurangkan jumlah solat dari 50 menjadi 5. Jalankan sahajalah apa yang diperintahkan.  Tidak seperti Nabi Ibrahim yang apabila diperintahkan untuk sembelih anaknya, dia dan anaknya terus lakukan tanpa banyak mempersoalkan dan minta pengurangan daripada Allah. Ini yang dia kata. Dia sebut lagi selama ni ustaz-ustaz dan ulama-ulama salah bila cerita pasal israk mikraj. Mohon pencerahan dari ustaz. Saya ini ilmu agama tidak banyak sangat nak jawab apa yang dia sebut tu. Terima kasih ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di antara sifat orang yang beriman adalah mengakui dan mempercayai perkara-perkara yang ghaib. Ini berdasarkan firman Allah :

ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya : “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

(Surah Al-Baqarah : 3)

Perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, hari akhirat dan sebagainya mestilah pengkhabarannya melalui Al-Quran ataupun hadis-hadis Nabi SAW yang sahih. Ianya tidak boleh dihikayatkan atau disebutkan tanpa disandarkan kepada dua sumber tersebut. Apa-apa cerita atau pengkhabaran tentang perkara yang ghaib yang tidak ada sandarannya sama ada di dalam Al-Quran atau hadis maka ianya dianggap sebagai pengkhabaran yang palsu dan tidak berasas.

Di antara peristiwa yang sering terjadi perdebatan adalah peristiwa Isra’ dan Mikraj. Pada asasnya, peristiwa Isra’ dan Mi’raj diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Peristiwa ini bukan sahaja berlaku dengan roh Nabi SAW semata-mata seperti mana yang didakwa oleh sebahagian pihak, namun ia juga berlaku pada roh dan jasad Firman Allah :

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah Al-Isra’ : 1)

Imam Al-Tabari menyebut di dalam tafsirnya  menyebut tentang pandangan-pandangan bagaimana sifat Israk dan Mi’raj Nabi SAW. Ada yang menyebut bahawa israk dan mikraj Nabi SAW berlaku dengan roh dan jasad. Ada juga yang berpandangan bahawa peristiwa Israk dan Mi’raj berlaku hanya dengan roh.

Imam Al-Tabari memilih pandangan bahawa Israk dan Mi’raj berlaku dengan jasad dan roh Nabi SAW. Beliau berkata, sesungguhnya Allah SWT memperjalankan hambanya iaitu Nabi Muhammad SAW daripada Masjidil Haram menuju ke Masjidil Aqsa seperti mana yang telah diberitahu oleh Allah dan apa yang zahir yang telah disebutkan oleh Nabi SAW. Allah SWT memperjalankan Nabi dengan menyediakan Buraq dan solat di mana tempat para Nabi dan Rasul terdahulu solat. Baginda SAW juga melihat beberapa tanda-tanda kebesaran. Oleh kerana itu, tidak benar jika ada yang mengatakan bahawa perjalanan Israk dan Mi’raj hanya berlaku degan roh. Bahkan yang benar perjalanan tersebut berlaku dengan roh dan juga jasad. Jika perjalanan tersebut hanya berlaku dengan roh sahaja sudah pasti ianya tidak akan menjadi dalil akan kenabian dan kerasulan Nabi SAW. Bahkan tidak mungkin menjadi hujah bagi risalah yang dibawa oleh Baginda. (Rujuk Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayi Al-Quran, 4/446).

Sheikh Tohir Bin ‘Asyur menyebut bahawa perjalanan Israk dan Mi’raj adalah merupakan peristiwa yang mencarik adat (satu mukjizat) yang mana perjalanannya dari awal sehinggalah akhir hanya memakan masa sebahagian malam. (Rujuk Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid Fi Tafsir Al-Quran Al-Majid, 14/10).

