اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MAJLIS MUZAKARAH PEMEGANG TAULIAH MENGAJAR AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN SIRI 2/2022

BANGI, SELANGOR, 13 APRIL 2022 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah mengadakan Majlis Muzakarah Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan Siri 2/2022 di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia. Seramai 72 orang pemegang tauliah yang baru pertama kali lulus pentauliahan mereka pada Temu Duga Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan Siri 1 dan Siri 2 yang diadakan sebelum ini hadir bagi mengikuti majlis muzakarah ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Majlis muzakarah dimulakan dengan penyampaian ceramah berkaitan fatwa-fatwa semasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan oleh Ustaz Eizzul A’la bin Bajuri @ Mohamad, Penolong Mufti Unit Istinbat, PMWP. Kemudian, diteruskan dengan ceramah daripada Ustaz Ahmad Tarmizi bin Mahmud, Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Akidah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertajuk ‘Konsep Pengertian Ahli Sunnah Wal Jamaah’ dan slot ceramah muzakarah berakhir dengan perkongsian maklumat berkaitan ‘Keperluan Tauliah Mengajar Agama di Bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan’.yang disampaikan oleh Tuan Arrahman bin Awang, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Sebelum majlis berakhir, amanat dan ucapan perasmian penutupan Majlis Muzakarah Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan Siri 2/2022 serta Penyampaian sijil Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan telah disampaikan oleh SF Ustaz Najmuddin bin Abdul Karim, Ketua Penolong Mufti (Fatwa), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada pemegang-pemegang tauliah yang hadir pada majlis muzakarah hari ini. Beliau turut menekankan beberapa perkara kepada para pemegang tauliah yang hadir pada majlis muzakarah hari ini. Antaranya, menasihati dan menggalakkan mana-mana kenalan para pemegang tauliah yang menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat awam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan tetapi tidak mempunyai tauliah mengajar agama agar mendapatkan pentauliahan mereka. Hal ini juga adalah berdasarkan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Tauliah Mengajar Agama Islam) 2006. Beliau juga menekankan kepada para pemegang tauliah mengajar agama agar menyampaikan sesuatu ilmu itu hendaklah dengan niat untuk menyatupadukan ummah melalui program keilmuan khususnya di masjid dan surau.