اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE - 59 : HUKUM PENGAMBILAN VAKSIN DARI SUDUT PANDANG FIQH & MAQASID SYARIAH [EDISI KEMASKINI]

 

 

Mukadimah

Kebelakangan ini begitu banyak sekali pendapat mengenai isu pengambilan vaksin yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Jika kita melihat di laman-laman sosial seperti laman web, blog, facebook, twitter, dan seumpamanya kita akan mendapati bahawa sebahagian masyarakat terbahagi kepada dua kumpulan iaitu golongan yang pro kepada penggunaan vaksin dan kumpulan yang sebaliknya. Telah sampai ke meja kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan begitu banyak persoalan dan permohonan pandangan berkenaan dengan isu ini. Justeru, dalam Bayan Linnas siri kali ini pihak kami akan cuba memberikan sedikit keterangan umum berkenaan pengambilan vaksin dari sudut pandang agama Islam.

Pada 8 Disember 2019 yang lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia YBhg. Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengesahkan bahawa seorang kanak-kanak telah dijangkiti virus polio di Tuaran, Sabah. Ini merupakan kejadian pertama setelah kali terakhir kes polio berlaku di Malaysia adalah pada 27 tahun yang dahulu iaitu pada 1992. Malaysia kemudiannya pada tahun 2000 telah diisytiharkan sebagai negara bebas polio.

Mengambil cakna akan perkembangan terbaharu ini maka kami sekali lagi tampil menjelaskan tentang isu ini menerusi edisi kemaskini.

 

Pengenalan Asas Berkenaan Vaksin

Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus. Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan. Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM.

 

Bahan Kandungan Yang Terdapat Di Dalam Vaksin

Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin. Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan. Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin. Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal (atau thimerosal). Ia mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Ia tiada kaitan dengan sebarang kesan toksik methyl merkuri. Methyl merkuri adalah toksik kepada sistem saraf. Thiomersal yang telah digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ia berbahaya. Setelah mengkaji bukti epidemiologi terkini berkaitan thiomersal dan profil farmakokinetiknya, Jawatankuasa Penasihat Sedunia bagi Keselamatan Vaksin di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah membuat kesimpulan bahawa tiada bukti kesan toksik merkuri ke atas bayi, kanak-kanak atau orang dewasa yang terdedah kepada thiomersal dalam vaksin. Tambahan pula, banyak kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan kecacatan sistem saraf atau perkembangan seperti autisme disebabkan oleh penggunaan vaksin yang mengandungi thiomersal. Bahan penstabil berfungsi mencegah komponen vaksin dari melekat di dinding botol vaksin. Ia mengekalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin di dalam keadaan dan suhu yang pelbagai. Gelatin dan lactose-sorbitol adalah contoh bahan penstabil. Adjuvan ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan tindakbalas system ketahanan tubuh terhadap vaksin. Adjuvan yang sering digunakan adalah garam aluminium (dikenali sebagai alum). Pengambilan aluminium dari vaksin adalah lebih rendah berbanding dengan pengambilan harian dari makanan atau ubat-ubatan seperti antasid. Penelitian semua kajian yang ada berkaitan vaksin difteria, tetanus dan pertussis yang mengandungi aluminium (sama ada secara berasingan atau kombinasi) menunjukkan bahawa tiada bukti garam aluminium di dalam vaksin menyebabkan sebarang kesan sampingan serius atau kesan sampingan jangkamasa panjang. Kemerahan dan bengkak pada tempat suntikan selalunya berkait dengan vaksin yang mengandungi aluminum berbanding vaksin yang tiada kandungan aluminium, namun kesan ini selalunya ringan. Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM.

 

Hukum Vaksin Kembali Kepada Intipati Kandungan Yang Terdapat Di Dalamnya

Di dalam hal ini, terdapat beberapa bahagian yang telah disebutkan oleh para ulama:

Pertama: Vaksin yang mengandungi kandungan yang harus untuk digunakan serta mempunyai kesan yang bermanfaat.

