اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-12 : APLIKASI FALAK / ASTRONOMI (SIMULASI LANGIT)

BAYAN FALAK 06 01

 
Alam semesta merupakan salah satu daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Keindahan dan keunikan ciptaan alam semesta ini tidak boleh disangkal lagi. Walau bagaimanapun, objek-objek yang berada di langit seperti bintang, bulan dan planet-planet tidak mampu dilihat secara terperinci oleh mata kasar disebabkan kemampuan panca indera manusia yang terbatas. Tambahan pula, faktor cuaca dan kedudukan manusia dengan objek-objek di langit adalah sangat jauh dan berbeza. 
 
Justeru itu, terdapat pelbagai aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar dan komputer riba untuk melihat simulasi objek-objek samawi. Aplikasi ini boleh didapati di ruangan playstore, apple store dan windows mengikut kesesuaian peranti yang digunakan.
 
● Stellarium 
Aplikasi stellarium ini diasaskan oleh Fabien Chereau yang merupakan seorang jurutera penyelidik, ahli astronomi dan penggemar elektronik. Stellarium ini merupakan aplikasi yang paling popular setakat ini dan banyak digunakan untuk mengenali objek-objek langit. Antara sebab utama ianya menjadi pilihan ialah aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma sahaja dan mudah untuk digunakan walaupun bagi individu yang tidak mempunyai latar belakang astronomi. Tambahan pula, terdapat banyak video tutorial yang boleh didapati di “youtube” mengenai cara penggunaan aplikasi ini yang akan memudahkan para penggunanya[1].   
                          
● NASA app
Aplikasi NASA app ini pula perkenalkan oleh “National Aeronautics and Space Administration”. Apa yang menarik mengenai aplikasi ini ialah NASA app mengumpulkan koleksi NASA yang terkini, termasuklah lebih daripada 18, 000 gambar dan video. Aplikasi ini juga boleh dimuat turun di telefon pintar masing-masing secara percuma dan boleh digunakan di mana-mana sahaja. Antara perkara menarik lagi berkenaan aplikasi NASA app ini ialah para pengguna boleh melihat bumi sebagai koleksi gambar berseni dan peta interaktif, dapat mendengar podcast terbaru daripada NASA, menjejaki lokasi Stesen Angkasa Antarabangsa dan satelit NASA Bumi yang mengorbit dalam masa sebenar[2].                             
 
● Star Walk 2
Aplikasi Star Walk 2 merupakan satu aplikasi pendidikan astronomi yang telah ditambah baik daripada versi Star Walk sebelum ini. Aplikasi ini telah dibangunkan oleh Vito Technology yang bertujuan untuk membenarkan penggunanya meneroka objek langit pada waktu tertentu dan membantu pengguna mencari kedudukan sebenar jisim langit dengan menggunakan sistem GPS di telefon pintar. Pengguna hanya perlu menghalakan telefon pintar ke arah bintang. Walau bagaimanapun, sekiranya pengguna ingin menggunakan aplikasi ini bersama anak-anak, maka pengguna boleh memuat turun versi “Star Walk Kids” kerana ia lebih sesuai untuk digunakan oleh kanak-kanak[3].
          
● Skyview lite[4]
Aplikasi ini diasaskan oleh sekumpulan kecil jurutera yang berada di bawah “Terminal Eleven” iaitu Colin Cochran, Maurizio Leo dan Joe Rokalto. Antara yang menarik mengenai aplikasi ini, mereka menyediakan grafik yang sangat cantik, mudah difahami dan mudah digunakan oleh penggunanya. Tambahan pula, Skyview akan memuat turun dan mengemas kini secara automatik sebarang perubahan fenomena objek di langit dan penggunaannya juga tidak memerlukan sambungan wifi serta rangkaian internet. Aplikasi ini menawarkan 2 versi iaitu versi lite dan pro. Bagi versi lite ianya boleh digunakan secara percuma manakala versi pro perlu dibayar terlebih dahulu sebelum menggunakannya. 

 

SkyView

Scorpius

 

● SkySafari
Aplikasi SkySafari lebih popular dalam pengguna iphone Operating System (iOS) berbanding android memandangkan ianya terlebih dahulu dilancarkan di iOS dan baharu sahaja boleh diakses di android. Ianya dibangunkan oleh “Simulation Curriculum Corp” yang telah berjaya memenangi beberapa anugerah melalui aplikasi ini. Antara perkara yang paling menarik mengenai aplikasi SkySafari ini ialah ianya boleh dikawal melalui suara pengguna sahaja. Walau bagaimanapun, SkySafari ini boleh dimuat turun oleh pengguna berbayar sahaja[5] .

pic1   pic2

Kesimpulannya, selain daripada 5 aplikasi yang dinyatakan di atas terdapat banyak aplikasi yang boleh dimuat turun untuk membantu seseorang mengetahui dan mengenal pasti objek-objek di langit. Mudah-mudahan penggunaan aplikasi ini dapat membantu menambahkan lagi kecintaan kepada Allah SWT.

Rujukan

[1] Hughes, S. (2008). Stellarium-a valuable resource for teaching astronomy in the classroom and beyond. Science Education News (SEN), 57(2), 83-86.
[2] Claudia, M. (2014). NASA App. The Charleston Advisor, 16(1), 26-29.
[3] https://starwalk.space/en
[4] https://www.space.com/skyview-review
[5] Heafner, J. (2011). Southern Stars’ SkySafari 3. sky & telescope.