Bahkan  peristiwa ini adalah merupakan satu ujian  kepada orang yang mengaku beriman kepada Nabi SAW. Sama ada mereka betul-betul beriman ataupun tidak. Ini dinyatakan oleh Allah SWT :

وَمَا جَعَلْنَا ٱلرُّءْيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيْنَـٰكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلْمَلْعُونَةَ فِى ٱلْقُرْءَانِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَـٰنًا كَبِيرًا

Maksudnya : “Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.”

Surah Al-Isra’ : 60

Sheikh Amin Al-Syanqiti menyebut bahawa Allah menjadikan apa yang diperlihatkan kepada Nabi SAW daripada perkara dan peristiwa yang pelik dan ajaib pada malam Israk dan Mi’raj adalah sebagai satu ujian kepada orang ramai. Ini kerana ada di antara yang tidak langsung mempercayai apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW.  Ada yang mengatakan bahawa ianya tidak mungkin berlaku. Mereka mengatakan juga bagaiman mungkin Baginda solat di Baitul Maqdis dan pergi ke tujuh tingkatan langit serta melihat keseluruhannya pada satu malam sahaja kemudian pada waktu pagi berada di Mekah. Inilah satu ujian kepada mereka yang ragu-ragu. (Rujuk Adwa’ Al-Bayan Fi Idhah Al-Quran Bi Al-Quran, 3/236).

Tambahan pula, kisah peristiwa Israk dan Mi’raj adalah kisah yang mutawatir yang tidak boleh disangkal lagi. Sheikh Amin Al-Syanqiti menyebut peristiwa berkenaan Israk dan Mi’raj adalah kisah yang mutawatir.(Rujuk Adwa’ A-Bayan Fi Idhah Al-Quran Bi Al-Quran,3/101). Ini bermakna sesiapa yang menyangkal peristiwa  ini dia termasuk di dalam orang yang kufur.  Bahkan Allah SWT menyangkal orang yang menafikan peristiwa ini. Firman Allah SWT :

أَفَتُمَـٰرُونَهُۥ عَلَىٰ مَا يَرَىٰ

Maksudnya : “Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?”

(Surah Al-Najm : 12)

Justeru itu, peristiwa Israk dan Mi’raj bukannya cerita dongeng semata,jauh sekali jika mengatakan ia peristiwa yang palsu dan direka-reka. Ianya disebutkan dan diisyaratkan di dalam Al-Quran. Tinggal lagi bagi kita adalah mengetahui kisah-kisah yang sahih tentang apa yang berlaku di sepanjang peristiwa Israk dan Mi’raj.

Kisah Israk dan Mi’raj Nabi SAW juga diceritakan di dalam hadis yang panjang. Ianya diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis yang muktabar. Di antaranya Sahih Al-Bukhari daripada Anas Bin Malik (3887) ,Musnad Imam Ahmad (12504) daripada Anas Bin Malik dan Dalail Al-Nubuwwah oleh Imam Al-Baihaqi(2/384). Dan ada juga terdapat di dalam beberapa sumber sukunder (المصدر الفرعي) yang merujuk juga kepada sumber-sumber tersebut.

Di antara peristiwa penting yang berlaku di dalam Israk dan Mi’raj ialah perintah solat secara khusus. Kisah ini diceritakan di dalam hadis sahih berkenaan Israk Mi’raj yang panjang. Kata Anas Bin Malik bahawa ketika Nabi SAW menceritakan tentang peristiwa isra’ dan mi’raj, Baginda menyebut juga :