Tidak syak lagi bahawa kategori jenis ini adalah harus untuk digunakan. Bahkan ia merupakan antara nikmat Allah S.W.T yang dikurniakan kepada sekalian makhluk-Nya. Pencapaian perubatan (medical achievement) seumpama ini telah memberi sumbangan yang besar dalam mengurangkan pelbagai wabak yang tersebar pada hari ini.

Kedua: Vaksin yang mengandungi isi kandungan yang harus untuk digunakan. Akan tetapi ia boleh menyebabkan mudharat yang lebih banyak kepada tubuh badan berbanding manfaatnya. Ataupun ia tidak bermanfaat pada asalnya.

Vaksin seumpama ini tidak dinafikan lagi bahawa tidak boleh untuk digunakan kerana kita dilarang untuk memudharatkan diri kita dengan makanan, minuman, ubat-ubatan, dan seumpamanya.

Ketiga: Vaksin yang mengandungi bahan yang diharamkan ataupun ia najis pada asalnya akan tetapi ia telah dirawat dengan bahan kimia ataupun ia telah dicampur dengan bahan-bahan lain yang menukarnya dari namanya kepada ciri bahan yang diharuskan penggunaannya. Inilah yang dipanggil sebagai proses istihalah (proses perubahan kepada halal) serta mempunyai kesan-kesan yang bermanfaat.

Vaksin kategori ini tidak syak lagi diharuskan penggunaannya. Ini kerana proses transformasi yang berlaku telah mengubah nama dan sifatnya telah mengubah hukumnya lalu boleh untuk digunakan.

 

Pendapat Badan Berautoriti Agama Dan Para Ulama Berkenaan Hukum Vaksin

Kami bahagikan pendapat-pendapat ini kepada dua bahagian :

Pertama: Badan Berautoriti Agama

1- Dar al-Ifta’ al-Misriyyah

Pengambilan vaksin untuk menghalang kecacatan anggota badan pada diri kanak-kanak adalah satu jenis dari rawatan pencegahan dan ia merupakan suatu yang dituntut dari segi syarak. Rujuk www.dar-alifta.org

2-  Union Of African Muslim Sholars

Di dalam sebuah artikel yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Afrika, mereka membuat suatu kenyataan seperti berikut: Adalah vaksin itu secara umumnya, dan juga vaksin kepada anak-anak khususnya, untuk memelihara mereka daripada penyakit-penyakit merupakan suatu kewajipan dalam agama bahkan ia suatu keperluan insani. Rujuk africanulama.org

3-  Majma’ al-Feqh al-Islami

Majma’ Fiqh Islami telahpun membuat satu deklarasi berkenaan isu vaksin yang bertajuk “Penjelasan Untuk Menggalakkan Vaksinasi Bagi Menghalang Kecacatan Anggota Pada Kanak-kanak”. Dalam kenyataan panjang berserta tujuh poin penting, pihak Majmak telahpun menyatakan akan keharusan vaksinasi terhadap kanak-kanak bagi mengelakkan kecacatan pada tubuh badan mereka. Sila lihat http://www.iifa-aifi.org/2647.html

4- Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 berkenaan Hukum Penggunaan Vaksin Menactra (sejenis vaksin bagi melindungi bayi berusia sembilan bulan) dengan sighah seperti berikut :

  • Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa pada prinsipnya ulama bersepakat bahawa makanan termasuk ubat-ubatan yang dibenarkan oleh Islam untuk digunakan mestilah terdiri daripada bahan-bahan yang baik (thoyyib) dan halal, serta tidak mempunyai unsur-unsur yang mendatangkan mudharat kepada kesihatan badan dan akal manusia.
  • Muzakarah juga mendapati bahawa dalam proses penghasilan Vaksin Menactra ini, tiada sebarang komponen bahan mentah yang mengandungi sumber haiwan atau bahan-bahan yang diragui dari aspek syarak digunakan serta tiada perkongsian saluran pemprosesan dengan produk vaksin yang tidak halal.
  • Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Menactra adalah diharuskan.

5- Universiti Al-Azhar Al-Syarif Mesir

Pada 4 September 2019 telah diadakan satu perhimpunan oleh pihak The Islamic Advisory Group for Polio Eradication yang bertempat di Universiti Al-Azhar, Mesir. Antara pihak yang turut mengambil bahagian dalam perhimpunan ini adalah Al-Azhar Al-Syarif sendiri, Majma’ Al-Feqh Al-Islami Al-Duwali, Dar Al-Ifta’ Al-Misriyyah, UNICEF, dan beberapa pertubuhan yang lain.

Majlis ini menzahirkan kegusaran atas berkembangnya penyakit polio yang menimpa ramai kanak-kanak di Afghanistan dan juga Pakistan disebabkan mereka tidak mendapat suntikan vaksin atas faktor bantahan dari keluarga atau ibubapa.

Resolusi yang diperoleh dari perhimpunan ini antaranya menyatakan : ‘’Hukum vaksinasi untuk mencegah penyakit polio dan juga penyakit-penyakit yang lain adalah wajib di sisi agama yang mesti dipatuhi oleh keluarga, masyarakat, pihak-pihak berkuasa, serta negara keseluruhannya dan hukum ini telah dikuatkan dengan kajian-kajian ilmiah’’.

Bahkan Syaikhul Azhar Fadhilah Al-Syeikh Al-Imam Al-Akbar Dr. Ahmad Al-Thayyib dalam majlis ini beliau berkata : ‘’Islam mengambil berat secara khusus terhadap kanak-kanak. Kita juga mengetahui bahawa mengalihkan sesuatu yang menyakiti di jalanan itu adalah sebahagian dari cabang iman. Meskipun ia merupakan cabang iman yang paling rendah. Maka apatah lagi bagi ‘mengalihkan’ penyakit yang menyerang kanak-kanak yang tidak ada kekuatan bagi mereka untuk mencegah diri mereka dari bahaya-bahaya penyakit tersebut yang boleh membawa kepada kematian’’.

Beliau kemudian menambah :

‘’Perlunya disebarkan kesedaran kepada keluarga, para ibu dan bapa, mengenai peri penting suntikan vaksin kepada kanak-kanak. Dan perbuatan tersebut (vaksinasi) adalah suatu yang wajib syar’ie ke atas kedua ibubapa. Dan kegagalan melakukannya (kepada anak-anak) merupakan suatu dosa yang berat dan satu kesalahan yang mendekatkan seseorang itu kepada dosa pembunuhan’’. Rujuk https://bit.ly/2PEv0GJ

 

Kedua: Tokoh Ulama Kontemporari

1- Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz

Ditanyakan kepada Samahah al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz rahimahullah tentang hukum berubat sebelum berlakunya sebarang penyakit seperti vaksin. Maka jawab al-Syeikh:

Tidak mengapa untuk melakukan rawatan apabila ditakuti berlakunya penyakit disebabkan terdapatnya wabak atau faktor-faktor lain yang ditakuti berlakunya penyakit disebabkannya. Maka tidak ada masalah untuk memberikan ubat atau rawatan bagi menghalang sesuatu bala yang ditakuti berlaku. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلاَ سِحْرٌ

Maksudnya: Sesiapa yang berpagi-pagi dengan tujuh biji kurma ‘ajwah, tidak akan memberi kemudharatan kepadanya pada hari tersebut racun dan juga sihir.

Riwayat Muslim 2047

Hadis ini daripada bab menghalangnya bala bencana sebelum ia berlaku. Maka demikianlah apabila ditakuti berlakunya sesuatu penyakit lalu diberikan vaksin untuk menghalang wabak yang berlaku di dalam sebuah negara ataupun di mana sahaja maka tiada sebarang masalah pada hal tersebut. Rujuk Fatawa Ibn Baaz (6/21).