ثُمَّ فُرِضَتْ عَلَيَّ الصَّلَوَاتُ (الصَّلَاةُ) خَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ فَمَرَرْتُ عَلَى مُوسَى فَقَالَ بِمَ (بِمَا) أُمِرْتَ قَالَ أُمِرْتُ بِخَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ قَالَ إِنَّ أُمَّتَكَ لَا تَسْتَطِيعُ خَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ وَإِنِّي وَاللهِ قَدْ جَرَّبْتُ النَّاسَ قَبْلَكَ وَعَالَجْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَشَدَّ الْمُعَالَجَةِ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَأُمِرْتُ بِعَشْرِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَأُمِرْتُ بِخَمْسِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ بِمَ (بِمَا) أُمِرْتَ قُلْتُ أُمِرْتُ بِخَمْسِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ قَالَ إِنَّ أُمَّتَكَ لَا تَسْتَطِيعُ خَمْسَ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ وَإِنِّي قَدْ جَرَّبْتُ النَّاسَ قَبْلَكَ وَعَالَجْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَشَدَّ الْمُعَالَجَةِ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ قَالَ سَأَلْتُ رَبِّي حَتَّى اسْتَحْيَيْتُ وَلَكِنِّي (وَلَكِنْ) أَرْضَى وَأُسَلِّمُ قَالَ فَلَمَّا جَاوَزْتُ نَادَى مُنَادٍ أَمْضَيْتُ فَرِيضَتِي وَخَفَّفْتُ عَنْ عِبَادِي

Maksudnya : “ Kemudian diwajibkan ke atas aku 50 kali solat setiap waktu. Maka aku kembali dan melepasi Musa. Maka Nabi Musa bertanya apa yang telah diperintahkan terhadap engkau?. Nabi SAW menjawab : Aku diperintahkan dengan 50 kali solat pada setiap hari. Kata Nabi Musa : Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 50 kali solat pada setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba dengan semaksimum mungkin pada  Bani Israil. Kembalilah semula pada Allah dan minta keringanan daripada-Nya untuk umatmu. Kata Nabi SAW : Maka aku kembali lalu Allah kurangkan sepuluh daripada jumlah yang diberikan. Nabi SAW menyebut : Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda sebut perkara yang sama. Lalu aku kembali kepada Allah dan Dia mengurangkan sepuluh lagi. Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan lagi perkara yang sama. Lalu aku kembali lagi kepada Allah dan Dia mengurangkan lagi sepuluh. Aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan perkara yang sama. Lalu aku kembali semula kepada Allah dan aku diperintahkan dengan 10 kali solat setiap hari. Aku kembali lagi dan Nabi Musa menyebut perkara yang sama. Aku kembali menemui Allah dan aku diperintahkan dengan solat 5 kali pada setiap hari. Maka aku kembali kepada Nabi Musa. Nabi Musa berkata : Wahai Muhammad, engkau diperintahkan dengan apa?. Kata Nabi SAW : Aku diperintahkan dengan solat 5 kali setiap hari. Nabi Musa berkata: Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 5 kali solat setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba untuk melakukannya pada Bani Israil semaksimum mungkin. Kembalilah kepada Allah dan mintalah keringanan daripada-Nya untuk umatmu. Nabi SAW bersabda : Aku telah minta sehingga aku menjadi malu untuk meminta kurang akan tetapi aku redha dan aku berserah. Apabila aku berlalu ada suara yang menyeru : Aku telah jalankan kewajipanku dan Aku telah kurangkan bebanan hamba-Ku.”

Riwayat Al-Bukhari (3887)

Potongan daripada hadis yang panjang ini menjelaskan bagaimana perintah solat 5 waktu sehari semalam diwajibkan. Pada zahirnya kisah ini seakan-akan menampakkan kelemahan Nabi SAW kerana tidak menjalankan terus apa yang telah diperintahkan. Di tambah pula Baginda terus merujuk kepada Nabi Musa.Tidak seperti Nabi Ibrahim dan anaknya yang tidak banyak mempersoalkan apatahlagi meminta pengurangan daripada perintah yang telah ditetapkan seperti mana dakwaan sesetengah pihak lalu menjadikan alasan ini untuk memalsukan kisah berkenaan Israk dan Mi’raj.

Namun begitu, dakwaan yang dilakukan oleh sebahagian pihak tersebut adalah satu dakwaan yang mengarut.