2- Al-Syeikh Al-‘Allamah Dr. Ali Jumaah, Mantan Mufti Mesir

Dr. Ali Jumaah ditanyakan berkenaan hukum melakukan vaksin dengan tujuan menghalang penyakit berlaku kepada tubuh badan kanak-kanak. Adakah ia dibenarkan ataupun tidak ? Maka beliau menjawab:

Vaksin untuk menghalang sebarang penyakit kepada kanak-kanak adalah suatu jenis dari rawatan yang bersifat perlindungan dan ia merupakan sesuatu yang dituntut dari segi syarak serta digesa oleh hukum-hakam syariah islamiah. Wajib ke atas kaum muslimin untuk saling membantu dalam usaha memberikan vaksin kepada anak-anak kecil mereka serta memelihara mereka dari penyakit-penyakit yang akan menimpa sekiranya ia tidak dilakukan ke atas mereka. Rujuk www.dar-alifta.org.

3- Syeikh Sa’ad bin Naasir al-Syatsri

Kata beliau : Antara permasalahan yang berkaitan dengan wabak-wabak penyakit adalah: Hukum mengambil suntikan vaksin yang diberikan dengan tujuan untuk mencegah daripada penyakit. Maka kami katakan:

Vaksin yang diberikan ini terdiri daripada:

Sesuatu yang telah dikenalpasti kesannya berdasarkan penyelidikan dan ujikaji bahawa ianya dapat mencegah penyakit dengan izin Allah. Perkara ini  baginya hukum-hakam rawatan bahkan ia satu jenis daripada jenis-jenis perubatan. Ini kerana ia termasuk di dalam sabda Rasulullah S.A.W : “Berubatlah kalian”. Maka ia juga turut mengambil hukum rawatan.

Kata beliau lagi: “Yang zahirnya, amalan ini (penggunaan vaksin) tidak ada masalah padanya. Bahkan ia termasuk di dalam amalan qurbah (ibadah). Ini kerana masuknya kemudaratan di dalam ini tidak menyebabkan mudharat yang lain bahkan ia membawa kemaslahatan untuk mencegah individu yang diberikan vaksin ini dari sebarang penyakit yang teruk. Inilah bukti bahawa ianya tidak dilarang”. Rujuk Ceramah Bertajuk Hukum-Hakam Feqh Yang Berkaitan Dengan Wabak.

4- Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Al-‘Allamah Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah ditanyakan di dalam rancangan Fatawa Mubasyirah berkenaan hukum pemberian vaksin kepada anak-anak kecil dengan tujuan mencegah dari penyakit antaranya anggota badan tidak berfungsi. Maka jawab beliau:

‘’Ini (mengambil vaksin) adalah suatu yang fardhu. Kerfadhuan yang bersifat agama bahkan ia suatu kewajipan yang bersifat islami. Jika tidak dilakukan, anaknya akan tertimpa bahaya. Aku pernah melihat seorang kanak-kanak yang sedang solat tarawih bersama kami dan dia berjalan dengan menggunakan tongkat sedangkan dia Masha Allah masih sihat. Bila ditanya dia menjawab: Tanyalah kepada si ayah. Lalu kata si ayah: Kami abaikan memberi vaksin kepadanya semasa kecil lalu dia ditimpa dengan anggota badan yang tidak berfungsi’’. Rujuk link berikut  https://goo.gl/ji7L9x .

5- Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Utsaimin

Syeikh Ibn al-Utsaimin Rahimahullah pernah ditanyakan soalah kepada beliau bahawa adakah suntikan vaksin untuk penyakit meningitis (keradangan pada selaput otak) dikira sebagai menafikan konsep tawakkal ? Ini disebabkan sebahagian orang ada yang berpendapat perbuatan tersebut haram kerana ia menafikan tawakkal. Lalu jawab Syeikh :

‘’Sesungguhnya perbuatan ini (suntikan vaksin) termasuk sebahagian dari konsep tawakkal. Ini kerana tawakkal adalah bersandar kepada Allah berserta dengan mengambil sebab-sebab tertentu (berusaha). Oleh kerana itulah ketua bagi golongan yang bertawakkal iaitu Muhammad S.A.W apabila pergi memerangi musuh baginda memakai perisai besi. Inilah perbuatan mencegah dari sebarang keburukan. Menggunakan suntikan vaksin ini termasuklah melakukan sebab-sebab bermanfaat yang Allah mengelakkan keburukan dengannya’’. Rujuk pautan yang berikut https://goo.gl/2iThC7 .

6- Sahibus Samahah Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Mufti Negeri Kelantan

Kata beliau: Islam mengharuskan penggunaan vaksin walaupun ia mengandungi bahan terlarang jika tiada pilihan ubat-ubatan yang lebih baik. Kata beliau lagi: Vaksin ini memang diharuskan oleh Islam kerana ia merupakan satu daripada al-Wiqoyah iaitu satu (kaedah) penjagaan (kesihatan) dalam Islam. Rujuk sumber Bernama.

 

Maqasid Syariah Dan Kaedah Feqh Dalam Isu Vaksin

Antara maqasid yang sangat diberikan penekanan di dalam Islam ialah hifz al-nafs (penjagaan terhadap nyawa). Kita disyariatkan untuk menjaga dan memelihara nyawa dengan usaha makan, minum, serta memberikan hukuman terhadap sesiapa yang melakukan kejahatan padanya. Demikian Islam juga mengharamkan perbuatan menyebabkan nyawa berada di dalam kebinasaan.

Antara kaedah yang boleh digunapakai bagi isu vaksin ini adalah :

Pertama : Tidak Boleh Mendatangkan Kemudharatan Serta Tidak Boleh Membalas Dengan Kemudharatan

Terdapat sebuah kaedah masyhur yang telah disebutkan oleh para ulama feqh iaitu:

لا ضرر ولا ضرار

Maksudnya : Tidak boleh memberi mudharat dan tidak boleh membalas kemudharatan dengan kemudharatan.

Kaedah di atas ini hakikatnya diambil dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

 لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya : Tidak boleh memberi mudharat dan tidak boleh membalas kemudharatan dengan kemudharatan.

Riwayat Ibn Majah (2341)

Hadis di atas ini jelas menunjukkan bahawa sebarang kemudharatan itu dinafikan dari diri seseorang. Justeru, kefahaman yang dapat diambil sekiranya meninggalkan suntikan vaksin kepada kanak-kanak akan mendatangkan kemudharatan ke atas diri kanak-kanak tersebut, maka perbuatan meninggalkan pengambilan vaksin itu dianggap suatu kesalahan yang dinafikan di sisi syarak iaitu memberikan mudharat kepada seseorang manusia.

Kedua: Kemudharatan Itu Disingkirkan

Ini berdasarkan sebuah kaedah fekah yang masyhur :

الضرر يُزَال

Maksudnya : Kemudharatan itu disingkirkan.

Sesuatu kemudharatan itu dihilangkan atau disingkirkan melalui pelbagai cara. Antaranya adalah dengan mengambil langkah berjaga-jaga (precaution) terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa. Justeru, pengambilan vaksin turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudharatan kepada sisi seseorang maka vaksinasi ini turut bertepatan dengan kaedah fekah di atas.

Ketiga : Apabila Bertembung Dua Mafsadah Atau Keburukan Maka Kita Lakukan Mafsadah Yang Lebih Ringan Kesannya

Ini berdasarkan sebuah kaedah yang mashyur :

أَنَّ أَدْنَى المَفْسَدَتَين يُرتَكَب مِنْ أَجْلِ دَفْع أَعْلَاهُمَا

Maksudnya: Sesungguhnya mafsadah yang paling ringan di antara dua mafsadah itu dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan mafsadah yang lebih besar.