Pada hakikatnya, dilakukan oleh Nabi SAW menzahirkan sifat rahmat dan belas kasihan Nabi SAW  kerana tidak mahu melihat umat Baginda terbeban. Bahkan Baginda SAW merujuk kepada Nabi Musa adalah kerana disebabkan perintah solat juga turun secara khusus kepada Bani Israil. Perkara ini disebutkan oleh Al-Qurtubi sepertimana yang dinukilkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani. Al-Qurtubi menyebut :

Di antara hikmah mengapa Nabi SAW merujuk kepada Nabi Musa adalah berkemungkinan umat Nabi Musa juga ditaklifkan dengan perintah solat yang mana ianya tidak diperintahkan kepada umat sebelumnya. Yang mana perintah tersebut dilihat berat untuk dilakukan oleh umat Nabi Musa. Oleh kerana itu, Nabi Musa memberikan pandangan atas dasar belas kasihan terhadap umat Nabi Muhammad SAW. Isyarat ini boleh dilihat melalui kata Nabi Musa ‘ aku telah cuba untuk umatku’. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 7/202).

Maka ini jelas menunjukkan bahawa bukannya Nabi SAW tidak mahu melaksanakan terus perintah Allah. Tambahan pula, kesemua para Nabi dan Rasul adalah orang yang pertama sekali melaksanakan apa juga perintah Allah SWT. Akan tetapi isyarat daripada apa yang dilakukan Nabi adalah satu rahmat dan mengambil kira kemampuan umatnya untuk menjalankan apa yang telah diwajibkan oleh Allah SWT. Jika umat Nabi Musa pun tidak mampu untuk menggalas kewajipan tersebut apatah lagi umat Nabi SAW. Perkara ini sudah semestinya akan membawa kepada kecuaian bahkan lebih teruk daripada itu meninggalkan terus perintah solat. Oleh kerana itu, Nabi SAW mengambil kira apa yang telah diperkatakan oleh Nabi Musa sebagai satu cara supaya umatnya dapat terus melaksanakan solat dan taat akan perintah Allah.

Dari satu sudut yang lain, tidakkah ini menunjukkan hikmah daripada Allah bahawa pengurangan solat sehingga menjadi 5 waktu menjadikan agama ini mudah untuk diamalkan. Ini bertepatan dengan apa yang telah Allah SWT jelaskan di dalam Al-Quran :

مَا يُرِيدُ ٱللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ

Maksudnya : “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan)

(Surah Al-Maidah : 6)

Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman :

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya : “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah Al-Hajj : 78)

Perkara ini dikuatkan lagi di dalam ayat yang lain. Firman Allah :

يُرِيدُ ٱللَّـهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ

Maksudnya : “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah Al-Baqarah : 185)

Inilah di antara hikmah yang Allah SWT ingin tonjolkan iaitu menjadikan agama ini mudah untuk diamalkan dan tidak memberatkan. Bahkan menonjolkan sifat agama ini yang sentiasa menyenangkan bukan menyusahkan. Bayangkan jika solat 50 waktu dilaksanakan, sudah pasti akan mewujudkan perasaan yang berat di kalangan umat islam dan menyebabkan adanya kecuaian terhadap perintah-perintah lain khususnya mengimarahkan bumi. Pengurangan sehingga menjadi 5 kali solat setiap hari menjadikan umat Islam lebih produktif dan tidak ada alasan lagi untuk tidak melaksanakan perintah solat.

Kesimpulannya, dakwaan mengatakan bahawa kisah Israk dan Mi’raj palsu adalah disebabkan kisah tersebut menonjolkan kelemahan Nabi SAW adalah satu dakwaan yang mengarut dan tersasar dari hakikat sebenar. Ia adalah kisah yang mutawatir yang tidak boleh diinkari. Kisah isra’ dan mi’raj khususnya berkenaan pengurangan daripada 50 kali solat kepada 5 kali solat setiap hari menzahirkan kehendak Allah SWT agar agama ini khususnya solat yang menjadi tiang agama mudah untuk diamalkan bukannya menyusahkan sehingga dicuaikan.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada syubhat dan keraguan terhadap perkara yang telah thabit di dalam agama. Wallahu’alam.