Rujuk Al-Asybah wal-Nazhoir, al-Subki (1/45)

Kami telah mengupas ini dengan panjang lebar dalam perbahasan Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke- 40 : Pertembungan Antara Dua Mafsadah yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2Sa2lv1

Contoh mudah yang boleh kita ambil berkaitan dengan penggunaan kaedah di atas dalam hal perubatan adalah: Seorang doktor memberikan saranan kepada pesakitnya untuk dipotong kakinya. Ini bertujuan supaya penyakit itu tidak merebak ke anggota badan yang lain. Sekalipun perbuatan memotong kaki ini memberi mudharat kepada pesakit, akan tetapi demi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar berlaku maka kemudharatan yang lebih kecil dari itu perlu dilakukan.

Justeru, dalam isu vaksinasi ini sekiranya benar terdapat kesan-kesan sampingan seperti demam-demam kecil dan seumpamanya, maka pengambilannya tetap diteruskan kerana ia bertujuan untuk mengelakkan kesan mudharat yang lebih besar yang bakal berlaku sekiranya ia tidak diambil.

Imunisasi Penting Elak Risiko Dijangkiti Penyakit

Kepentingan imunisasi kanak-kanak menjadi isu hangat dalam kalangan masyarakat. Ada yang melempar tuduhan bahawa imunisasi menyebabkan kematian. Keadaan ini menimbulkan persepsi buruk orang ramai terhadap imunisasi. Ibubapa mempersoalkan keselamatan imunisasi terhadap anak mereka.

Pendidikan semula terhadap penerimaan dan kepentingan imunisasi dalam mengawal penyakit perlu dijadikan keutamaan pihak berwajib. Imunisasi dibuktikan berkesan dalam membasmi cacar (smallpox), polio, rubella, campak, dan penyakit berjangkit lain dalam kalangan kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa.

Laporan dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira dua hingga tiga juta nyawa dapat diselamatkan dengan adanya imunisasi. Di Amerika Syarikat, imunisasi mengurangkan kadar kematian, hilang keupayaan, dan kadar morbidity akibat penyakit berjangkit berpunca daripada baktera dan virus tertentu. Umumnya, imunisasi dapat mencegah penyakit berjangkit tertentu. Kegagalan memberikan imunisasi mengikut masa yang telah dijadualkan akan meningkatkan risiko mendapat penyakit berkenaan kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak yang tidak menerima imunisasi secara optimum mempunyai risiko lebih tinggi terhadap kematian berbanding kanak-kanak yang menerima imunisasi. Di negara yang mempunyai kadar imunisasi tinggi, kadar penyakit berjangkit adalah lebih rendah.

Berbeza dengan sesetengah pendapat, imunisasi tidak melemahkan sistem imunisasi bayi, sebaliknya membantu dan menguatkan sistem imun serta membantu badan bertindak balas dengan cepat, terutama terhadap penyakit berjangkit. Bayi yang dilahirkan terdedah dengan pelbagai bakteria dan virus. Mereka boleh bertahan daripada serangan ini kerana memperoleh antibodi daripada ibu. Bagaimanapun, antibodi itu hanya boleh bertahan beberapa bulan sahaja. Oleh itu, pengambilan imunisasi penting untuk meningkatkan sistem imun mereka.

Imunisasi tidak meningkatkan risiko dijangkiti penyakit lain. Kajian yang dijalankan oleh Sanford, Kimmel, dan rakan-rakan (2007) menunjukkan bahawa pengambilan vaksin tetanus, influenza, dan hepatitis B dalam kalangan pesakit ‘multiple sclerosis’ tidak meningkatkan risiko berulangnya penyakit berkenaan.

Kajian yang dilakukan Hviid, Stellfeld, dan rakan-rakan (2004) melaporkan bahawa imunisasi bukan penyebab diabetes jenis satu. Lihat Laporan Majlis Profesor Negara Chapter USM, Kluster Kesihatan dan Perubatan.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah berlakunya beberapa proses kefahaman dan perolehan penjelasan dari pakar-pakar perubatan, serta menekuni bahas-bahas ilmu yang dikupas oleh para alim ulama kontemporari, kemudian melakukan proses timbang tara antara maslahah dan mafsadah, serta melihat kepada ma’alat al-af’aal (implikasi dan kesan perbuatan), maka pada 18 Februari 2019 kami telah memperbaharui pandangan kami tentang isu ini dengan menyatakan bahawa hukum pengambilan vaksin adalah wajib dan perbahasan panjang lebar berkenaannya telah kami muatkan dalam Bayan Linnas Siri Ke-167: Kewajiban Mengambil Vaksin Mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan Daripada Perspektif Islam yang boleh diakses bacaannya menerusi pautan berikut https://bit.ly/2Z5qJiK

Meskipun pada tahun 2016 dahulu kami telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut : ‘’Setelah kami meneliti dan menekuni isu vaksin serta cara penggunaannya untuk tubuh badan manusia, kami berpendapat bahawa hukum pengambilannya adalah harus. Ia sama ada untuk merawat penyakit ataupun yang bersifat pencegahan dari berlakunya penyakit. Ini selaras dengan pendapat ramai tokoh ulama sebagaimana yang telah kami nyatakan. Justeru, kami lebih cenderung kepada keharusan penggunaan vaksin dan kami berpendapat hendaklah beberapa dhowabit (kriteria) berikut diraikan. Ini seperti :

  • Berlakunya keperluan yang mendesak.
  • Ianya telahpun ditestimonikan dapat memberikan kesan yang baik.
  • Elakkan bahan yang bersifat najis kecuali jika dalam keadaan terpaksa.
  • Sifat sebagai pengawalan daripada penyakit adalah telah terbukti.
  • Tiada kesan sampingan dan mudharat yang lebih besar berlaku kepada mereka yang disuntik dengan vaksin.

Kemudian pada Februari 2019, setelah menilai beberapa nas dan hujahan yang kukuh berserta fakta-fakta berilimiah dari sumber-sumber yang berautoriti, maka kami menyatakan bahawa  pengambilan vaksin berjadual mengikut Program Imunisasi Kebangsaan adalah wajib ke atas ibu bapa untuk anak-anak mereka. Ibu bapa dan penjaga yang lalai daripada kewajiban ini adalah berdosa apabila anak-anak mereka dijangkiti penyakit berjangkit yang boleh dielakkan. Sekiranya penyakit berkenaan membawa mudarat kepada orang lain kerana kecuaian ibu bapa, atau pejaga, tersebut, maka mereka mendapat dosa yang lain.

Pandangan ini adalah selari dan bertepatan dengan apa yang ditunjukkan di dalam sebuah kaedah fekah yang masyhur :

لا ينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان

Maksudnya : Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum-hakam (perkara yang berkait dengan uruf dan juga maslahah) disebabkan perubahan zaman.

Kami juga berpendapat bahawa :

الوِقَايَةُ خَيْرٌ مِنَ العِلَاجِ

Maksudnya: Mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Semoga usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meningkatkan mutu dan kualiti kesihatan penduduk di Malaysia akan berjaya dengan cemerlang. Manakala salah faham berkaitan isu vaksin ini tidak lagi berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama menginsafi diri kita dengan merujuk setiap sesuatu itu kepada ahlinya (pakar). Jika ianya berkaitan dengan soal kesihatan maka sudah tentulah yang paling berautoriti terhadapnya adalah Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar mereka. Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua. Ameen.

 

Akhukum fillah,

S.S DATO’ SERI DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

Mufti Wilayah Persekutuan